24 August 2009

Bantah Konsert Michael Learns To Rock

KENYATAAN MEDIA
24hb Ogos 2009

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
PARTI ISLAM Se MALAYSIA (PAS)

BANTAH KONSERT MICHAEL LEARNS TO ROCK - ETERNITY TOUR 2009: LIVE IN MALAYSIA PADA 5 SEPTEMBER INI, DI ARENA OF STARS, GENTING HIGHLANDS.

Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk sekeras–kerasnya tindakan jemaah menteri meluluskan konsert Michael Learns to Rock - eternity tour 2009 : live in malaysia yang bakal berlangsung di arena of stars, genting highlands pada 5 september 2009 ini.

Konsert ini adalah suatu penghinaan besar kepada negara Malaysia dan umat Islam yang sedang menyambut bulan Ramadhan al Mubarak kini.

Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Dimana ia adalah suatu tindakan yang kurang ajar dan penghinaan besar terhadap ummat Islam di Malaysia.

Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitiviti kerajaan UMNO/BN terhadap perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Tarikh 05 September 2009 adalah suasana penting bagi negara ini khasnya ummat Islam yang sedang menyambut bulan ramadhan.

Pertama, ummat Islam sedang menghadapi bulan ibadah yang penuh kemuliaan dan keberkatan. Sepatutnya ia tidak dicemari oleh konsert seperti ini yang membawa masuk sekumpulan artis luar negara yang tentunya tidak mempunyai langsung sensitiviti terhadap masyarakat tempatan. Pastinya konsert ini akan membawa ummat leka dan lalai malah merosakkan moral dan akhlak mereka.

Kedua, berhadapan pula dengan ulangtahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos. Lazimnya pihak kerajaan menganjurkan majlis tahlil di seluruh negara dan forum untuk motivasi rakyat khasnya anak–anak muda supaya mewarisi semangat patriotisme. Konsert seperti ini sekali lagi tidak akan membantu motivasi rakyat untuk menjadi rakyat yang baik, bermoral dan berdaya saing, sebaliknya hanya melemahkan moral dan mental mereka sekaligus mengheret mereka tenggelam dibawah gelora nafsu.

Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan tindakan Kerajaan UMNO/BN, di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Islam dan kaum Melayu di negara ini. Khasnya, di mana peranan dan keperihatinan Pemuda UMNO terhadap isu ini, sedangkan ini juga adalah satu penghinaan besar terhadap agama Islam.

Dewan Pemuda PAS Pusat tegas menyatakan sikap, bahawa konsert seperti ini mesti dibatalkan segera dan ini adalah amaran keras kepada pihak penganjur agar tidak mencabar sensitiviti ummat Islam. Andai mereka tidak peduli amaran ini, Dewan Pemuda PAS Pusat tidak teragak–agak akan mengerahkan seluruh pemuda Islam agar turun membantah Konsert tersebut daripada terus berlangsung.

Di sini, kami Pemuda PAS mencabar Pemuda UMNO untuk sama-sama membantah penganjuran konsert maksiat ini.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru dan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS turut bersama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik tetapi melibatkan maruah dan harga diri ummat Islam. Jika begini terus menerus sikap kerajaan UMNO/BN, mereka bukan sahaja jauh dari rahmat dan berkat Ilahi tetapi InsyaAllah akan terus dibuang dan dihumban oleh rakyat yang semakin hari semakin jelak dan muak dengan sikap berpura–pura Islam mereka.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga turut menggesa agar majlis fatwa dan para mufti menunjuk sikap dan menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan Pusat yang membenarkan penganjuran pesta maksiat ini agar mereka tidak hanya responsif terhadap isu seperti kenyataan di manipulasi pihak media terhadap YAB Dato Tuan Guru Nik Aziz tempuh hari, tetapi diharap turut menunjuk peranan majlis fatwa itu sendiri bagi membersihkan bumi malaysia ini dari maksiat dan mungkar tajaan kerajaan UMNO/BN.


USTAZ NASRUDIN HASSAN TANTAWI
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP)

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese