27 November 2009

Anwar: Perjuangkan rakyat Malaysia, bukan kaum tertentu



Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin masyarakat India supaya sebulat suara memperjuangkan hak yang dituntut atas nama Malaysia, bukan kepada kaum tertentu sahaja.

Anwar berkata, ‘perjuangan rakyat Malaysia’ perlu menjadi tunggak dalam kepimpinan dan pentadbiran dalam sesebuah masyarakat.

Anwar yakin, segala masalah yang dihadapi masyarakat India dapat diatasi sekiranya mereka bekerjasama memperjuangkan hak secara samarata, bukan menggunakan pendekatan kaum.

“Saudara, politik Malaysia, keadaan politik di negara kita sudah berubah. Masalah orang India, Hindu dan Tamil perlu dilihat dan diperjuangkan sebagai masalah Malaysia. Baru boleh selamat," kata beliau

Anwar berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Ulangtahun ke-2 Hindraf Peringkat Kebangsaan bertemakan “Raising of Malaysian Indian Voices” di Klang, semalam.

Bagaimanapun, Anwar menasihati pemimpin Hindraf agar tidak mengkhianati kepercayaan yang diberi oleh kaum mereka sendiri.

Mana-mana orang yang mengaku dia pemimpin Hindraf, siapa kata dia pemimpin Makhal Shakti, siapa dia pemimpin India? Saya orang Melayu, biar saya beritahu, sebagai rakyat Malaysia, jangan khianat kepercayaan masyarakat India dan Hindu di negara ini," katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyeru masyarakat India menyokong perjuangan Pakatan Rakyat untuk menentang Umno yang mengamalkan politik perkauman.

Kata beliau lagi, “Lawan untuk gaduh? Tidak, lawan untuk menangkan rakyat. Lawan tolak rasuah .Lawan tolak orang sombong. Lawan tolak orang bagi kita mati dan pukul kita. Lawan untuk selamatkan negara kita."

“Negara ini bukan negara miskin tetapi kaya. Kita ada upaya untuk bantu semua," tambah beliau.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat yang telah berjaya mentadbir lima negeri tidak pernah lupa memperjuangkan nasib kaum India kerana pakatan berkenaan mengutamakan ketuanan rakyat bukannya ketuanan kaum tertentu.

Ada orang kata Anwar, Keadilan Pakatan Rakyat bila sudah menang lupa dengan kita, saya mahu beritahu kamu tahu bagaimana saya berkempen dan bahan politik saya. Masuk penjara keluar penjara saya tidak kira, tetapi saya bagi tahu kami di sini untuk Melayu, Cina dan India di Malaysia”. – Hadri Yaziz

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin