24 April 2009

Fairus Kekal Keputusan Letak Jawatan



Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata beliau tetap dengan keputusannya meletak jawatan sebagai ADUN Penanti.

"Saya dengan ini mengulangi ketegasan saya untuk meletakkan jawatan selaku ADUN N12 Penanti serta menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan PKR di bawah teraju Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan tiga perenggan yang dikeluarkan petang ini, Fairus turut melahirkan kesyukuran kepada Allah "yang telah menganugerahkan keadilan dan pembelaan terhadap kebenarannya".

"Pengumuman SPRM yang telah membebaskan saya dari segala tuduhan itu adalah suatu manifestasi kebenaran saya yang telah selama ini saya pertahankan.

"Ternyata usaha keji pihak-pihak tertentu yang telah menabur fitnah hingga menyebabkan luka terhadap saya, keluarga dan PKR, tidak diizinkan Allah untuk menyanggah kebenaran saya," tegasnya.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan keterangan yang diperolehnya dalam siasatan terhadap Fairus tidak mempunyai asas untuk mendakwanya.

Peguam ambil tindakan

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya meneliti kes itu dengan mendalam dan mengambil kira keseluruhan keterangan yang terdapat dalam siasatan itu.

Sebelum ini, SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kononnya dua pemimpin PKR negeri itu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai.

Pendedahan berkenaan dibuat oleh Ketua Angkatan Muda PKR Kepala Batas, Amizuddin Ahmat Februari lalu dan ia dipercayai menjadi punca kepada peletakan jawatan Fairus sebagai timbalan ketua menteri I dan ADUN Penanti.

Sementara itu, Fairus berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu, ahli politik serta media tertentu yang telah mengaibkan serta menabur fitnah terhadapnya.

"Justeru, anugerah Allah SWT yang tidak ternilai ini yang telah memberikan kejayaan kepada saya dalam membela kebenaran saya telah memberi kekuatan baru kepada diri saya sendiri, keluarga dan seluruh pencinta kebenaran dan keadilan.

"Sesungguhnya bernarlah firman Allah SWT di dalam Al Quran yang mafhumnya berbunyi “…Dan apabila datangnya al Haq(Kebenaran) itu, maka kebathilan pasti akan musnah.” tambahnya.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese