22 April 2009

Karpal pohon dilepaskan daripada tuduhan menghasut



KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini supaya dilepaskan daripada tuduhan mengikut Akta Hasutan.

Karpal, 69, membuat permohonan itu selepas mengemukakan bantahan awal berhubung surat izin pendakwaan bertarikh 11 Mac yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang didakwa oleh Karpal sebagai cacat (tidak lengkap) dan tidak sah.

Ketika mengemukakan hujahan, Karpal yang mewakili dirinya sendiri, berkata surat izin sepatutnya memaparkan keseluruhan isi kandungan pertuduhan dan bukannya sebahagiannya sahaja.

Pada 17 Mac lepas, Karpal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut katakata menghasut berkaitan Sultan Perak pada sidang akhbar di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, Jalan Pudu Lama di sini antara tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Feb.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. Menurut Karpal, apa yang didakwa sebagai kata-kata menghasut dalam pertuduhan itu hanya disebut sebagai "Lampiran 'A' sahaja, tetapi menurut beliau, ia sepatutnya dinyatakan bersama dengan pertuduhan dan bukan sebagai lampiran.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said pula memberitahu mahkamah bahawa tidak nampak sebarang kecacatan pada pertuduhan itu.

Katanya, ketiadaan maklumat terperinci dalam pertuduhan tidak akan menjejaskan kes pendakwaan.

Beliau berkata, permohonan Karpal tidak mempunyai asas dan pemimpin DAP itu sepatutnya bersedia dengan pembelaannya.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah menetapkan 28 April ini untuk menyatakan keputusan. BERNAMA

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese