31 October 2009

Isu PAS Selangor: Jawatankuasa disiplin kenal pasti pihak perlu beri keterangan

PETALING JAYA: Jawatankuasa Disiplin PAS yang bermesyuarat kali pertama hari ini bagi menyiasat isu membabitkan beberapa tuduhan terhadap PAS Selangor telah mengenal pasti beberapa pihak yang terlibat untuk memberikan keterangan.
Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak-pihak berkenaan akan dihubungi dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

"Kita dah kenal pasti beberapa pihak yang akan dipanggil untuk berikan keterangan.

"Kita perlu berikan peluang kepada pihak-pihak terbabit untuk beri penjelasan berhubung beberapa perkara," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ditanya sama ada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali termasuk dalam senarai pihak-pihak yang akan dipanggil memberi keterangan itu, Tuan Ibrahim enggan mendedahkannya.

"Saya tak boleh komen lebih, perkara ini masih diperingkat siasatan," katanya.

Pada mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu lalu, Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan jawatankuasa disiplin parti itu supaya menyiasat mengenai beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadap PAS Selangor.

Bagaimanapun Abdul Hadi menafikan siasatan yang dijalankan itu memfokuskan kepada Hassan sebaliknya menegaskan ia akan dijalankan terhadap PAS Selangor secara keseluruhannya.

Isu ini timbul ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyenaraikan nama Hassan sebagai salah seorang yang perlu 'dibersihkan' daripada parti kerana dikatakan pro-kerajaan perpaduan.

Selain Hassan, Nik Abdul Aziz juga melalui blognya menamakan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata pada mesyuarat yang berlangsung lebih tiga jam bermula pukul 10.30 pagi tadi telah meneliti beberapa dokumen yang berkaitan.

"Pihak jawatankuasa disiplin telah meneliti beberapa dokumen, dari situ baru kita kenal pasti pihak-pihak yang berkaitan itu," katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan parti akan mengeluarkan surat kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat dan mereka perlu memberi jawapan dalam tempoh 14 hari.

"Kita akan berikan surat kepada mereka dalam masa terdekat, mereka perlu jawab dalam masa 14 hari.

"Mereka ada peluang untuk jelaskan kepada kita sebelum apa-apa tindakan lanjut diambil," katanya. mStar

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin