24 May 2009
Penanti: PKR Kemuka Program Perkasa Rakyat
Parti Keadilan Rakyat hari ini melancarkan program bersepadu untuk memperkasakan penduduk Penanti, khususnya mereka yang terpinggir.
Agenda lima perkara itu menjurus kepada pendidikan, pembangunan usahawan kecil, pengurusan jawatankuasa kampung dan agihan zakat secara optimum.
Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr Mansor Othman untuk pilihanraya kecil Penanti berkata program berkenaan mensasarkan pemberdayaan semua lapisan penduduk Penanti.
Menyedari peri pentingnya pendidikan dan hubung kaitnya kearah meningkatkan taraf hidup rakyat, agenda 5 Perkasa Rakyat memberikan keutamaan kepada pendidikan pelajar-pelajar miskin.
“Program ini membela semua pelajar miskin, tak kira Melayu, Cina atau India. Program ini dirumuskan untuk memberdaya dan membina keyakinan diri pelajar, “ kata Dr Mansor, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia.
Antara lain program bantuan pelajar ini merangkumi kursus-kursus bimbingan dalam pelbagai matapelajaran di samping seminar motivasi dan kem bina jati diri.
Merujuk kepada pembangunan usahawan kecil, Dr Mansor berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga ditubuhkan supaya usahawan kecil tidak dibelit masalah kurang modal dalam mengendalikan urusniaga mereka.
“Golongan ini sering dipinggirkan, sukar untuk mereka mendapat bantuan, sehinggakan 70 peratus dari mereka terpaksa meminjam dari Ah Long.
“Kita merangka program ini untuk membuka ruang kepada peniaga kecil dan pengiat SMI mendapat modal tambahan segera dan syarat-syarat pinjaman yang mudah,” kata beliau.
Dr Mansor berkata program ini dibuka kepada semua pihak yang layak, tanpa mengira kefahaman politik mereka.
Beliau berkata pengurusan masjid dan JKKK akan diperkasakan di Penanti, Ini termasuk penerapan urustadbir jawatankuasa kampung yang ikhtisas dan pengurusan Qariah masjid yang lebih baik.
“Kita akan memperkasa akar umbi dengan memantapkan sistem pengurusan Qariah masjid di semua surau dan masjid seluruh Penanti.
“Usaha akan juga dibuat untuk mewujudkan JKKK yang benar-benar profesional kerana kita tahu institusi ini adalah institusi yang paling dekat dengan rakyat,” tambah Dr Mansor.
PKR juga bertekad mewujudkan Yayasan Islam Negeri Pulau Pinang, sebagai platform membangunkan tanah wakaf, memaksimumkan manfaat zakat dan bantuan Baitul Mal kepada warga miskin, rumah kebajikan muslim untuk semua warga Penanti serta menganjurkan kursus dan latihan profesional kepada golongan sasaran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment