28 July 2009

Jenayah parah, rasuah berleluasa Musa gagal sebagai KPN

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini dalam satu mesyuarat bersama badan bukan kerajaan bersetuju dengan empat resolusi meningkatkan keselamatan negara.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk seri Anwar Ibrahim berkata, resolusi pertama mendesak tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara Musa Hassan tidak dilanjutkan ekoran kegagalan beliau sebagai KPN untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini sepanjang tiga tahun lepas.

Musa gagal dalam menjalankan semua peranan asas polis termasuk mengurangkan kadar jenayah, membendung rasuah dan melindungi hak asasi manusia.

Katanya, resolusi kedua mendesak perlantikan KPN yang baru yang komited kepada demokrasi, serta melaksanakan saranan Suruhanjaya Diraja Keatas Penambahbaikan Pasukan Polis seperti penububuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

"Ketiga, KPI pembasmian jenayah berdasarkan kategori jenayah yang diusulkan oleh laporan Tun Mohamed Dzaiddin pada tahun 2005 dan yang keempat meminta diwujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC)," katanya.

Penubuhan IPCMC dicadangkan oleh Tun Mohamed Dzaiddin untuk memulihkan keyakinan umum terhadap pegawai polis.

Anwar berkata, pembaharuan yang diminta dalam resolusi berkenaan jelas bukan sahaja mahukan penubuhan IPCMC dan penukaran KPN baru tetapi juga melantik KPN yang bersih dalam usaha menambahbaik institusi polis dan profesionalisme mereka.

"Resolusi isu KPN ini serius dan kadar jenayah meningkat dan pertuduhan terhadap beliau begitu banyak, tindakan beliau membelakangkan hukum. Kami ada kepercayaan imej polis masih boleh dipulihkan ada sesetengah polis yang tahap profesionalisme mereka boleh membantu untuk memulihkan," katanya.

Anwar berkata, pembaharuan dalam institusi polis perlu bagi mengekang polis terlibat dalam jenayah termasuklah sindiket jenayah ah long dan samseng.

Katanya, sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap resolusi berkenaan, pihaknya akan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai jenayah membabitkan polis.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Pakatan meminta Barisan Nasional menerima resolusi berkenaan untuk melantik KPN baru dan modus operandi yang baru.

Katanya, langkah berkenaan perlu supaya polis memberikan layanan yang baik kepada rakyat, menjaga hak asasi manusia dan mengurangkan kadar jenayah.

"Perdana Menteri bercakap mengenai KPI Polis, saya gembira dengan pengumuman itu tetapi apa yang penting mereka perlu menyelesaikan masalah pokok dan perkara pertama yang akan dilihat adakah terdapat lantikan KPN baru, jika tidak saya rasa semua cakap-cakap mengenai KPI polis akan menurun dan ramai yang hilang kepercayaan.

"Apa yang penting berhubung perkara KPN baru untuk polis baru dan saya harap Najib mempertimbangkan secara serius penubuhan IPCMC yang mana tidak hanya melihat kepada laporan Persuruhjaya Dzaiddin terhadap apa yang berlaku emapt tahun lalu berhubung implimentasi laporan berkenaan. Malahan membentuk blueprint untuk polis dalam tahun-tahun akan datang dan bagaimana untuk mengamalkan polisi demokrasi dan mengembangkan peranan polis," katanya.

Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli berkata, resolusi yang dipersetujui dalam persidangan lebih dua jam berkenaan merupakan langkah besar dalam proses lantikan jawatan kanan negara.

Katanya, pengumuman Najib mengenai KPI mengurangkan 20 peratus kadar jenayah jalanan pada penghujung tahun 2010 merupakan satu undi tidak percaya beliau terhadap Musa Hassan.

"Saya rasa sebenarnya adalah satu undi tidak percaya kepada KPN yang ada sekarang, beliau harus faham apabila ia dimasukkan dalam KPI bermakna kerajaan tidak boleh lagi bertoleransi. Cuma mungkin mengikut perdebatan kita tadi, kerajaan serba salah untuk menukar KPN. Jika KPN masih ada sedikit sensitiviti dan maruah maka beliau tidak patut menawarkan diri menyambung khidmat," katanya. TVA

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese