22 April 2009

Dun Melaka : Ketua Pembangkang Diperintah Keluar Dewan



MELAKA- Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Goh Leong San diperintah keluar dewan setelah beliau mengingkari arahan Speaker Datuk Othman Muhamad supaya memberi kerjasama agar persidangan dapat diteruskan.

Othman mengeluarkan perintah itu selepas Goh (DAP-Kesidang) enggan duduk setelah beberapa kali diarah duduk bagi membolehkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengemukakan usul ucapan penghargaan dan terima kasih kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi serta ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Insiden itu berlaku sebaik persidangan itu disambung semula kira-kira pukul 11.45 pagi, selepas berhenti rehat 30 minit, apabila Goh berdiri membangkitkan soal berkaitan satu notis yang dikemukakannya petang semalam bagi membahaskan usul undi tidak percaya terhadap Speaker DUN yang telah ditolak.

Othman berkata mengikut Fasal 36 Peraturan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, keputusan yang dibuat oleh Speaker adalah muktamad.

Beliau berkata selama ini beliau tidak bertegas terhadap Ketua Pembangkang itu yang menghina Ketua Menteri, Speaker dan dewan.

"Hari ini saya menggunakan kuasa saya memerintahkan beliau (Goh) keluar dari dewan ini," katanya sambil menangguhkan persidangan dewan selama 10 minit bagi membolehkan Bentara dan pegawai keselamatan membawa keluar Goh dari dewan itu.

Goh kemudiannya keluar dewan kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese