17 September 2009

Pemuda PR Mahu Proses Undi Pos Dirombak



Pemuda Pakatan Rakyat menghantar memorandum ke Suruhanjaya Pilihan Raya Malayasia (SPR) membantah penggunaan Borang 2, tempat mengundi dan kaedah berkempen untuk pengundi pos.

Memorandum berkenaan mendesak SPR mengambil tindakan segera bagi memperbaiki beberapa aspek penting yang melibatkan pengundi pos dan juga mekanisme pengundian.

Ketua Penerangan Pas Suhaizan Kaiat berkata peraturan mewajibkan pengundi pos mengisi Borang 2 merupakan satu pencabulan ke atas prinsip kerahsian undi.

“Pemuda PR melihat tiada sebarang alasan yang munasabah kenapa Borang 2 ini diperlukan, apatah lagi dengan mewajibkan pengundi pos mendedahkan nombor kertas undi yang diberikan kepadanya.

“Peraturan Borang 2 ini juga jelas bertentangan dengan Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang melarang mana-mana pegawai, kerani, jurubahasa atau agen untuk mendapatkan atau mendedahkan maklumat identiti pengundi dan juga nombor kertas undi yang diberikan kepada mana-mana pengundi,” katanya.

Menurutnya Pemuda PR juga mendesak SPR menetapkan tempat mengundi bagi pengundi Pos.

Suhaizan berkata kaedah pengundi pos mengundi menggunakan kertas undi yang diposkan kepada mereka membuka ruang berlakunya penyelewengan semasa proses menghantar Sampul B.

“Pemuda PR mendesak SPR hendaklah menggunakan hanya satu sahaja mekanisme iaitu pengundi pos hendaklah mengundi di tempat yang berdekatan dengan mereka seperti pejabat kedutaan, pejabat daerah, kem tentera, balai polis dan lain-lain pejabat kerajaan,” katanya.

Memorandum bantahan berkenaan juga menuntut SPR memberi ruang kepada semua parti bertanding pada Pilihanraya untuk berkempen dan menemui pengundi pos terutamanya di kem-kem tentera.

“Apa yang menjadi masalahnya selama ini ialah parti-parti pembangkang langsung tidak diberikan ruang untuk berkempen kepada anggota-anggota tentera, sedangkan Barisan Nasional menggunakan Kementeri Pertahanan untuk menemui dan menjalankan aktiviti di kalangan anggota tentera.

“Ini telah mewujudkan suasana yang amat tidak adil kepada parti-parti pembangkang kerana tidak dapat menyampaikan maklumat kepada para pengundi tersebut,” katanya.

Sekiranya isu keselamatan menjadi alasan untuk tidak membenarkan akses tersebut, Pemuda PR mencadangkan supaya SPR dan pihak berkuasa kem membantu menyediakan ruang kepada calon-calon untuk bertemu mereka.

“Adalah tidak munasabah apabila undang-undang pilihanraya memberikan tempoh berkempen kepada setiap calon, tetapi ianya tidak dibenarkan untuk dilaksanakan kepada para pengundi pos yang merupakan pengundi dalam pilihanraya tersebut,” katanya.

Sementara itu, semalam Pemuda PR telah mengadakan mesyuarat dan sebulat suara memutuskan menyerah memorandum bantahan berkenaan sebagai desakan kepada SPR.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Pemuda turut mengemukakan beberapa cadangan kepada SPR dalam usaha memastikan pilihanraya berjalan dengan telus.

“Di mana kita tegaskan keprihatinan dan masalah yang terpaksa kita hadadapi adalah tentang pengundi pos. Di mana esok (hari ini) sebagai susulan daripada desakan Pemuda PR supaya terdapat satu ketelusan dalam mengendalikan undi pos ini kita akan kemukakan cadangan secara terperinci kepada SPR,” katanya.

Mengulas mengenai Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Shamsul berkata Pemuda PR turut tidak menolak kemungkinan berlakunya budaya gengsterisme di kalangan penyokong Umno Barisan Nasional.

“Ya kita bincang tentang Yang Berhormah Anthony bangkitkan dalam perbincangan tadi. Budaya gengsterisme di kalangan penyokong Umno dan BN. Ini perkara serius yang mereka bangkitkan apatah lagi di kawasan panas seperti Bagan Pinang ini.

“Walaupun majoriti di kawasan itu 2,300 memihak kepada BN tetapi undi yang perlu kita dapat untuk memenangi kawasan itu tidaklah begitu tinggi. Sebab itu ini membuka ruang untuk menang kawasan ini,” katanya. TVA

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin