Makna Merdeka yang sebenar dihayati adalah berdasarkan demokrasi dan bukanlah menggantikan penjajah dengan pemimpin tempatan yang tidak menghormati Prinsip 5K Kebebasan, Keadilan, Kebenaran, Kebajikan Kepada Rakyat Dan Ketakwaan Kepada Tuhan
Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-52 negara kita mencapai kemerdekaan. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa virus A(H1N1) dan berharap mereka yang sedang dirawat terus bersemangat tinggi. Saya harap pihak kerajaan dapat berusaha dengan lebih gigih untuk mengatasi wabak ini yang sudah menelan banyak nyawa yang tidak berdosa.
Lebih separuh abad kita Merdeka, masih ada golongan yang bermain dengan api perkauman. Media arus perdana milik parti pemerintah terutamanya Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times and TV3 juga memainkan peranan dalam usaha menghasut rakyat untuk membenci atas dasar kaum dan agama. Tindakan mengheret kepala binatang untuk menghina kaum tertentu amat tidak bertanggungjawab, tidak bertamadun dan berlawanan dengan semangat perpaduan serta makna merdeka. Perbuatan keji ini harus dihentikan serta-merta dengan digantikan suatu sikap hormat-menghormati, saling percaya dan persahabatan yang jujur dapat mengatasi masalah perkauman.
Keyakinan rakyat kepada kerajaan juga semakin rapuh berikutan banyak tindakan berat sebelah dan pilih kasih yang telah dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya bersikap adil dan saksama. Sikap tidak profesional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM atau MACC) yang hanya bertindak terhadap pemimpin dan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat, khususnya DAP, telah dengan jelas menunjukkan kepincangan dalam sistem pentadbiran kerajaan. Malah pengendalian kes kematian Teoh Beng Hock mengenai siasatan membabitkan RM 2,400 adalah satu lagi bukti di mana SPRM/MACC tidak profesional dalam menjalankan tugas. Sebaliknya, siasatan terhadap skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan RM12.5 bilion serta pembabitan pemimpin-pemimpin tertinggi BN adalah bukti kes ini tidak disiasat dengan serius.
Malah, setelah 52 tahun Merdeka, kerajaan masih lagi mengabaikan kebajikan rakyat Malaysia. Bukan sahaja mereka yang miskin di Semenanjung dipinggirkan, malah ramai lagi sahabat kita di Sabah dan Sarawak terus ketinggalan dari arus pembangunan negara. Di pedalaman Sarawak, rakyat Malaysia khususnya Penans di Lusung Laku, Long Avit, Long Kajang, Long Tanyit, Long Malim, Long Ladem, Long Bangga dan Lusung Laku kini menghadapi masalah tidak cukup makanan dan hidup dalam keadaan yang amat tertekan. Apakah ini erti pembangunan dan nikmat kemajuan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan BN di mana rakyat sendiri hampir kebuluran?
Makna Merdeka yang sebenar dihayati adalah berdasarkan demokrasi dan bukanlah menggantikan penjajah dengan pemimpin tempatan yang tidak menghormati Prinsip 5K Kebebasan, Keadilan, Kebenaran, Kebajikan Kepada Rakyat Dan Ketakwaan Kepada Tuhan. Hanya dengan menegakkan prinsip 5K, barulah rakyat dapat menikmati hasil ekonomi, berkongsikan kekayaan negara dan sekaligus mengatasi masalah ekonomi yang menghantui kita. Hanya dengan memberikan balik kuasa kepada rakyat Perak memilihkan kerajaan pilihan mereka semula, barulah demokrasi dan makna merdeka yang sebenarnya boleh hidup lagi di Malaysia.
No comments:
Post a Comment