25 May 2009

PKR hantar peguam serah notis pada calon Kunci



Malaysiakini.tv: Aminah 'offered' top council post to pull out

Parti Keadilan Rakyat akan mengarahkan panel peguam untuk menghantar notis undang-undang kepada calon Kunci, Aminah Abdullah, meminta beliau meminta maaf dan menarik balik dakwaannya.

Pengarah Biro Pilihanraya Saifuddin Nasution berkata panel peguam yang diketuai Naib Presiden Sivarasa Rasiah akan menghantar notis itu dalam masa terdekat menuntut calon bebas itu memohon maaf, menarik-balik dakwaan-dakwaannya atau membayar ganti rugi kepada parti.

"Arahan saya kepada peguam-peguam parti supaya mulakan tindakan hari ini dengan menghantar notis tuntutan dan amaun gantirugi akan dibincangkan oleh panel peguam dan saya akan diberi maklum-balas pada lewat petang nanti selepas mereka menyerahkan notis itu kepada calon terbabit," kata Saifuddin.

Sebelum ini, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional itu menuduh PKR menawarkan wang ringgit dan jawatan sekiranya beliau menarik diri dari bertanding dalam pilihanraya kecil N12 Penanti.

Aminah dalam satu sidang media hari ini mendakwa seorang ahli majlis pimpinan tertinggi dan seorang pegawai khas menemuinya dan menawarkan wang ringgit RM80,000.

Tanpa menamakan dua individu itu, Aminah atau Kak Min berkata jawatan untuk mempengerusikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang menantinya sekiranya beliau bersetuju untuk menarik diri.

Aminah turut mendakwa PKR yakin beliau lebih popular dan mampu mengalahkan Dr Mansor Othman - demikian itu PKR mahu menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri (1) kepadanya sekiranya menang pilihanraya ini.

Menjawab soalan pemberita, Saifuddin berkata parti menunggu siasatan dibuat oleh pihak berkuasa tidak berminat untuk mengulas tuduhan-tuduhan ini.

"Kita hanya akan respon dengan sewajarnya melihat kepada bukti-bukti yang akan dikemukakan. Kita biarkan beliau memfailkan laporan, menghasilkan bukti dan SPR menyiasat kes ini. Sehingga itu kita tidak akan komen," kata Saifuddin.

Esok, Aminah akan memfailkan laporan di Suruhanjaya Pilihan Raya dan mendedahkan nama dua individu terbabit. Aminah mendakwa bukti bergambar dan rakaman

audio akan didedahkan tidak lama lagi dan menyeru Pengerusi Perhubungan Negeri Pulau Pinang, Zahrain Hashim untuk membubarkan PKR.

Aminah bagaimanapun gugup ketika menjawab soalan pemberita mengapa bantahan tidak dibuat pada hari penamaan. Aminah berkata beliau mahu bertarung dengan PKR dan demikian itu tidak mahu penamaan Dr Mansor Othman ditolak.

Ketika ditanya mengapa Aminah tidak memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya merujuk kes kepada SPR yang tidak ada kuasa pendakwaan, Aminah berkata terpulang pada SPR untuk menyerahkan kes itu kepada SPRM.

Semalam, Ketua Biro Strategi Tian Chua menafikan sogokan atau insentif diberikan kepada calon Kunci itu.

Beliau mendesak penuduh supaya membuktikan tuduhan mereka dan memfailkan laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tian berkata PKR bersikap telus dan bersedia untuk disiasat. Sekiranya tuduhan ini didapati tidak berasas dan berniat jahat, penuduh diingatkan bersiap-sedia hadapi tindakan undang-undang.

“Kita yakin SPRM akan pantas menyiasat. Kita tidak ada masalah dalam perkara ini,” kata Tian.

Sehari selepas Tian berkata demikian, Aminah membuat satu laporan polis di Balai Polis Perda sekitar 12.00 tengahari tadi memohon perlindungan polis.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese