28 July 2009

Kes Teoh: Ahmad Said diminta tidak cipta konspirasi



Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said agar membuat laporan polis berhubung terdapat pegawainya yang menerima ugutan untuk memaksa mereka menghentikan siasatan berhubung kes salahguna peruntukan ADUN Selangor.

"Saya memandang serius isu yang dibangkitkan oleh Ahmad Said. Tidak patut ada sebarang ancaman untuk mempengaruhi pegawai-pegawai agensi kerajaan untuk menjalankan siasatan dan membuat keputusan," katanya ketika membaca satu kenyataan.

Ean mengulas mengenai laporan akhbar The Star Online semalam yang memetik Ahmad berkata, ketua pegawai siasatan kes tersebut telah dipindahkan daripada mengendalikan kes ini selepas menerima ugutan.

Ahmad dilaporkan berkata, langkah tersebut adalah untuk menjaga keselamatan pegawai berkenaan.

"Saya mencadangkan Ahmad Said melaporkannya kepada polis dan polis boleh menjalankan siasatan ke atas kes ugutan dan menjaga keselamatan pegawai SPRM," kata Ean dalam satu sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

"Jikalau beliau tidak berani untuk membuat laporan polis, saya ingin menghulurkan tangan untuk membantu SPRM membuat laporan polis," katanya

Ean berkata, beliau mahu berbuat demikian untuk mempertahankan hak rakyat Malaysia supaya SPRM boleh menjalankan siasatan dengan adil dan saksama.

Sehubungan itu beliau menasihatkan Ahmad Said supaya jangan mencipta satu konspirasi bagi mencari alasan untuk lari dari tanggungjawab terhadap kematian Teoh Beng Hock.

Teoh, setiausaha politik Ean, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai lalu setelah memberi keterangan di pejabat suruhanjaya itu berhubung dakwaan salahguna wang peruntukan ADUN.

SPRM Selangor terletak di tingkat 14 bangunan yang sama.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese