26 January 2009

Rasuah Punca Lompat Parti - Malaysiakini



3 lagi ADUN BN Perak sertai Pakatan?

PETALING JAYA: Kira-kira 24 jam selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota dari Umno menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN) dijangka menyertai Pakatan Rakyat.

Terdahulu di ibu negara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan bahawa ada lagi wakil rakyat BN yang akan menyertai Pakatan Rakyat.

Timbalan Pengerusi BN itu menyifatkan semua itu sebagai khabar angin sahaja.

"Semua itu khabar angin sahaja...saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah)," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkara itu berikutan tindakan Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR semalam.

Nizar ketika mengulas lanjut isu itu memberitahu, perbincangan dengan ketiga-tiga ADUN terbabit sedang berlangsung dengan Pakatan Rakyat.

"Kita sedang berurusan. Perbincangan mengenainya sedang berjalan," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Perak di Ipoh hari ini.

Ketika ditanya mengenai identiti ADUN berkenaan, beliau berkata ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan ialah dari Umno.

"Kami mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam Pakatan Rakyat dan kami terbuka untuk menerima mereka," katanya.

Dengan keputusan Nasarudin, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggota DAP, PAS dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata, keputusan Nasaruddin tidak menjejaskan kedudukan BN.

Kata beliau, keputusan Nasaruddin itu hanya membawa perubahan kepada jumlah kerusi di persidangan DUN.

Tajol Rosli, yang juga Pengerusi BN Perak, berkata BN di Perak masih kukuh dan berazam mahu merampas semula Perak daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita ada tiga tahun lagi untuk berbuat demikian dan BN telah menggerakkan semua jentera terutamanya untuk meraih undi pengundi muda.

"BN mendapati kekurangan undi pada pilihan raya umum ke-12 adalah di saluran tiga dan empat... kita akan gerakkan jentera untuk mendapatkan sokongan pengundi muda daripada saluran tersebut," katanya selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan di Gunung Rapat di sini.

2 comments:

NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE said...

selamat melompat.
melompat kini buat selamanya.
bye umno.

Pencinta Malaysia said...

LOMPAT PARTI - PENYELESAIAN MENANG-MENANG

1. PENGENALAN

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Barisan Nasional memenangi 140 kerusi Palimen untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baharu. Manakala bakinya 82 kerusi dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Presiden ‘de facto’ Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah kemudiannya menyatakan bahawa pihak pembangkang hanya memerlukan 30 orang ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menyertai Pakatan Rakyat bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baharu dan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional Sabah dan Sarawak telah dibuat untuk tujuan ini.

Sehubungan itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid bin Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa wakil rakyat yang menyertai parti politik lain sebagai orang yang tidak berintegriti dan tidak bermoral. Beliau menambah bahawa sudah tiba masanya untuk menggubal undang-undang anti lompat parti bagi menghalang perbuatan sedemikian.[1]


2. DEFINISI

Secara am, ia merupakan undang-undang yang mengkehendaki seseorang itu mengosongkan kerusi Parlimennya atau kerusi Dewan Undangan Negerinya apabila beliau bukan lagi menjadi ahli, sama ada keluar atau disingkirkan, kepada parti politik yang mana beliau adalah ahli semasa dipilih.

3. KEDUDUKAN UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA

Undang-undang anti lompat parti sebenarnya pernah dan masih wujud di Malaysia iaitu di Kelantan, Sabah, dan Sarawak. Bagi Kelantan, pada tahun 1990, Angkatan Perpaduan Ummah yang terdiri daripada PAS dan Parti Semangat 46 telah memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan. Pada bulan April 1991, Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Negeri bahawa jika mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri yang merupakan ahli kepada sesebuah parti politik, keluar atau disingkirkan daripada parti politik itu, kerusinya hendaklah dikosongkan.[2]

Undang-undang ini telah dicabar di Mahkamah. Dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan v Nordin bin Salleh & Seorang lagi [1992][3], Mahkamah Agung memutuskan bahawa undang-undang anti lompat parti yang diluluskan oleh Kerajaan Kelantan sebagai tidak sah kerana ia melanggar hak kebebasan berpersatuan yang dijamin dalam Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. Hak ini juga merujuk kepada hak untuk keluar dari persatuan. Mahkamah juga berpendapat bahawa undang-undang ini ‘ultra vires’ dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Kerajaan Persekutuan sahaja berkuasa untuk menggubal undang-undang sebegini.[4] Seterusnya, Mahkamah Agung berpendapat bahawa undang-undang ini tidak boleh digubal menggunakan alasan moraliti kerana perkataan ‘moraliti’ dalam Artikel 10(2)(c) Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada moraliti seksual sahaja.

Manakala bagi Sabah, undang-undang ini telah digubal[5] pada tahun 1986.. Undang-undang ini disahkan oleh Mahkamah Agung dalam kes Abdul Karim Abdul Ghani v Legislative Assembly of Sabah (1988)[6]. Walaupun demikian, pada tahun 1993, dalam kes Tun Datu Mustapha Datu Harun v. State Legislative Assembly Of Sabah & Anor[1993], undang-undang ini diputuskan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan keputusan Mahkamah Agung dalam kes Nordin bin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992].

Seterusnya, bagi Sarawak pula, Perlembagaan Negeri Sarawak telah dipinda pada bulan November 1994 dengan memasukkan klausa-klausa bahawa sesiapa yang dengan sukarela telah memberi akujanji bertulis kepada Yang diPertua Dewan bahawa dia tidak akan keluar daripada parti yang disertainya semasa dipilih ke Dewan Undangan Negeri, jika dia keluar daripada parti itu selepas dipilih, atas dasar kepentingan integriti awam dan moraliti, dia bukan lagi menjadi ahli Dewan Undangan Negeri berkuatkuasa dari tarikh beliau keluar daripada parti itu.[7] Seterusnya, bagi mengelak sebarang kekeliruan, klausa ini tidak boleh ditafsirkan sebagai mengenakan halangan-halangan kepada sesiapa daripada menjadi ahli kepada mana-mana parti secara kekal atau sebaliknya.[8] Undang-undang negeri ini belum dicabar di mahkamah.

4. KEDUDUKAN UNDANG-UNDANG DI NEGARA-NEGARA LAIN

Undang-undang anti lompat parti wujud di negara-negara lain seperti Singapura, India, Nepal, Greece, Namibia, Seychelles, Sierra Leone, dan Zimbabwe. Penulis akan mengulas tiga negara iaitu India, Afrika Selatan, dan Singapura.

4.1. INDIA

Jadual Kesepuluh Perlembagaan Republik India menyatakan bahawa “Mana-mana ahli Parlimen kepada mana-mana parti politik akan hilang kelayakannya sebagai ahli Parlimen, jika dia menyokong atau enggan menyokong dalam Parlimen berlawanan dengan mana-mana arahan yang dikeluarkan oleh parti politiknya.”

Antara tahun 1967 dan 1972, hampir 2000 daripada lebih kurang 4000 orang ahli perwakilan Lok Sabha dan dewan-dewan perundangan lain telah melompat parti. Dalam usaha mengawal amalan melompat parti yang berleluasa ini, pada tahun 1985, kerajaan India telah memperkenalkan undang-undang anti lompat parti melalui Jadual Kesepuluh yang membatalkan keahlian sebagai ahli Parlimen apabila dia dengan sukarela keluar parti politiknya atau tidak meyokong usul partinya di Parlimen tanpa kebenaran partinya. Walaubagaimanapun, Jadual Kesepuluh itu membuat pengecualian. Ahli-ahli Parlimen dapat terus mengekalkan kerusi masing-masing melalui pecahan parti ataupun penggabungan parti dengan parti lain. Walaupun jumlah wakil rakyat yang melompat parti secara individu berkurangan tetapi jumlah yang melompat parti secara besar-besaran pula makin bertambah.

4.2. AFRIKA SELATAN

Undang-undang anti lompat parti diperkenalkan di Afrika Selatan untuk menjaga kestabilan politik negara yang baru bebas daripada dasar Apartheid. Di Afrika Selatan, wujud satu pakatan yang dianggotai oleh tiga buah parti sehinggalah bulan November 2001 apabila salah sebuah parti menarik diri daripada pakatan itu. Oleh kerana pakatan itu bertanding dalam pilihan raya pada tahun 2000 atas label pakatan sahaja, tiada perbezaan dapat dibuat antara perwakilan-perwakilan daripada parti-parti dalam pakatan yang sama itu. Memandangkan undang-undang memperuntukkan bahawa ahli-ahli Parlimen hanya dapat mengekalkan kerusi masing-masing jika mereka masih mewakili pakatan yang mana mereka dipilih semasa bertanding, secara teknikal, ahli-ahli Parlimen daripada parti itu akan kehilangan kerusi masing-masing.

Ahli-ahli Parlimen itu ingin bersama parti mereka untuk membentuk pakatan dengan sebuah lagi parti. Satu rang undang-undang dibentangkan pada bulan November 2001 itu juga. Undang-undang yang baharu kemudiannya diluluskan dengan membenarkan ahli-ahli Parlimen melompat parti sebanyak dua kali dalam tempoh lima tahun[9] dan disyaratkan bahawa jumlah ahli Parlimen itu mewakili sepuluh peratus daripada jumlah semua ahli Parlimen dalam parti itu[10]. Ahli-ahli Parlimen yang berhasrat sedemikian mestilah memaklumkannya kepada sebuah suruhanjaya bebas yang akan menetapkan dalam tempoh berapa lama perpindahan parti itu perlu disempurnakan. Hasilnya, pada tahun 2003, parti yang lain itu telah mendapat beberapa kerusi Parlimen lagi dan telah berjaya mendapat majoriti dua pertiga walhal gagal mencapainya pada tahun 1999. Undang-undang ini disahkan oleh Mahkamah dalam kes United Democratic Movement v President of the Republic of South Africa (No 2) 2003.[11]

Ramai yang berpendapat bahawa undang-undang ini lebih berpihak kepada parti yang terbesar. Parti-parti yang lebih kecil lebih mudah memenuhi syarat sepuluh peratus itu berbanding parti yang besar. Kesannya, undang-undang ini mengancam prinsip pengasingan kuasa antara badan ekskutif dan badan perundangan serta menghasilkan pembangkang yang agak lemah untuk bertindak sebagai check and balance. Akhirnya pada tahun 2006, undang-undang ini telah dimansuhkan.

4.3. SINGAPURA

Artikel 46 (2) Perlembagaan Republik Singapura menyatakan bahawa “Kerusi seorang ahli Parlimen hendaklah menjadi kosong- (b) jika dia tidak lagi menjadi ahli kepada, disingkirkan atau keluar, parti politik yang mana diwakilinya semasa pilihan raya;”

Secara praktikal, ahli-ahli Parlimen melalui sistem parti adalah tertakluk kepada disiplin parti iaitu kepada pemimpin-pemimpin parti yang biasanya terdiri daripada ahli-ahli Kabinet. Ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai kedudukan yang kuat untuk menuntut menteri-menteri untuk bertanggungjawab, lebih-lebih lagi apabila parti pemerintah itu mempunyai majoriti kerusi Parlimen yang amat banyak. Kuasa politik ini seterusnya dikukuhkan lagi melalui undang-undang anti lompat parti yang mengikat ahli Parlimen kepada partinya denagn peringatan bahawa kerusi Parlimen mereka bergantung kepada kekalnya keahlian dalam partinya. Jadi, apabila sebuah parti menguasai 82 daripada 84 kerusi Parlimen, seperti yang dipegang oleh People’s Action Party sekarang, ia dapat mengawal ahli kabinet Parlimen dan Parlimen itu serentak. Berdasarkan sistem parti ini, Kabinet dan bukannya Parlimen, yang mengawal agenda perundangan.

5. MORALITI

Objektif di sebalik cadangan ini adalah untuk mencegah wakil-wakil rakyat daripada diumpan dengan wang ataupun jawatan-jawatan penting untuk menyertai parti lain. Perbuatan inilah yang disifatkan sebagai tidak bermoral seperti dikatakan oleh Datuk Mohd Zaid bin Ibrahim.

Penentang cadangan penggubalan undang-undang ini berpendapat objektifnya tidak jelas. Jika moraliti adalah objektifnya, maka perbuatan menyertai parti politik lain itu sendiri mestilah sesuatu yang tidak bermoral. Angggapan bahawa wakil rakyat itu menyertai parti lain kerana sebab-sebab curang sahaja adalah tidak wajar. Mungkin wakil rakyat itu menyertai parti lain kerana beliau berasa beliau dapat berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat ataupun kepimpinan parti asalnya memaksanya bersekongkol dalam penyalahgunaan kuasa. Ini bermakna, undang-undang ini akan menghalang perkara-perkara yang bermoral pula.[12] Tambahan lagi, undang-undang sedia ada sudah cukup untuk mencegah dan menghukum wakil-wakil rakyat yang curang[13]. Malahan, rakyat tidak akan memilih mereka pada pilihan raya umum seterusnya.

Rujukan perlu dibuat sekali lagi kepada kes Nordin bin Salleh [1992]. Dalam kes ini, Mahkamah Agung memutuskan bahawa perkataan ‘moraliti’ dalam klausa pengecualian Artikel 10(2)(c) merujuk kepada moraliti seksual sahaja. Moraliti politik tidak dianggap sebagai satuk bentuk moraliti di bawah Artikel ini.

Walaubagaimanapun, dalam kes Sivarasa Rasiah v Majlis Peguam Negara [2006][14], Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa perkataan “moral” perlu didefinisikan dengan luas, liberal dan menyeluruh dan bukan hanya tertakluk kepada nilai-nilai yang baik. Oleh kerana perkataan “moral” tidak ditafsirkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Rayuan telah merujuk kepada kamus New Shorter Oxford English Dictionary on Historical Principles[15] dalam menafsirkan “moral” sebagai suatu doktrin atau ranting ilmu yang berkaitan dengan ilmu menentukan baik atau buruk, benar atau salah, tatacara benar atau salah,tugas dan tanggungjawab, falsafah moral dan etika.

Dalam kes di atas, Mahkamah rayuan memutuskan bahawa Seksyen 46A(1)(c)(ii) Akta Profesion Undang-Undang 1976 adalah suatu contoh di mana sekatan boleh diadakan bagi kepentingan “moral” kerana ianya berkaitan isu etika. Seksyen tersebut melarang sesiapapun yang memegang jawatan dalam parti politik untuk memegang jawatan dalam Majlis Peguam atau Jawatankuasa Negeri.

Penyokong cadangan ini melihat kelakuan sebegini sebagai tidak bermoral kerana ia akan merendahkan kesucian politik dan menguatkan tanggapan umum bahawa politik itu sesuatu yang kotor padahal orang pengotor inilah yang masuk ke dalam politik dan menjadikan politik itu kotor. Secara logik, selepas sokongan yang besar daripada segi kewangan dan moral, tidakkah keputusan untuk melompat parti itu menampakkan seseorang wakil rakyat itu seorang yang tidak mengenang budi? Bukankah ia kelihatan tidak betul daripada segi etika?

6. HAK KEBEBASAN BERPERSATUAN

Artikel 10(1)(c) kepada Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.” Hak kebebasan untuk membentuk persatuan ditafsirkan sebagai bukan sahaja hak untuk membentuk dan menyertai persatuan tetapi juga hak untuk menolak atau keluar daripada berpersatuan. Dalam kes Nordin bin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992], Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa salah satu sebab undang-undang anti lompat parti yang diluluskan Kerajaan Kelantan sebagai tidak sah adalah kerana melanggar hak kebebasan di atas. Ini bermakna, wakil rakyat masih dapat mengekalkan kerusinya kerana melompat parti adalah hak kebebasannya. Wakil rakyat tidak boleh dihukum kerana melaksanakan haknya.

Walaubagaimanapun, dalam kes Richard Prebble and Ken Shirley v Donna Awatere Huata [2004], Mahkamah Agung New Zealand memutuskan bahawa kebebasan berpersatuan bersifat dua hala. Kalau ahli-ahli bebas keluar sesuatu parti, parti itu juga bebas untuk mengeluarkan mana-mana ahli jika parti itu, mengikut peraturan-peraturan persatuan dan jika bersedia mengambil risiko tindak balas pengundi-pengundi.[16] Dalam kes ini Mahkamah Agung New Zealand, secara implikasi, memutuskan bahawa undang-undang ini di bawah Electoral Act 1993 tidak bertentangan dengan New Zealand Bill of Rights Act 1990 berhubung hak kebebasan bersuara[17] dan hak kebebasan berpersatuan[18].

Hakim dalam kes ini juga berpendapat bahawa mana-mana wakil rakyat yang tidak bersefahaman dengan partinya tentang apa-apa perkara yang penting masih bebas untuk meneruskan ketidaksefahamannya dalam partinya. Jika wakil rakyat itu keluar atau disingkirrkan daripada parti politik itu dan hilang kerusinya, wakil rakyat itu boleh meneruskan ketidaksefahamannya di luar Dewan dan boleh masuk bertanding untuk dipilih semula, jika perlu, sebagai calon bebas ataupun calon parti lain. Dengan kata lain, hak kebebasan berpersatuan wakil rakyat itu tidak dinafikan tetapi disempitkan.[19]

Mereka yang menentang undang-undang ini juga merujuk kepada satu deklarasi antarabangsa yang dikenali sebagai Latimer House Guideline for The Commonwealth. Dalam deklarasi ini, wakil-wakil negara bersetuju bahawa pengosongan kerusi Parlimen kerana bertukar parti politik mesti dilihat sebagai satu bentuk pencerobohan kepada kebebasan ahli-ahli Parlimen.[20] Walau apapun, sekiranya sudah menjadi kehendak rakyat bahawa hak kebebasan berpersatuan yang dinikmati oleh wakil rakyat sekarang dihadkan melalui pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, maka tidak akan timbul lagi isu ini.

7. TEORI PERWAKILAN

Sama ada undang-undang ini perlu digubal atau tidak juga ada berkaitan dengan fungsi wakil rakyat itu sendiri. Terdapat tiga teori perwakilan iaitu teori perwakilan bebas[21], teori mandat imperatif[22], dan teori mandat parti.

Bagi teori perwakilan bebas, teori yang dimasyhurkan oleh ahli falsafah teori politik Edmund Burke (1972-97), pengundi-pengundi dianggap memberi kuasa perwakilan kepada seseorang wakil rakyat itu atas dasar beliau sebagai seorang individu dengan kombinasi kepandaian membuat keputusan, kemunasabahan pemikiran dan ketinggian peribadi untuk membuat keputusan terbaik bagi pihak rakyat dan negara, walaupun ia bermakna tidak mengikut kehendak semasa rakyat.

Manakala bagi teori mandat imperatif, pengundi-pengundi mahukan kehendak-kehendak mereka sebagai penentu bagaimana wakil rakyat itu bertindak. Mereka mahukan undang-undang yang mana wakil rakyat mereka terlibat dalam penggubalan undang-undang itu adalah undang-undang yang mereka mahu wujudkan kalau mereka sendiri dapat terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan.

Penyokong teori-teori di atas berpendapat bahawa seseorang wakil rakyat itu mewakili rakyat, bukannya partinya. Parti yang mencalonkannya tetapi rakyatlah yang memilihnya menjadi seorang wakil rakyat. Oleh itu, wakil rakyat itu mesti mengutamakan kepentingan rakyat. Wakil rakyat mesti bebas daripada rasa takut dalam menggunakan budi bicara untuk kebaikan rakyat.

Bagi teori mandat parti pula, setiap wakil rakyat itu dipilih sebahagian besarnya kerana beliau telah dicalonkan oleh sesuatu parti itu dan menjadi satu jangkaan bahawa kesetiaan utamanya selepas dipilih mestilah kepada parti itu. Parti politik sudah menjadi satu institusi yang amat penting dalam politik pilihan raya moden. Pengundi-pengundi sebahagian besarnya membuat keputusan pengundian berdasarkan persepsi masing-masing terhadap setiap parti; polisi-polisi apa yang ditawarkan, kebolehan pemimpinnya, kejayaannya memenuhi janji-janji, dan lain-lain lagi. Majoriti pengundi mengundi mana-mana calon yang diperkenan oleh parti yang pada pendapat mereka adalah merupakan parti yang selari dengan kecenderungan dan idealisme politik mereka serta yang mereka percaya yang dapat menjayakan kecenderungan dan idealisme itu dalam arena perundangan.[23]

Mungkin ada yang berhujah bahawa kepentingan parti tidak dinyatakan pun dalam Perlembagaan Persekutuan. Artikel 47 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa mana-mana warganegara Malaysia, bukannya mana-mana parti politik, yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat. Walaupun begitu, tiada siapa yang dapat menafikan lagi bahawa institusi parti politik sudah menjadi tunjang dalam sistem demokrasi pada zaman ini.

8. TATACARA PENGGUBALAN

Penulis mendapati bahawa wujud beberapa mekanisma yang dapat digunapakai dalam penggubalan undang-undang ini.

Pertama, satu undang-undang Persekutuan mungkin dapat digubal di bawah Artikel 10(2)(c) Perlembagaan Persekutuan atas alasan keperluan keselamatan negara, ketenteraman awam dan moraliti yang hanya memerlukan kelulusan majoriti mudah. Sudah tentunya undang-undang ini akan dicabar di Mahkamah berdasarkan keputusan Mahkamah Agung dalam kes Nordin bin Sallleh [1992] bahawa moraliti yang dinyatakan dalam Artikel 10(2)(c) itu merujuk kepada moraliti seksual sahaja. Mahkamah Persekutuan masih boleh menolak (overrule) pentafsirannya terdahulu dan mengambil pentafsiran yang lebih liberal seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Sivarasa Rasiah v Majlis Peguam Negara [2006].

Kedua, sekiranya tidak, Artikel 10 (2)(c) Perlembagaan Persekutuan itu sendiri perlu dipinda supaya perkataan moraliti itu jelas termasuk moraliti politik. Tetapi, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan begini memerlukan sokongan dua pertiga daripada semua ahli Parlimen. Ketiadaan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen oleh parti pemerintah sekarang mungkin menyukarkan kelulusan undang-undang ini kecuali ahli-ahli Parlimen dapat difahamkan tentang keperluan dan bentuk undang-undang ini.

Ketiga, satu klausa tambahan boleh dimasukkan dalam Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan. Artikel 48 ini menyentuh tentang kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen. Klausa (6) Artikel 48 menyatakan bahawa seseorang ahli Parlimen yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat, akan hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat selama lima tahun bermula dari tarikh beliau melepaskannya. Klausa (6) ini mengehadkan hak warganegara untuk bertanding dan menjadi ahli Parlimen seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 47 Perlembagaan Persekutuan. Justeru itu, kenapa tidak satu klausa tambahan dimasukkan dalam Artikel 48 melarang ahli Parlimen melompat parti sepanjang penggal Parlimen?

Keempat, sekiranya semua di atas gagal, undang-undang ini dapat diwujudkan sebagai satu ordinan darurat di bawah Artikel 150(2B) Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang ini hanya memerlukan perkenan Yang DiPertuan Agong. Walaubagaimanapun, undang-undang ini hanya dapat dibuat jika Yang DiPertuan Agong mengisytiharkan negara dalam keadaan darurat dan kedua-dua Majlis Parlimen tidak bersidang serentak. Berdasarkan kes Stephen Kalong Ningkan v Government of Malaysia [1969], Privy Council memutuskan bahawa kejatuhan kerajaan sivil (collapse of civil government) adalah sebab yang munasabah untuk mengistiharkan darurat. Sebenarnya, Yang DiPertuan Agong belum menarik balik pengisytiharan darurat yang dibuat sejak kejadian 13 Mei 1969. Secara teori, Malaysia masih dalam keadaan darurat.

9. RUMUSAN

Penulis mengakui bahawa undang-undang anti lompat parti mempunyai objektif yang baik iaitu sebagai satu bentuk pencegahan terhadap amalan melompat parti di kalangan wakil rakyat yang mempunyai agenda peribadi tersendiri berbanding kepentingan rakyat. Undang-undang ini akan memastikan suara majoriti rakyat yang dinyatakan dalam pihan raya dimartabatkan. Ia juga dapat mengekalkan kestabilan perundangan dengan mengurangkan amalan keluar parti yang dapat mengubah imbangan kuasa antara parti-parti dan seterusnya mengekalkan parlimen yang demokratik. Ia diperlukan untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya dan mengekalkan kestabilan politik.

Hanya dengan kestabilan politik, perancangan-perancangan ekonomi dapat dilaksanakan dengan aman dan teratur untuk kebaikan rakyat dan negara. Jika tidak, kerajaan yang sedia ada akan lebih menumpukan masa kepada usaha pengekalan kuasa politik sahaja dan mensia-siakan masa yang ada, yang sepatutnya digunakan untuk memajukan negara.

Walaupun begitu, penulis berpendapat jika undang-undang ini tidak ditangani secara berhati-hati, objektif yang baik tadi tidak dapat mengatasi masalah-masalah yang akan timbul pada kemudian hari. Penulis berpandangan bahawa terdapat dua masalah besar yang mungkin terjadi jika cadangan ini diteruskan secara melulu.

Pertama, dengan mengkehendaki semua wakil rakyat kekal bersama partinya untuk kekal di Parlimen, ini akan menambahkan kesukaran kepada rakyat untuk mempertimbangkan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh setiap pihak yang tidak bersefahaman itu. Seseorang wakil rakyat yang tidak bersetuju dengan partinya terpaksa terus setia kepada partinya atau berhadapan dengan risiko penyingkiran daripada Parlimen. Kumpulan yang tidak bersefahaman dalam sesuatu parti itu juga akan hilang kemampuan untuk berpecah dan memperjuangkan pendirian mereka di bawah bendera parti yang berasingan. Setiap kumpulan itu terpaksa kekal dalam parti yang sama walaupun memperjuangkan agenda-agenda yang berbeza.

Undang-undang ini mungkin akan menyukarkan lagi rakyat untuk mengetahui apa yang mereka perlu putuskan semasa mengundi nanti kerana ia akan mengaburkan isu-isu sebenar yang berlaku dalam pertelingkahan dalaman parti dan juga memberi gambaran yang salah kepada rakyat tentang apa identiti sebenar sesebuah parti itu.

Masalah kedua adalah bahawa undang-undang ini memberi kuasa veto kepada pucuk pimpinan parti terhadap hak wakil-wakil rakyatnya untuk terus kekal di Parlimen. Risiko yang jelas adalah bahawa kuasa ini dapat digunakan oleh pucuk pimpinan parti untuk menyekat perbezaan pendapat yang jujur dalam parti itu terhadap mana-mana polisi atau prinsip politik parti itu. Parti sudah mempunyai pelbagai peraturan tatatertib yang sehingga dapat menyingkir mana-mana ahlinya. Malahan, ada parti yang mewajibkan ahlinya menandatangani notis keluar parti tanpa tarikh. Dalam kes Richard Prebble and Ken Shirley v Donna Awatere Huata [2004][24], Mahkamah Agung New Zealand memutuskan bahawa perbuatan tidak memperbaharui keahlian parti pun sudah cukup untuk menghilangkan kelayakan seseorang itu sebagai seorang ahli Parlimen. Persoalan timbul sama ada perlunya menambah lagi senjata yang dipegang oleh pucuk pimpinan parti.

Oleh yang demikian, undang-undang ini akan memindahkan hak untuk menentukan secara langsung siapa yang akan menjadi wakil rakyat daripada tangan rakyat kepada pucuk pimpinanan parti. Undang-undang ini akan menjadikan pendapat pucuk pimpinan sahaja sebagai penentu kepada kedudukan wakil rakyatnya untuk terus kekal dalam partinya yang juga menentukan kedudukannya sama ada terus kekal di dalam Parlimen nanti. Apakah bentuk demokrasi sebegini? Inilah sebab utama kenapa Jerman tidak mewujudkan undang-undang sebegini selepas merasai kesan daripada pemerintahan Nazi sebelum itu.[25]

Namun demikian, penulis masih berpendapat bahawa undang-undang anti lompat parti perlu digubal. Malaysia mesti bersikap pro-aktif dalam pengekalan kestabilan negara sebelum sampai ke satu tahap yang menyukarkan negara untuk berbuat apa-apa. Sesebuah parti itu tidak akan dapat mencapai matlamatnya jika wakil-wakil rakyatnya berterusan memilih untuk mengejar agenda peribadi masing-masing. Amalan melompat parti yang berterusan juga akan memperkecilkan kemampuan pemimpin-pemimpin untuk mengekalkan perpaduan parti dan dapat menjatuhkan reputasi parti di mata rakyat yang mana mungkin akan menarik balik sokongan mereka daripada parti yang berpecah-belah itu.

Tidak timbul persoalan bahawa cadangan yang dibuat ini hanya untuk menyelamatkan diri sebelah pihak sahaja kerana undang-undang ini akan memberi manfaat kepada semua parti. Parti pemerintah tentunya tidak mahu wakil rakyatnya melompat parti supaya pentadbiran negara dapat dijalankan dengan lancar dan parti pembangkang juga tentunya tidak mahu wakil rakyatnya melompat parti supaya strategi politik parti itu tidak terjejas.

Jadi apakah bentuk undang-undang yang dapat menjaga kepentingan rakyat dan parti sekaligus? Alternatif yang popular adalah dengan mengembalikan mandat untuk menentukan kedudukan wakil rakyat itu di Parlimen kepada rakyat melalui pilihan raya kecil.[26] Wakil rakyat itu tidak perlu takut sekiranya beliau benar. Jika beliau dapat menyakinkan rakyat tentang kejujurannya melompat parti, sudah tentu rakyat akan memilihnya semula.

Penulis berpendapat bahawa alternatif mengadakan pilihan raya kecil ini tidak semudah yang disangka. Apabila wakil rakyat itu keluar parti dan bertanding sebagai calon bebas, jarang-jarang mereka ini dapat bertahan. Pilihan raya bukanlah sesuatu mudah. Tanpa sokongan parti, wakil rakyat itu tidak akan mempunyai dana dan tenaga kerja yang mencukupi untuk menjayakan pilihan raya terutamanya bagi tujuan berkempen. Akibatnya, mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat tidak kesampaian. Apabila mesej tidak sampai, rakyat tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk mengundinya.

Jika wakil rakyat itu melompat ke parti lain pula, belum tentu parti lain itu akan mencalonkannya dalam pilihan raya kecil itu. Persepsi yang dominan adalah wakil rakyat itu adalah pengkhianat parti dan tidak mustahil untuk wakil rakyat itu melompat ke parti lain pula selepas beliau dipilih semula sebagai wakil rakyat. Parti lain juga tentunya mempunyai ahli parti sendiri yang ingin dikemukakan. Sudah tentu parti yang lain itu akan mencalonkan ahlinya yang selama ini setia memperjuangkan parti itu berbanding ahli baru yang sebelum ini menentang kuat parti itu.

Pada pendapat penulis, alternatif terbaik adalah seperti peruntukan yang diperkenalkan oleh Parlimen Sweden. Di Sweden, jika seseorang ahli Parlimen itu keluar ataupun disingkirkan daripada parti, yang mana beliau adalah ahli semasa dipilih ke Parlimen, dalam tempoh penggal Parlimen berjalan, beliau masih boleh terus kekal sebagai ahli Parlimen. Tetapi, beliau tidak boleh menubuhkan ataupun menyertai pakatan parti politik yang lain sehingga Parlimen dibubarkan.[27] Dengan kata lain, beliau akan menjadi wakil rakyat bebas sepanjang tempoh itu. Melalui cara ini, kepentingan rakyat dan parti dapat diseimbangkan. Wakil rakyat itu masih dapat mengekalkan hak kebebasan bersuara untuk menyampaikan pendapatnya di Parlimen untuk kepentingan rakyat, yang mana agak sukar jika beliau terus bersama parti asalnya.

Pada masa yang sama, parti asalnya tidak perlu lagi risau sama ada wakil rakyat itu akan melompat ke parti lain dalam tempoh penggal Parlimen itu. Parti pemerintah tidak perlu terlampau risau lagi tentang kemungkinan perbuatan melompat parti oleh wakil rakyatnya akan menambahkan jumlah kerusi Parlimen kepada parti pembangkang yang mana dapat menyebabkan pertukaran kerajaan. Dalam konteks senario politik Malaysia sekarang, Pakatan Rakyat akan mengalami kesukaran kerana bukan lagi memerlukan 30 orang ahli Parlimen BN untuk melompat parti tetapi memerlukan 60 orang ahli Parlimen untuk keluar daripada BN sebagai ahli Parlimen bebas pula sebelum Pakatan Rakyat berjaya membentuk sebuah kerajaan minoriti! Dengan cara ini, semua parti akan berjuang dan bertanding secara bersih dan adil melalui pilihan raya umum dan bukannya dari pintu belakang seperti perbuatan melompat parti oleh wakil rakyat.

Dengan cara ini juga, isu sama ada wakil rakyat itu keluar parti benar-benar atas alasan yang jujur ataupun semata-mata untuk kepentingan peribadi, yang mana tiada seorang wakil rakyat pun yang mengaku sebegitu, dapat diselesaikan. Jika atas alasan yang jujur, beliau masih dapat menyuarakan kepentingan rakyat di Parlimen, tetapi jika sebaliknya, beliau terpaksa menunggu sehingga Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan semula barulah beliau mungkin dapat merasa habuannya itu. Itupun kalau parti lain itu menang.

Akhirnya, perkaitan keputusan pengundi dan hak wakil rakyat untuk terus berada di Parlimen dapat dikekalkan. Apabila tiba pilihanraya umum seterusnya, terpulang kepada wakil rakyat itu sama ada untuk bertanding sebagai calon bebas, atau parti sendiri, parti lain, ataupun kembali ke parti asal. Rakyat akan menentukan nasibnya semasa itu.

Sebagai penutup perbincangan, penggubalan dan pelaksanaan undang-undang ini mestilah ditangani secara penuh berhati-hati supaya ia tidak hanya memberi kelebihan kepada sebelah pihak sahaja, bak kata peribahasa Melayu, ‘seperti menarik rambut daripada tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak’.

[1] The Star, 22 Mac 2008
[2] Klausa XXXI.
[3] [1992] 1 MLJ 697. Pada bulan Jun 1991, dua orang ahli Dewan Undangan Negeri daripada Parti Semangat 46 telah menyertai Parti UMNO. Sehubungan itu, Kerajaan Kelantan telah mengisytiharkan kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri itu dikosongkan dan pilihan raya kecil diadakan. Kedua-dua ahli Dewan Undangan Negeri itu telah kalah.
[4] Artikel 4 Perlembagaan Perekutuan.
[5] Artikel 18(2)(d) Perlembagaan Negeri Sabah.
[6] [1988] 1 CLJ 1 (Rep) [1988] 1 CLJ 460.
[7] Klausa 7 (a).
[8] Klausa 7(b).
[9] Item 23A(4) and (5)(a) Constitution of the Republic of South Afrika.
[10] Item 23A(2)(a), supra.
[11] United Democratic Movement v President of the Republic of South Africa (No 2) 2003 (1) SA 495 (CC).
[12] http://malikimtiaz.blogspot.com/2008/03/anti-hopping-of-politics-morality-and.html
[13] Undang-undang yang berkaitan dengan pilihan raya, Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Rasuah.
[14] [2006] 1 clj 139.
[15] New Shorter Oxford English Dictionary on Historical Principles by Lesley Brown, Volume 1.
[16] Richard Prebble and Ken Shirley v Donna Awatere Huata [2004] SC CIV 9/2004, para 50.
[17] Seksyen 14 New Zealand Bill of Rights Act 1990.
[18] Seksyen 17 New Zealand Bill of Rights Act 1990.
[19] Richard Prebble and Ken Shirley v Donna Awatere Huata [2004] SC CIV 9/2004, mukasurat 320.
[20] The Commonwealth (2002). Commonwealth (Latimer House) Principles on the Three Branches of Government. Dihadiri oleh Menteri-Menteri Undang-Undang dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Commonwealth di Abuja Nigeria 2003.
[21] M. Van der Hulst, The Parliamentary Mandate (Inter-Parliamentary Union: Geneva, 2000 8; H. Pitkin, The Concept of Representation (University of California Press; Barkeley, 1967) 145.
[22] Der Hulst, atas n. 10 mukasurat 9; Pitkin, atas n. 10 mukasurat 145.
[23] P. Cowley, “Crossing the Floor’: Representative Theory and Practice in Britain’ [1996] Public Law at 219.
[24] [2004] SC CIV 9/2004, para [66].
[25] Artikel 38(1) Germany’s Basic Law:“ Semua ahli Bundestag adalah perwakilan-perwakilan kepada semua rakyat, tidak terikat kepada sebarang perintah dan arahan, dan hanya tertakluk kepada kemampuan mereka dalam membezakan baik dan buruk (conscience).”
[26] Pengerusi DAP, Lim Kit Siang pada tahun 1978 telah mengemukakani satu rang undang-undang persendirian ahli Dewan Rakyat bertajuk ‘Members of Parliament [Prevention of Defection] Act 1978’.
[27] Perlembagaan Sweden dan dibaca bersama dengan Akta Parlimen.

SUMBER: http://lompatparti.blogspot.com

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese