21 August 2009
KDSB Saman Ong Tee Keat, Lee Hwa Beng
PETALING JAYA 20 Ogos - Kuala Dimensi Sdn. Bhd (KDSB) hari ini secara rasmi mengemukakan saman sivil terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), Datuk Lee Hwa Beng berhubung isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Faizal Abdullah berkata, saman sivil itu dibuat ekoran tindakan mereka berdua yang secara salah mendedahkan hanya beberapa bahagian tertentu di dalam laporan audit Pricewaterhouse Coopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC).
Jelasnya, akibat laporan yang diberikan tidak menyeluruh, telah memberikan kesan kerugian dan kerosakan fizikal kepada KDSB.
''Pihak KDSB menamakan Datuk Ong Tee Keat sebagai defendan pertama, manakala Datuk Lee Hwa Beng sebagai defendan kedua dan Lembaga Pelabuhan Klang sebagai defendan ketiga,'' katanya pada sidang akhbar khas di Petaling Jaya hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan itu sebenarnya boleh dielakkan jika wakil daripada PwC memberi penerangan mengenai laporannya.
''Situasi itu juga sama terhadap laporan sebuah pasukan petugas khas pada 10 Oktober lalu yang mana laporannya tidak dijelaskan kepada KDSB,'' jelasnya.
Bagi menguatkan dakwaannya, beliau berkata, berdasarkan laporan di dalam beberapa media baru-baru ini, Hwa Beng mengaku hanya baru membaca 30 peratus laporan pasukan petugas khas yang menyiasat kes tersebut.
''Tapi yang hairannya mengapa beliau berani membuat aduan polis terhadap KDSB dan BTA Architect atas dakwaan percanggahan bayaran bil berjumlah antara RM500 juta dan RM1 bilion walaupun tidak membaca laporan itu secara keseluruhannya,'' soalnya.
Pada masa sama, beliau mendakwa Hwa Beng melakukan pembohongan besar kepada media semalam dengan mendakwa pasukan petugas khas telah menghantar surat tunjuk sebab kepada KDSB.
''Kami (KDSB) ingin menjelaskan tidak pernah mendapat surat daripada jawatankuasa pasukan petugas khas tersebut, ia satu pembohongan,'' katanya.
Faizal juga mempersoalkan apakah motif Tee Keat cuba menggunakan isu PKFZ untuk mengaburi perbezaan politiknya dengan Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing.
''Adakah beliau mempunyai hak sebagai Presiden MCA untuk menggunakan kuasa politiknya menggerakkan seluruh jentera MCA untuk membantunya.
''Kami tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan MCA, sepatutnya Tee Keat sebagai individu tidak menggunakan kedudukannya di dalam parti untuk menyelesaikan masalah ini,'' ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment