24 April 2009
Mahkamah benarkan peguam negara mencelah krisis MB Perak
Perkembangan lain:-Nizar Fail Afidavit Bantah Zambry
PUTRAJAYA: Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin akan membuat bantahan terhadap permohonan Dr Zambry Abdul Kadir yang mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan berhubung peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan seterusnya mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.
Bantahan melalui satu afidavit jawapan yang difailkannya di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan, Nizar turut mencabar kesahihan Fasal 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang digunakan untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
Sebelum ini Nizar telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Dalam afidavit jawapan tersebut, Nizar manyatakan bahawa persoalan yang dicadangkan oleh Zambry untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan tidak dapat meleraikan kebuntuan politik.
Katanya persoalan-persoalan yang telah dicadangkan oleh Zambry untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan adalah tidak relevan kepada Permohonan Semakan Kehakiman beliau dan ia tidak akan dapat memutuskan pertikaian isu-isu dalam permohonan semaan kehakiman tersebut.
Zambry, dalam notis usulnya berkata sekiranya Mahkamah Persekutuan memutuskan ketiga-tiga persoalan itu memihak kepadanya, maka mahkamah itu perlu mengisytiharkan bahawa pada 6 Feb 2009, beliau telah dilantik dengan sewajarnya sebagai Menteri Besar Perak.
Zambry telah mengemukakan permohonan untuk merujuk tiga persoalan undang-undang berkenaan dengan interpretasi Fasal-Fasal 16(2) dan 16(6) menurut Fasal 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Nizar berkata Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar Permohonan Fasal 63 kerana istilah “Mahkamah Agung” dalam Fasal 63 itu tidak merujuk kepada Mahkamah Tertinggi di Persekutuan Tanah Melayu kerana Mahkamah Tertinggi pada ketika itu adalah Privy Council.
Nizar berkata beliau tidak menyoal perogatif Sultan Perak yang termaktub dalam Fasal 16(2) dan/atau Fasal 36(2) itu. “Perogatif Sultan Perak tidak timbul langsung dalam permohonan semakan kehakimannya,” kata Nizar.
Mengikut perlembagaan negeri Perak, Nizar adalah Menteri Besar yang sah dan beliau telah menasihati Sultan supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri, Beliau tidak meletak jawatan dan tidak wujud usul tidak percaya diluluskan terhadapnya di dewan berkenaan.
Mahkamah Persekutuan menetapkan Selasa depan untuk mendengar permohonan notis usul itu. Pendengaran semakan kehakiman itu akan didengar oleh Mahkamah Tinggi pada 5 dan 6 Mei ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment