19 May 2009

Khir Toyo Dan 4 Adun Dicadang Gantung Sidang dan Elaun



Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini mencadangkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo digantung dari sidang Dewan Undangan Negeri selama 12 bulan dan elaunnya sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri juga turut dibekukan kerana enggan hadir pada perbicaraan awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Mac lalu.

Dr Khir juga menghadapi 3 lagi pertuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 70, Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan media yang menghina Dewan dan juga melalui laman blognya. Bagi setiap satu pertuduhan, Khir akan berdepan dengan hukuman digantung dari sidang selama 6 bulan dan elaunnya juga akan turut dibekukan selama tempoh itu.

Sehubungan itu, 4 ADUN BN yang juga turut didakwa menghina Dewan di bawah enakmen penghinaan DUN Selangor 2008, akan menerima hukuman sama tetapi untuk tempoh enam bulan serta pembekuan elaun dan kemudahan sebagai ADUN sepanjang tempoh tersebut.

Mereka yang didapati bersalah ialah ADUN Sabak Bernam, Warno Dogol, ADUN Hulu Bernam, Mohamed Idris Abu Bakar, ADUN Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim dan ADUN Dengkil, Marsum Paing.

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Kim yang mempengerusikan Jawatnkuasa Hak dan Kebebasan Dewan itu menyatakan hukuman yang diusul untuk bekas Menteri Besar itu bukan direkayasa tetapi berasaskan kepada buku rujukan parlimen berjudul "Erskine May Parlimentary Practice" jilid ke 23.

Beliau berkata keputusan yang dipersetujui secara bersama oleh ahli jawatankuasa itu juga merujuk kepada kes- kes di parlimen yang terdahulu.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese