11 April 2009
Kabinet Najib, bukan kabinet rakyat
Ahli kabinet dimonopoli orang Najib, sahkan wujud perpecahan dalaman teruk dalam Barisan Nasional.Perlantikan Atas Dasar Pilih Kasih, Bukan Atas Dasar Kredibiliti
Kabinet Najib tidak lambangkan perpaduan UMNO
Barisan Kabinet baru tidak melambangkan perpaduan dalam UMNO kerana mereka yang terpilih adalah penyokong Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak manakala individu yang tidak menyebelahinya digugurkan daripada kumpulan baru itu.
Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, tindakan itu jelas menunjukkan Menteri yang tidak tersenarai dalam pilihan Kabinet baru adalah ‘orang kuat’ Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Pengguguran menteri-menteri berkenaan yang ada di kalangan mereka sudah lama dalam Kabinet jelas menunjukkan keretakan dalam perpaduan UMNO sendiri.
“Sepatutnya mana-mana kerajaan yang baik mampu berdiri sendiri, tidak dipengaruhi dan tidak dicucuk hidung oleh mereka yang berkepentingan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.
Menurutnya, kedudukan Kabinet yang baru itu juga menunjukkan kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan anaknya Dato’ Mukhriz tercapai manakala Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tersingkir.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri itu berkata, sebenarnya kembalinya Dr Mahathir memasuki UMNO membimbangkan rakyat kerana peranan yang bakal dimainkan beliau dalam kepimpinan parti itu dan kerajaan kelak.
Husam berkata, kepimpinan yang baru itu harus mengambil kira kepentingan dan tuntutan majoriti rakyat yang ingin melihat integriti pasukan polis ditingkatkan, pengurangan kadar jenayah dan kerajaan yang bersih.
Terdahulu beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dato’ Dr Awang Adek Hussin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II dan Dato’ Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).
Tambahnya, diharap dengan kedudukan terbaru itu mereka dapat berbincang dan merangka perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan untuk masyarakat Kelantan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) kerana kesalahan membunuh wanita Mongolia, Husam menyatakan keputusan itu menimbulkan tanda tanya kepada rakyat.
“Ini kerana mustahil dua anggota terbabit boleh bertindak sendirian tanpa didalangi sesiapa dalam kes itu dan sehingga kini ia menimbulkan misteri kepada masyarakat.
“Diharap polis dapat menyiasat rangkaian antara dua anggota polis itu dengan arahan yang diterima kerana pihak yang ada kepentingan dalam kes ini tidak disabitkan oleh mahkamah,” katanya.
Mahkamah semalam mendapati Cif Inspektor Azilah Hadri, 33 dan Koperal Sirul Azhar Umar, 37 gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu dan disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, pada Oktober 2006 lalu. Sinar Harian Edisi Kelantan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment