GERAKAN Mansuhkan Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) atau ringkasnya GMP akan mengadakan majlis pelancarannya di Pusat Perniagaan SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada jam 3 petang ini.
Setiausaha GMP, Hasni Abas berkata keputusan pelancaran ini telah diputuskan pada mesyuarat Badan Induk GMP pada 20 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Hassan Ahmad yang juga Pengerusi GMP.
Pelancaran ini akan dipimpin oleh Pengerusi GMP sendiri yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka malah bakal hadir adalah pejuang-pejuang bahasa, pimpinan politik dan dari pelbagai NGO.
Selain Hassan, pemimpin lain yang akan turut mengambil bahagian pada majlis ini ialah Prof. Shahrin Md Zain, Prof Abdullah Hassan, Ainon Mohd, Suhaizat Kayan sementara PAS pula akan diwakili Timbalan Presidennya, Ustaz Nasharuddin Isa, Naib Presiden, Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub manakala PKR akan diketuai Ketua Pemudanya, Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Penerangan, Tian Chua.
Difahamkan, Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said juga dijemput untuk menghadiri perjumpaan ini dan hanya akan memutuskan keputusan pada saat-saat akhir.
“Semua mereka yang menyokong perjuangan GMP dijemput hadir khususnya yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Hasni pelancaran ini adalah aktiviti pertama GMP yang dibuat secara terbuka dan akan dilanjutkan melalui ‘road-show’ke negeri-negeri yang akan dilaksanakan pada bulan Februari ini.
“Aktiviti ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengapa PPSMI mesti dimansuhkan seterusnya mengajak semua lapisan masyarakat bersama-sama dalam Himpunan 100 ribu di Istana Negara pada Sabtu 7 Mac ini.
No comments:
Post a Comment