Muktamar Agung Tahunan PAS 2009 yang akan berlangsung pada 4-7 Jun ini, kini mengundang pelbagai spekulasi. Dari aspek keupayaan pelaksana, kelicinan teknikal, keselesaaan perwakilan, pemerhati dan media sehinggalah kepada soal gagasan yang akan menunjangi pergerakan parti untuk sepenggal akan datang. Tidak kurang juga yang memberi fokus khusus terhadap kepimpinan yang akan menerajui parti Islam yang menjadi antara model kepada gerakan Islam masakini.
Selangor sudah pasti akan memberi khidmat yang terbaik kepada lautan mukmin yang akan menjadi tetamu kepada mereka. Rezki ini tidak mungkin akan disia-siakan. Kesungguhan meraikan tetamu akan menjadi lorongan kemuliaan sohibul bait di sisi Allah 'Azzawajalla. Apa lagi yang diraikan itu adalah para pemilih yang mewakili organisasinya untuk memilih teraju pimpinan utama parti.
Trend pemilihan perwakilan dalam PAS alhamdulillah tidak sepertimana kocakan gelombang pemilihan perwakilan dalam UMNO. Mereka terpaksa turun berhabis-habisan untuk mendapatkan satu dari kerusi tersebut. Bahkan ada yang terpaksa menjahanamkan RM, maruah dan harga diri semata-mata untuk meraih pulangan yang lebih lumayan menjelang pemilihan di peringkat yang lebih atas. Belum pun sampai ke mana, aib teman-teman dilondehkan, skandal terpapar di sana sini, dedahan fitnah bermaharajalela, temprecher blog mendidih bagaikan si ibu merebus batu semata-mata berdalih menahan lapar anak-anak di zaman Umar r.a. Semuanya bagaikan suatu permainan yang penghujungnya adalah dunia. Luahkanlah rasa syukur kita lantaran Allah masih memelihara kita dari sifat-sifat mazmumah yang boleh mendorong kepada perlakuan sumbang seumpama mereka.
Benar. Perwakilan membawa amanah berat. Pembentukan kepimpinan parti Islam ini kini sebahagiannya berada di genggaman mereka. Kabinet Taqwa pimpinan Dato' Seri Presiden mesti mampu membayangi keupayaan sebuah Gerakan Islam. Menunjanginya adalah ISO yang perlu memenuhi piawaian dan kerangka sebuah Jamaah Islam untuk dilihat sebagai model kepada yang lain dengan penetapan KPI yang selaras dengan ciri dan sifat sebuah organisasi Islam.
Tidak berbangkit soal siapa jika ianya dari rumpun yang bertaqwa. Allah melebihkan kita sesama kita dengan taqwa. Taqwa yang sukar dipertahankan di saat kita menghadapi keadaan yang bercelaru. Lantaran, Allah mengajar kita tentang kehidupan. Tentang kawan dan tentang lawan. Musuh yang sudah sedia ada perlu di hadap dengan wajah yang ceria tapi penuh persiapan dan siapsiaga. Di sanalah kelibat rijalud Dakwah harus muncul untuk menjadi duta penyelamat dan kasih sayang.
Meraikan kepimpinan yang boleh melastari situasi yang kondusif lebih baik dari membawa pulang seorang tokoh tetapi bisa memecahkan kesepaduan anggota yang sedia damai. PAS akan terus dijaga oleh anggota dan pimpinan yang ikhlas semata-mata kerana Allah sepertimana Allah menyingkirkan mereka yang tidak jujur dan khianat dari lingkungan keaslian perjuangan Islam.
Awaslah mereka yang khianat. Yang cuba melingkungi dan mengepung perjalanan Qiadah. Jundiyyah yang soleh akan terkesan di saat ombak membadai tepian pantai dan di saat pengapungan bahtera yang cuba dikaramkan oleh tangan-tangan yang mula berlumuran dengan dosa... (dipetik dari Blog Ustaz Wan Azhar)
1 comment:
Awaslah mereka yang khianat. Yang cuba melingkungi dan mengepung perjalanan Qiadah. Jundiyyah yang soleh akan terkesan di saat ombak membadai tepian pantai dan di saat pengapungan bahtera yang cuba dikaramkan oleh tangan-tangan yang mula berlumuran dengan dosa...
Ustaz...minta penjelasan sikit....ustaz maksudkan sapa ni..tuduhan khianat ni berat....ke kita rasa kita je ikhlas orang lain khianat
Post a Comment