29 October 2009

MB Selangor Hantar Usul Minta ADUN Pelabuhan Klang Letak Jawatan | PKFZ



Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat usul kepada Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat menyarankan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletakkan jawatan.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usul berkenaan dibuat atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap aduan penduduk Pelabuhan Kelang mengenai prestasi Badrul Hisham.

Walaupun diberikan surat tunjuk sebab sebelum ini, Badrul gagal memperbaiki prestasi kerja beliau selain enggan membuka semula Pusat Khidmat beliau untuk penduduk setempat.

Badrul juga enggan berjumpa dengan pimpinan kerajaan negeri ataupun parti dan tidak melayan panggilan telefon atau SMS yang dihantar kepada beliau mengenai isu berkenaan, kata Nik Nazmi.

“Datuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil keputusan untuk menyatakan kepada Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat agar YB Badrul diminta letak jawatan kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik selaku wakil rakyat Pelabuhan Klang,” katanya.

Nazmi berkata kerajaan negeri telah menerima banyak aduan mengenai mutu kerja Badrul sebelum ini.

“Kerana banyak aduan, kita telah memberi surat tunjuk sebab, apabila dia (Badrul) membalas surat tunjuk sebab, dia menyatakan kesedian untuk berjumpa. Tetapi sampai hari ini kita cuba berjumpa dengan dia tetapi tidak berjaya, tidak dapat menghubungi beliau malah penduduk pun sukar untuk berjumpa dengannya,” kata Nik Nadzmi.

“Jadi sebab itu kita ambil keputusan untuk minta dia letak jawatan,” katanya.

Nik Nazmi berkata usul berkenaan tidak dibawa ke Speaker Dewan kerana Menteri Besar tidak mahu memecat Badrul sebaliknya hanya mahu beliau meletakkan jawatan secara sukarela.

Menurutnya kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab kerana ia hanya mengekang usaha kerajaan negeri dalam memajukan Selangor. TVS

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin