Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mempersoal tindakan kerajaan Malaysia membelanjakan RM16 juta bagi tempoh 2009 hingga 2012 untuk menjayakan program 'Road to London 2012' bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia daripada Sukan Olimpik di London pada 2012.
Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, mereka bukan menolak insentif sukan tetapi meminta kerajaan melihat kembali proses pembinaan atlit negara dahulu dan sekarang di samping kedudukan ekonomi negara kini.
Nasruddin dalam satu kenyataannya semalam berkata, Pemuda PAS tidak menolak jika perbelanjaan itu mempunyai asas yang kuat untuk kebaikan rakyat di seluruh negara.
Namun apa yang dipersoalkan adalah nilainya yang terlalu tinggi iaitu RM16 juta untuk seketul pingat emas olimpik yang berharga kurang dari RM1,000.
Sepanjang tempoh tiga tahun (2009 - 2012), secara puratanya kerajaan akan membelanjakan RM5.3 juta setahun bagi 19 atlet yang dipilih dari empat acara sukan iaitu badminton, memanah, berbasikal dan terjun.
Manakala carian dalam laman web WikiAnswer, seketul pingat emas secara puratanya mempunyai berat sekitar 250 gram dengan kandungan sebenarnya adalah 244 gram perak dan 6 gram emas yang disadur dipermukaannya. Harga antarabangsa pada akhir 2008 hanyalah sekitar USD 300 sahaja.
"Mungkin Kerajaan Malaysia tidak memandang kepada nilai pingat emas itu, tetapi lebih terdorong oleh semangat 'Malaysia Boleh' di mana Kerajaan mengharapkan kemahsyuran negara di peringkat antarabangsa dalam dunia sukan olimpik," katanya.
Ujarnya juga, kemasyuran yang dikejar itu hanyalah satu catatan sejarah yang belum pasti memberikan impak politik dan moral yang besar kepada negara dan dunia sukan. Malah kemahsyuran itu juga pastinya tidak lama, sama seperti misi-misi 'Malaysia Boleh' sebelum ini.
Mengimbas kejayaan pemain bola sepak lagenda negara Allahyarham Moktar Dahari, beliau melihat seluruh atlit terdahulu sanggup berkorban masa dan wang ringgit untuk negara walaupun mereka tidak diberikan ganjaran yang besar seperti hari ini.
"Berdasarkan pengalaman itu, DPPP menyedari bahawa kejayaan atlit kita dahulu banyak didorong oleh motivatisi diri sendiri dan bukannya dengan pembaziran yang melampau. Mereka juga menghabiskan masa berlatih dalam negara dan hanya keluar negara jika ada pertandingan."
Dalam masa yang sama, bagi mengelakkan pembaziran jutaan ringgit itu, DPPP mencadangkan agar budget sebesar itu digunakan untuk atlit negara menyertai lebih banyak pertandingan di luar negara, dan bukannya sekadar berlatih sahaja.
Menurutnya, dengan lebih banyak pertandingan yang disertai maka mereka akan merasai lebih banyak pengalaman dan motivasi diri akan meningkat.
"Dalam masa yang sama, kita juga boleh memecahkan anggapan rakyat bahawa atlit kita hanyalah sekadar jaguh kampung," katanya.
Pemuda PAS juga katanya, menyokong bidang sukan kerana ia adalah keperluan jasmani yang penting, khususnya dalam memupuk generasi yang cergas dan sihat.
"Namun kerajaan harus berjimat cermat demi kebaikan semua pihak terutamanya dalam suasana kegawatan ekonomi ini," ujarnya.
Pemuda PAS dalam pada itu turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua atlit yang berusaha keras bagi mengharumkan nama negara selama ini. Sama ada mereka mendapat pingat atau tidak, mereka yakin bahawa atlit terbabit sudah berusaha sebaik mungkin ke arah itu.
No comments:
Post a Comment