Walaupun Perdana Menteri membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini, tiga orang lagi ditahan bawah akta kontroversi itu sejak bulan lalu.
Abdul Matin Anol Rahmat ditahan di rumahnya di Ulu Tiram, Johor pada 1 April lalu, dua hari sebelum Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam.
Beliau ditahan bagi siasatan berhubung gerakan Jemaah Islamiah (JI), kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda.
Abdul Matin mengikut jejak menantunya Zaini Zakaria yang meringkuk di kem tahanan Kamunting, Perak selama lima tahun sehingga 13 Februari lalu.
Turut ditahan Agus Salim dari Medan, Indonesia. Beliau ditangkap polis di tempat kerjanya di sebuah restoran di Larkin, Johor pada 5 Mac.
Seorang lagi Johar Hassan diura-urakan turut ditahan tetapi tiada maklumat lengkap mengenai penahanannya.
Tangkapan ketiga-tiga individu itu didedahkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA dalam satu aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.
Tiga orang berkenaan ditahan menurut Seksyen 73 (1) ISA untuk soal siasat selama 60 hari, kata NGO itu lagi.
"Penahanan ketiga-tiga mereka ini tidak diumumkan oleh polis atau kerajaan dalam mana-mana saluran media. Malah ahli keluarga juga belum berjumpa tahanan. Mereka digelapkan daripada sebarang maklumat tentang keadaan tahanan dan di mana ditahan," kata pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.
Turut hadir di pejabat Suhakam hari ini, ibu dan adik Agus yang tiba dari Medan.
1 comment:
Buat lawak lagi..Depa main polis sentri ke..Leps then kejar dan tangkap...Lama2 lowyer dan Hakim nganggur le..
Post a Comment