09 October 2008

Hakim tarik balik arahan ketepi afidavit Anwar - Malaysiakini

Hakim tarik balik arahan ketepi afidavit Anwar.

.
Anwar comments on UMNO transition of - thestaronline.tv
Opposition leader Datuk Seri Anwar Ibrahim says he did not see how Prime Minister designate Datuk Seri Najib Tun Razak will be able to function effectively for the country.He argued that Najib had never raised issues of reform.
.
Anwar Ibrahim di Mahkamah - anwarIbrahim1's Channel
.
KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari pihak pembelaan berhujah berhubung bantahan mengenai kesahihan sijil pemindahan ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Mahkamah Sesyen hari ini memutuskan untuk menyambung sesi penghujahan pada 31 Oktober depan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim S.M. Komathy Suppiah setelah mempertimbangkan pemintaan pihak pembelaan yang diketuai Sulaiman Abdullah kerana anak guamnya akan menghadiri persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin depan.
.
Hakim juga mengarahkan supaya arahan yang dikeluarkan semalam bagi mengenepikan afidavit Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk laporan-laporan akhbar yang memetik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang mengatakan Peguam Negara tidak boleh terlibat dalam kes liwat ini agar tidak disiarkan di media ditarik balik.
.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah kembali bersidang pada pukul 3.10 petang tadi.
.
Sebelum itu, prosiding pada sebelah pagi tadi bermula dengan Sulaiman berhujuah untuk meminta hakim menarik balik arahan kepada media yang dilarang menyiarkan afidavit Anwar mengenai pertuduhan terhadap Abdul Gani.
.
Bagaimanapun Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata arahan itu hanya digunapakai hingga prosidingnya selesai.
.
Alasan yang diberikan pihak pendakwa itu ialah terdapat media yang salah melaporkan fakta di dalam prosiding bantahan awal permohonan pendakwa raya untuk memindahkan kes liwat ini ke Mahkamah Tinggi.
.
Sulaiman akan kembali berhujah pada 31 Oktober depan.

Presiden PAS : Jangan jejaskan negara - Malaysiakini

Jangan jejaskan negara - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Hrkh) - PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan kedudukan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Walau bagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Demikian kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

"Saya berharap agar dalam tempoh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melaksanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahakannya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan," katanya.

Di samping itu, inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu, katanya.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara, katanya.

Presiden PAS juga berharap Perdana Menteri tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat, ujarnya.

Semalam, Abdullah ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN memberitahu beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib sejurus beliau terpilih secara rasmi sebagai Presiden Umno kelak.

"Saya harap Dato' Seri Najib... anda tahu mengapa saya kata 'harap'? Sebab beliau perlu bertanding dalam pemilihan dahulu.

"Beliau perlu tanding dalam pemilihan sebagai Presiden UMNO dahulu, tapi saya percaya beliau boleh lakukannya...saya harap beliau jadi Presiden," katanya.

Perdana Menteri menegaskan keputusannya tak mempertahankan jawatan itu adalah muktamad.

Beliau juga menolak anggapan didesak untuk mengambil keputusan berkenaan.

Tuan Guru Nik Aziz: Punca Abdullah Letak Jawatan... - Malaysiakini

Ada sesuatu tidak kena punca Abdullah letak jawatan

PASIR PUTEH, 9 Okt - Tentunya ada sesuatu yang tidak kena apabila Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba-tiba membuat keputusan enggan mempertahankan jawatannya pada persidangan agung Umno Mac depan.

"Kalau Dato' Seri Abdullah yakin tak bersalah kenapa nak letak jawatan. Sebaliknya dari awal lagi kena letak jawatan jika rasa bersalah, ini baru dinamakan bertanggungjawab.

"Yang suruh letak jawatan itu adalah orang, tetapi mandat yang diberi oleh rakyat kepada beliau itu mesti dipertanggungjawabkan," kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini petang semalam.

Beliau diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri tidak mempertahankan jawatannya pada persidangan agung Umno Mac depan.

Sedangkan sebelum itu Abdullah mengumumkan pelan peralihan pada Jun 2010 bagi membolehkan jawatan yang dipegang sekarang diserah kepada Dato' Seri Najib Razak.

Mursyidul Am PAS itu berkata, Abdullah dianggap sebagai mencalar mandat yang diberi rakyat selama ini apabila tiba-tiba enggan memikul tanggungjawab diberi rakyat.

Beliau tidak wajar berbuat demikian semata-mata menyahut desakan beberapa ahli dalam Majlis tertinggi Umno jika berkeyakinan dapat menguruskan pentadbiran negara dengan baik.

Bagaimanapun kata beliau tentunya ada sesuatu yang tidak kena apabila Perdana Menteri melepaskan jawatan hanya kira-kira setahun selepas pilihan raya umum ke-12.

Menurutnya juga, beliau sebelum ini pernah acap kali didesak Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa supaya meletakkan jawatan.

"Walaupun beberapa kali saya diminta supaya letak jawatan, tetapi saya tak letak, kenapa saya nak letak sebab saya yakin yang saya tak bersalah," kata beliau selepas merasmikan Baitul Taubah dekat sini petang semalam.

Baitul Taubah merupakan pusat pemulihan dadah secara Islam yang dikendalikan di bawah kerajaan negeri. Ia mula beroperasi 16 Januari lalu. - harakahdaily

Menghayati cadangan Ku Li, gagasan Ustaz Hadi - Malaysiakini

Dalam mendepani kemelut politik negara yang kalut dan tidak menentu kebelakangan ini, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kenyataan berani dan terbuka oleh bekas Menteri Kewangan yang juga bekas Naib Presiden Umno iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, ahli Parlimen Gua Musang.

Ku Li satu-satunya ahli parlimen veteran di Dewan Rakyat telah mencadangkan gagasan politik baru buat negara. Ku Li mencadangkan agar segera ditubuhkan sebuah "unity government" ataupun kerajaan perpaduan.

Semua parti-parti politik di Malaysia menurut beliau seharunya bangkit dengan serba keinsafan dan rendah diri, melampaui sempadan politik kepartian, bagi duduk berbincang dengan jujur dan hati terbuka bagi menyelamatkan negara dan rakyat kita dari pelbagai krisis khasnya krisis politik dan ekonomi yang melanda negara.

Pastilah Ku Li merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu yang seharusnya menjadi indikator bagi menyedarkan semua pihak betapa perlunya kita bermuhasabah dan mengambil kira realiti politik semasa untuk sama-sama membentuk satu perubahan mengikut citarasa dan "climate" politik masakini yang sama-sama kita rasai.

Malaysia pasca PRU ke-12 menuntut satu lanskap politik baru. Dan lanskap ini hanya akan berjaya diterjemahkan kiranya semua pihak bangkit dengan berani meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik mahupun cita-cita peribadi.

Hanya negarawan yang ulung, berjiwa besar dan bermaruah sahaja mampu menobatkan tuntutan baru ini sehingga mampu melahirkan Malaysia baru yang kuat, selamat dan sejahtera buat semua warganegaranya.

Sesungguhnya apa yang dilontarkan oleh Ku Li ini bukannya sesuatu yang baru. Pada tanggal 31 Mac yang lalu, beberapa minggu setelah selesai PRU ke-12, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam majlis Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana anjuran PAS Selangor bertempat di Stadium Malawati Shah Alam telahpun mempelopori idea ini.

Di hadapan puluhan ribu rakyat yang berada di stadium tertutup itu, Tuan Guru Presiden PAS telah mencadangkan agar Umno bergabung bersama-sama dengan PAS, KeADILan dan DAP bukan lagi atas nama Barisan Nasional tetapi suatu Pakatan baru untuk sama-sama bersatu dan bekerja secara ikhlas demi menyelamatkan negara Malaysia yang dicintai.

Kata Tuan Guru, beliau yakin rakan-rakan dari KeADILan dan DAP akan dapat menerima gagasan baru ini (ketika itu antara pimpinan KeADILan dan DAP yang hadir adalah Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ronnie Liu) dengan syarat Umno dan sekutunya perlulah membuang sifat ego mereka dalam berpolitik selama ini disamping sama-sama menghapuskan undang-undang zalim yang dibenci oleh rakyat termasuklah ISA, OSA, AUKU dan lain-lain.

Penyatuan dan perpaduan politik seperti ini sudah pasti bersifat "win-win" tanpa mana-mana pihak berasa terpinggir atau iri hati sehingga boleh pula mencacat atau mebantutkan proses pembangunan masyarakat dan negara.

Biarlah semua pihak berasa dihargai, biarlah kita ketepikan apa sahaja sengketa demi agama, nagsa dan negara yang tercinta. Yakinlah bahawa PRU ke-12 merupakan iktibar terbesar buat kita semua untuk sama-sama memikirkan hala tuju baru masa depan negara dalam dunia yang serba mencabar ini

Mungkin masanya sudah tiba untuk kita sama-sama meneroka secara serius gagasan baru ini. Yang penting kita dapat menyatupadukan kembali semua lapisan rakyat Malaysia, mengikis sifat dan perangai buruk yang dibenci semua dan atas kesepakatan bersama itu, kita bina satu negara Malaysia yang baru yang rakyatnya saling hormat-menghormati berlandaskan Perlembagaan Negara dan kontrak sosial yang telah sama-sama disepakati.

Ia bukan suatu tugas yang mudah tetapi sebagaimana dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS dan Ku Li itu, ianya sesuatu yang perlu difikirkan secara serius oleh semua pihak kiranya kita mahu melihat negara ini stabil dalam semua aspek dan berjaya melalui segala cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara dan dunia.

- Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir, Setiausaha Akhbar Presiden PAS

Mat Taib tanding Timbalan Presiden, Ayah Dafi AF tanding MT - Malaysiakini

Proksi Khairy Di Kabinet, Ayaf Dafi AF Tawarkan Diri Bertanding MT UMNO !!

Proksi Khairy Jamaluddin yang diangkat sebagai Menteri iaitu Ayah Dafi kini mula mengorak langkah. Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Menteri Belia Dan Sukan (Ikhsan) shari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti itu Mac tahun depan. Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera di Pahang berkata beliau mengambil keputusan itu bagi membolehkan dirinya yang menjaga Kementerian Belia dan Sukan membawa suara golongan muda ke dalam MT. "Saya menawarkan diri untuk bertanding MT jika ada pencalonan dan sokongan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Memperkasakan Pertubuhan Belia 2008 peringkat negeri Terengganu, di sini malam tadi.

Ismail berkata suara golongan muda perlu diberikan perhatian kerana kira-kira 46 peratus daripada penduduk negara ini adalah terdiri daripada golongan muda. Maka itu suara ini amat penting didengari oleh parti kerana 200,000 golongan itu mendaftar sebagai pengundi setiap tahun. "Segala masalah belia boleh dibawa ke dalam Majlis Tertinggi melalui saya jika sekiranya saya diberi peluang untuk berada dalam MT nanti. "Bagaimanapun ia bergantung kepada pencalonan yang bakal saya terima nanti, kalau ada sokongan dan ada pencalonan saya akan bertandinglah," katanya .


[Nampaknya kroni si Khairy ini pun dah mula merayu serta menagih simpati agar beliau dipilih sebagai calon untuk bertanding ke jawatan MT UMNO. Namun, jika dilihat kepada senario semasa, sudah pasti Ismail Sabri bakal kecundang seperti apa yang akan berlaku kepada Khairy. Perlantikan beliau ke jawatan menteri adalah ikhsan Khairy sebenarnya. Kerana sebelum ini, heboh diperkatakan Khairy akan mengambil alih portfolio itu dari Azahlina. Namun, melihat prestasi buruk BN dalam pilihanraya umum lalu, Khairy takut untuk ke depan. Maka akhirnya Ismail Sabri jadi batu loncatan. Habis semua projek KBS dimonopoli mereka]. - Pahangdaily

Muhamad Muhd. Taib umum tanding timbalan presiden

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhamad Muhd Taib hari ini secara rasmi mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti Mac 2009.

Beliau mengumumkan keputusannya di Pejabat Umno Selangor di Shah Alam sebentar tadi.

Beliau melahirkan keyakinan mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu.

"Kesemua 22 bahagian di Selangor akan menyokong pencalonan jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti Mac tahun depan," katanya.

Selain Muhamad, antara yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut ialah Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed. - mStar

Bermulalah Perang terhadap Najib Razak - Malaysiakini

Pagi tadi ketika pulang dari Mahkamah Jalan Duta sekitar pukul 11 pagi, ternampak satu banner digantung yang berbunyi, “Rakyat Merayu kepada Pak Lah Agar Tidak Serah Malaysia Kepada Penjenayah”. Di banner tersebut terdapat gambar Altantuya Shaariibuu, Najib Razak dan Rosmah Mansor.

Tanpa membuang masa, kereta pun dihentikan dan gambar diambil.Kebanyakkan kereta yang melalui jalan tersebut memperlahankan kenderaan untuk melihat banner tersebut.

Selepas makan tengah hari saya keluar untuk membayar bil-bil.

Dalam perjalanan pulang ketika melalui Jalan Bangsar pada pukul 2.00 petang berhampiran dengan simpang untuk ke pejabat NSTP, ternampak sebuah lagi banner yang mempunyai gambar Altantuya, Najib dan Rosmah.

Di banner ini pula tertulis,

“Najib Tun Razak Perdana Menteri Ke 6?

  • Rasuah hampir satu billion dalam urusan pembelian peralatan pertahanan.
  • Tuduh isteri pertama Tengku Puteri Zainah gila babi untuk kahwin dengan isteri orang.
  • Membeli isteri orang untuk dikahwini.
  • Punyai isteri yang tamak, boros dan queen control umpama Imelda Marcos.
  • Misteri pembunuhan Altantuya.

http://antinajib.blogspot.com Selamatkan Melayu”

Banner yang kedua ini terdapat logo Umno dan digantung disebelah banner hari raya Umno Lembah Pantai. Semalam Pak Lah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti tersebut Mac depan.

Setakat ini Najib disebut sebagai penggantinya. Seperti yang dikatakan semalam, Najib “mungkin” menjadi penggantinya. Beliau menggunakan perkataan “mungkin” kerana Najib masih lagi perlu bertanding untuk merebut jawatan Presiden Umno. Setakat ini hanya Ku Li yang telah mengumumkan untuk mencabar jawatan Presiden Umno dalam pemilihan Umno nanti. Masih belum ada calon-calon lain yang berani.

Namun ramai pihak belum yakin Ku Li akan dapat cukup pencalonan untuk merebut jawatan tersebut.

Apa-apa pun perang dalaman Umno untuk merebut kekuasaan telah bermula. Yang peliknya, perang terhadap Najib bermula terlebih dahulu.- Amin Iskandar

Pindah kes Anwar: Peguam Anwar berhujah masuk hari ketiga - Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sulaiman Abdullah meneruskan hujahnya masuk hari ketiga hari ini berhubung kesahihan sijil pemindahan yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Sulaiman akan menyambung hujahnya pada pukul 2.30 petang ini selepas beliau menyampaikan hujahnya selama dua jam pagi tadi bermula pukul 10.17 pagi.

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Status permohonan sama ada kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi terus menjadi tanda tanya dengan Mahkamah Sesyen sebentar tadi menangguhkan sidangnya sehingga esok.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen S.M. Komathy Suppiah apabila ketua pasukan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah meminta masa sehingga petang ini untuk meneruskan penghujahan beliau.

Bagaimanapun hakim tersebut memaklumkan bahawa ia akan didengar pukul 10 pagi esok kerana beliau mempunyai kes lain untuk didengar petang ini.

Sidang hari ini bermula pukul 11.15 pagi tadi.

Malah Mahkamah Sesyen melarang media daripada menyiarkan kandungan bahan bukti berhubung kejadian "mata lebam" yang dialami beliau 10 tahun lepas.

Hakim mengeluarkan perintah itu atas permohonan pihak pendakwaan.

Bahan bukti yang dimaksudkan merupakan laporan akhbar, satu laporan polis dan satu kenyataan berhubung kejadian itu yang berlaku pada 1998.

Terdahulu, dalam hujahnya, Ketua Unit Pendakwaan, Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata, penerbitan kandungan bahan bukti berkenaan oleh media akan mencemarkan lagi nama baik Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Kandungan bahan bukti itu hanya merupakan desasdesus dan jika mahkamah membenarkan media melaporkannya, maka orang ramai akan mempunyai persepsi atau tanggapan sendiri dan bukan mencari kebenaran di sebalik kisah itu," katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata, mahkamah tidak sepatutnya melarang media daripada melaporkan kandungan bahan bukti berkenaan, yang telah dibaca secara terbuka di mahkamah, termasuk afidavit Anwar yang menyokong permohonannya agar kes itu tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Semalam Mahkamah Sesyen menangguhkan sehingga pagi ini untuk mendengar sambungan hujahan terhadap kesahihan sijil pemindahan yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Semalam pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen menolak bantahan awalnya berhubung kesahihan sijil pemindahan.

Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden ketika ditanya media berkata, pihak pendakwaan telah mengemukakan surat kepada hakim Mahkamah Tinggi memaklumkan perkara itu pada 2 petang semalam.

Bagaimanapun, Mohamed Yusof berkata, mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan semakan tersebut.

Semalam Komathy memutuskan bahawa beliau mempunyai budi bicara untuk mendengar hujahan berhubung bantahan pembelaan yang mempersoalkan kesahihan sijil yang dikemukakan oleh pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Anwar ke Mahkamah Tinggi.

Komathy menolak bantahan awal pendakwaan yang berhujah bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar bantahan pembelaan berhubung kesahihan sijil pemindahan.

Pendakwaan telah berhujah bahawa adalah mandatori bagi Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 418A(3) Kanun Prosedur Jenayah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pindah dikeluarkan oleh pendakwaan.

Pembelaan telah membantah permohonan pendakwaan yang mahu kes Anwar itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan menyatakan sijil pemindahan itu tidak sah kerana ia ditandatangani Peguam Negara yang sedang disiasat oleh Badan Pencengah Rasuah berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh Anwar.

Laporan polis itu ialah berhubung dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata hitam" Anwar pada 1998.

Anwar, 60, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda. - mStar

Peralihan Kuasa: Hanya Agong boleh lantik PM - Malaysiakini

KUALA LUMPUR, 9 SEPTEMBER (SK) - Hanya kuasa Yang Dipertuan Agong sahaja mampu memilih dan melatik seorang Perdana Menteri setelah mendapat majoriti di Parlimen.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar, Abdullah bakal mengulangi kesilapan beliau sebelum ini dengan pihak istana kerana melakukan keputusan sesuka hati.

“Yang Dipertuan Agong dan majoriti parlimen sahaja mampu melantik Perdana Menteri. Abdullah tidak boleh menamakan sesiapa sebagai penganti,” katanya ketika dihubungi oleh Suara Keadilan, hari ini.

Mengulas mengenai beberapa laporan media perdana yang membayangi Najib Tun Razak bakal menggantikan kerusi beliau sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Mahfuz berkata, Abdullah hanya berhak berundur.

“Sekiranya beliau mahu berundur, dia boleh lakukan. Bukanya dengan membayangi Najib sebagai pengganti. Abdullah sepatutnya menyerahkan kepada bahagian-bahagian Umno untuk mencalonkan jawatan Presiden,” katanya lagi.

Jelasnya, melalui percalonan di peringkat bahagian, Presiden Umno hanya boleh dipilih oleh pewakilan seterusnya menggantikan Abdullah.

“Kerusi Perdana Menteri pula hanya boleh dilantik oleh Yang Dipertuan Agong setelah mendapat mandat dari majoriti Parlimen,” katanya.

Tindakan berkenaan, sekiranya gagal, Abdullah dilihat akan mengulangi kesilapan yang sama seperti mana yang berlaku pada pilihanraya lepas di Terengganu dan Perlis.

Kesilapan Abdullah ketika itu adalah melantik menteri besar, Terengganu dan Perlis tanpa mendapat pekenan pihak istana.

Walaubagaimanapun pihak Istana membelakangi kehendak Abdullah, dengan melantik menteri besar yang mendapat perkenan Raja dan Sultan kedua-dua negeri berkenaan.

“Tragedi itu, menunjukan kebiadapan Abdullah serta pengikut Umno yang memprotes pekenan Yang Dipertuan Agong selaku Sultan Terengganu,” katanya yang merujuk insiden kata-kata kesat terhadap Agong sewaktu protes perlantikan Menteri Besar Terengganu.

Jelas Mahfuz lagi, sebelum berundur, Abdullah sepatutnya membersihkan imejnya yang telah dicemari oleh dirinya sendiri.

“Abdullah harus berundur dengan membersihkan imej beliau sebagai seorang pemimpin dan bakal bekas Perdana Menteri,” katanya.

Hj. Hadi Awang: Pengunduran Abdullah Badawi - Malaysiakini

Pengunduran YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi

PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia. Walaubagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Saya berharap agar dalam tempuh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melakasanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahaknnya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Disamping itu inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara dan tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat.

9 Oktober, 2008

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Pahang Memperkukuhkan Pakatan Rakyat - Malaysiakini

Info Pahang: PAS Ambil Langkah Untuk Memperkukuhkan Pakatan Rakyat !!

TEMERLOH:
Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, PAS Pahang mengambil langkah sewajarnya bagi merealisasikan keputusan Muktamar PAS Pusat baru-baru ini dengan memperkukuhkan Pakatan Rakyat di negeri itu. Katanya, pihaknya telah menubuhkan sekretariat Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan KeADILan bagi menggantikan sekretariat Barisan Alternatif BA yang dianggotai PAS, KeADILan sebelum ini. Sekretariat itu kini dipengerusi oleh PAS yang dianggotai pemimpin ketiga-tiga parti dan telah mengadakan mesyuaratnya baru-baru ini. Menurutnya, antara keputusan awal yang dibuat sekretariat ialah mengadakan mesyuarat setiap dua bulan sekali, memutuskan setiap kenyataan rasmi Pakatan Rakyat hendaklah diluluskan pemimpin ketiga-tiga parti. Pakatan Rakyat juga akan menganjurkan seminar khas membabitkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen Pakatan Rakyat.


Pakatan Rakyat Pahang kini mempunyai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) dan dua Ahli Parlimen itu ialah dua (PAS) dan dua DAP manakala KeADILan mempunyai dua Ahli Parlimen. Kawasan (Dun) yang dimenangi Pakatan Rakyat ialah Tras (Raub), Triang (Bera), Kuala Semantan (Temerloh), Beserah (Inderamahkota) manakala kawasan parlimen ialah Kuantan dan Indera Mahkota. Seorang lagi Adun pembangkang di dalam Dun Pahang ialah dari kawasan Tanah Rata (Bebas).

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat Pahang juga telah dan sedang menjalin hubungan baik dengan Adun Umno-BN dalam usaha menggalakkan mereka berhijrah. Difahamkan terdapat beberapa Adun Umno-BN yang berminat untuk berhijrah dan telah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin Pakatan Rakyat Pahang. Katanya, hasil pertemuan itu memperlihatkan suatu yang positif dan Adun Umno-BN turut menyedari masalah yang sedang melanda parti mereka, Umno.

"Mereka melihat kecelaruan di dalam Umno tidak membawa kebaikan kepada negara yang memerlukan kestabilan dan kemimpinan yang kuat serta dihormati semua pihak. "Adun-adun Umno ini melihat parti mereka dalam keadaan kritikal dengan masalah politik wang/rasuah dalam parti yang tidak dapat dikawal lagi. Sebahagianya ada yang kecewa kerana merasa dicantas dan sebagainya," ujarnya. Menurutnya, bagaimanapun Adun Umno itu mengambil sikap tunggu dan melihat perubahan menyeluruh di peringkat pusat terlebih dahulu. Mereka juga menunggu peristiwa besar iaitu perletakan jawatan perdana menteri dan peralihan kuasa yang bakal diumumkanya sebelum membuat pendirian. Sumber: Sidang Online

Ahli parlimenSeputeh,Teresa Kok Failkan Saman RM30 Juta Terhadap Utusan Malaysia !! - Malaysiakini

KUALA LUMPUR– Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini memfailkan saman terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. dan kolumnis, Mohd. Zaini Hassan bagi menuntut ganti rugi RM30 juta kerana didakwa menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya. Teresa mendakwa artikel bertajuk `Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya’ dalam Utusan Malaysia pada 10 September lalu diterbitkan dengan niat jahat. Artikel itu juga didakwa diterbitkan dengan niat dan tujuan memperkecilkan beliau secara peribadi dan rasmi termasuk sebagai Ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco kerajaan negeri Selangor. Writ saman itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan S. N. Nair & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 8.42 pagi ini. Teresa selaku plaintif menamakan Utusan Melayu defendan pertama dan Mohd. Zaini yang juga Pengarang Utusan Malaysia akhbar tersebut defendan kedua.

[Diharap tindakan ini dapat memberi pengajaran kepada Utusan Malaysia agar lebhi profesional dalam melaporkan beritanya. Apa guna mottonya iaitu "Penyebar Fikiran Rakyat", jika setiap hari rakyat dimomokkan dengan cerita karut rekaan UMNO yang bertujuan untuk menimbulkan ketegangan kaum di negara ini. Maka itu Utusan Malaysia adalah "Perosak Fikiran Rakyat" dan hanya merupakan "Penyebar Fikiran UMNO Karat" selama ini !!] - pahangdaily

Malaysiakini: Kok files RM30 million suit against Utusan

Analisis: Berapa billionkah nilai penjenamaan baru Najib? - Malaysiakini

SELEPAS Abdullah memberikan kenyataan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno pada pemilihan Mac 2009, maka yang pasti Najib akan mengisi kekosongan itu sesuai dengan ukurjanji peralihan kuasa yang di persetujui bersama sebelum ini.

Abdullah bertindak demikian setelah merasakan tekanan akar umbi yang diterimanya memaksa beliau berundur secara hormat. Walaupun ramai penyokongnya berhimpun dan merentang pelbagai sepanduk di PWTC menggesa supaya Abdullah mempertahankan jawatan tersebut. Namun empunya tubuh memilih untuk melepaskan jawatan yang sempat dipegang selama 5 tahun 5 bulan ( sehingga Mac 2009).

Maka kesan dari pengunduran Abdullah itu sekali gus akan lenyaplah segala perancangan yang telah dirancang Abdullah selama ini. Program perkampongan Hadhari yang dilaksanakan hampir setiap negeri, begitu juga masjid Hadhari di Trengganu yang menelan kos berbillion. Begitu juga dengan beberapa koridor yang dilaksanakan oleh Abdullah semuanya ini akan ditinggalkan secara membazir. Apa yang pasti Najib tidak akan meneruskan usaha Abdullah sebagaimana Abdullah lakukan pada Mahatahir.

Abdullah tidak melaksanakan apa yang dilakukan Mahathir walaupun berjanji akan meneruskannya apabila mengambil alih jawatan PM. Jabatan bengkok menjadi saksi janji yang tidak tertunai Abdullah-Mahathir. Abdullah dulu tidak melaksanakan janji tersebut bukan kerana ketiadaan wang tetapi Jambatan tersebut andai dilaksanakan akan memberi imej Mahathir bukan imej Abdullah.

Nasib baik juga jambatan Pulau Pinang dan bangunan berkembar Petronas tidak diletup atau di runtuhkan Abdullah.

Hal yang sama juga akan dilakukan oleh Najib. Najib akan bertindak ‘menghapuskan’ segala ‘replika’ yang berimejkan Abdullah. Dalam ilmu politik ia bukan sesuatu yang dianggap janggal tetapi sesuatu kewajipan. Ini di sebabkan bagi pemimpin tertinggi yang baru dilantik, segala usaha untuk menarik perhatian rakyat terhadap dirinya perlu dilakukan secara maksima mungkin.

Tumpuan dan minda rakyat perlu di asak dengan pelbagai ideologi dan imej yang berteraskan kepada pemimpin yang baru dilantik itu. Manakala segala mentaliti dan apa sahaja imej yang melambangkan pemimpin sebelumnya harus dipangkas hingga ke akar umbi.

Sejarah penaklukan dunia telah membuktikan bagaimana tentera bersekutu yang di ketuai Amerika bertindak meruntuh dan menghancurkan segara patung dan imej yang memberi imej pada Saddam Hussein ketika penaklukan Iraq. Begitu juga dengan apa yang tercatat dalam sejarah mesir, China, India dan di seluruh dunia yang semuanya menunjukkan usaha untuk memberi imej kepada pemimpin atau pemerintah baru akan membelakangkan segala etika, kemanusiaan, pembaziran malah termasuk menghalalkan pembunuhan.

Segala sejarah ini akan di ulangi semula oleh Najib. Entah berapa billion lagi wang rakyat akan ‘diragut’ oleh Najib dan agen-agen yang akan diberi tanggungjawab untuk mempotret imej baru Najib untuk tatapan rakyat.

Proses untuk penjenamaan semula imej Najib bukan sahaja akan melibarkan dasar, visi dan misi malah akan membabitkan jentera penggerak yang terdiri dari tenaga kerja dan insturmen yang besar. Malah tenaga kerja dan kaedah perlaksanaan ini merupakan perkara asas pertama yang perlu didahulukan bagi memastikan segala proses penjenamaan semula imej Najib akan berjalan lancar dan tersusun.

Bagi memenohi perancangan ini prosen penyingkiran ‘orang-orang Abdullah’ akan menjadi agenda pertama sebelum usaha lain dapat dilaksanakan. Dari proses penyingkiran ini akan di ikuti pula oleh proses pengisian ‘orang-orang Najib’. Dalam banyak sejarah peraliahan kuasa dalam umno yang melibatkan pemimpin tertinggi sir penyingkiran dan pengisian semula ini akan juga melibatkan beberapa kos atau wang rakyat.

Dalam proses penyingkiran orang-orang Abdullah ini akan ada berlakunya kaedah penyingkiran secara terhormat dan ada yang terpaksa melalui kaedah penyingkiran secara zalim. Penyingkiran secara terhormat akan melibatkan nilai wang yang boleh di kategorikan sebagai wang pampasan yang berlipat ganda. Manakala penyingkiran secara zalim pula akan membabtikan nilai pampasan yang tidak senilai atau ‘diragut’ secara paksa dengan bernotis atau tanpa notis.

Pada kebiasaannya proses penyingkiran secara zalim ini dilakukan ke atas mereka yang bermasalah atau mempunyai kes / skandal atau rahsia yang mengaibkan apabila di dedahkan kepada umum. Ugutan akan di gunakan supaya gulungan yang membarisi barisan gulungan bermasalah ini supaya meninggalkan kerjaya atau perniagaan yang sedang di uruskan dengan segera secara senyap dan ‘terhormat’.

Manakala proses pengisian semula ‘orang-orang Najib’ pada kekosongan yang ditinggalkan secara hormat atau zalim oleh ‘orang-orang Abdullah’ ini juga akan melibatkan nilai wang rakyat yang bernilai ratusan juta ringgit juga. Ini kerana kesan pengisian semula ini juga akan melibatkan penjenamaan semula yang berupa ‘imej orang najib’. Kaedah dan disiplin penjenamaan semula pemimpin tertinggi dan pemimpin bawahan adalah sama dalam konteks politik. Yang berbezanya mungkin ruang lingkupnya lebih kecil dari pemimpin tertinggi.

Tetapi bila di ukur kepada kuantiti atau bilangan pengisian orang Najib berbanding dengan diri Najib yang seorang itu setentunya akan melibatkan kos yang lebih berkali ganda dari penjenamaan diri Najib. Kalau pun bangunan-bangunan yang sedia ada diputrajaya itu tidak diruntuh atau dibangunkan semula tetapi ruang pejabat, hiasan dalaman dan luaran, kakitangan baru, kenderaan rasmi baru mungkin akan berganti.

Agenda meng ‘glokal’ kan Malaysia yang sering di sebut-sebut Najib setentunya akan di jadikan sebagai satu penjenamaan terbaru kepada Najib. Maka tugas ‘orang-orang Najib’ setentunya juga bagi memastikan agenda pengglokalan ini menjadi suatu realiti yang akan meletakkan imej Najib dalam arca pemikiran rakyat.

Rakyat juga telah menyaksikan berapa billion ringgit telah di persia-siakan oleh Agenda Islam Hadhari Abdullah, Kini wang rakyat sekali lagi bakal diperjudikan untuk merealisasikan Malaysia glokal ciptaan Najib.

Ini semua akan melibatkan wang rakyat yang dibelanjakan tanpa keredhaan rakyat. Pembaziran akan terus berlaku, kadet-kadet serta kroni-kroni baru dibentuk oleh koloni baru dengan penyingkiran spesis-spesis lama. Wajahnya berbeza namun kerakusannya tetap sama atau mungkin lebih merbahaya.

Apa yang pasti segala ‘pembangunan’ yang berimejkan Abdullah akan dilenyapkan walaupun berbillion ringgit telah dibelanjakan. Lebih 26 juta rakyat di negara ini ternanti-nanti berapakah billion ringgit lagi akan dijadikan ‘boneka pembangunan’ oleh Najib dan kuncu-kuncunya.

Siapa yang akan beroleh laba dan siapa yang akan berputih mata sedang rancak di congak oleh mereka yang akan menyerbu masuk dan mereka yang akan di singkirkan. Namun apa yang lebih pasti, setentunya yang akan peroleh laba itu bukanlahlah rakyat biasa tetapi orang-orang yang diberi tugas untuk menjalankan misi penjenamaan semula Najib. Sedangkan kita rakyat biasa hanyalah sekadar pemerhati yang berputih mata melihat hak dan wang kita akan diragut dan dirampas dengan penuh kegilaan yang merakuskan.

Nota: Mat Zahari Ali, adalah Editor Berita di Akhbar Suara Keadilan

Najib perlu menang Presiden Umno untuk jadi PM - Malaysiakini

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno akan menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bila tiba masa yang sesuai.

Pak Lah berharap Najib akan menang dalam pemilihan jawatan Presiden parti Mac depan.

Saya harap Datuk Seri Najib… anda tahu mengapa saya kata ‘harap’? Sebab beliau perlu bertanding dalam pemilihan dahulu.

Sebab lain ialah Pak Lah dah rancang supaya ada orang yang lawan Najib. Samada Ku Li atau Muhyiddin, Pak Lah serah kepada perwakilan Bahagian nanti yang akan mencalonkan mereka.

Perlu diingat semasa pemilihan Najib sebagai Timbalan Presiden dan TPM bukan atas pilihannya tetapi atas pilihan Tun Dr M. Sekarang ini Dr M pun tidak tertarik dengan Najib pula, baca di sini, habis siapa yang Pak Lah dan Dr M mahu. Jika Perwakilan Bahagian matang dapat mengagak siapakah calonnya? Tetapi politik wang dalam Umno akan membuatkan perwakilan Umno jadi tidak matang.

“Beliau perlu tanding dalam pemilihan sebagai Presiden Umno dahulu, tapi saya percaya beliau boleh lakukannya…saya harap beliau jadi Presiden,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini.



Ditanya mengenai tarikh sebenar peralihan kuasa tersebut, Abdullah berkata, selepas Najib menjadi Presiden Umno, mereka akan mengadakan perbincangn mengenai penyerahan jawatan nombor satu dalam kerajaan itu.

Keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya itu adalah muktamad tanpa didesak oleh mana-mana pihak.

“Tanyalah mereka (pemimpin BN) sama ada mereka desak atau tidak. Saya tahu saya tak buat yang terbaik semasa pilihan raya.

Abdullah menjelaskan bahawa Beliau tidak kesal dengan keputusannya itu, tetapi langkah tersebut disambut baik oleh pemimpin-pemimpin parti komponen BN.

Pak Lah memberitahu, perasaannya kini adalah seperti biasa tanpa rasa sedih.

“BN masih lagi menjadi kerajaan yang memerintah dan saya yakin BN akan terus bertahan hingga pilihan raya akan datang datang… saya yakin kita akan menang,” katanya.

Bakal-bakal calon popular yang akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Umno ialah YBM Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Jiwo Kelate

Rakyat mahu PM yang bersih dan dilihat bersih - Malaysiakini

KUALA LUMPUR, 9 Okt ( Hrkh ) - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin dipandang paling berkelayakan untuk memimpin Umno oleh sebahagian ahli-ahli parti itu, tetapi beliau juga dipercayai dipandang tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri oleh sebahagian besar rakyat negara ini, kata Ketua Penerangan PAS Haji Mahfuz Omar. "Urusan Umno, hak Umno dan kita tak mahu campur tangan. Tetapi dalam urusan kepimpinan negara, rakyat menuntut pemimpin yang mempunyai integriti.

"Kita menuntut negara ini dipimpin oleh Perdana Menteri yang bukan sahaja bersih, tetapi dilihat bersih," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Masalah terbesar yang dihadapi Najib ialah beliau tidak dilihat bersih, kata Mahfuz.

Sepatutnya, kata beliau, kedudukan sebagai Presiden atau Pemangku Presiden Umno bukan satu-satunya syarat untuk menjadi Perdana Menteri. Faktor lain juga mesti diutamakan.

"Ketika negara malah dunia dilanda krisis ekonomi, kita tidak sanggup lagi mempunyai Perdana Menteri yang tidak diyakini para pelabur asing. Dakwaan pelabur asing takut untuk melabur ke negara ini semakin banyak diperkatakan sekarang.

"Kita bimbang Perdana Menteri yang tidak dilihat bersih akan memburukkan lagi rasa takut para pelabur untuk melabur ke negara ini," kata Mahfuz.

Beliau memohon Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memberi perhatian utama dan penting terhadap apa yang akan dihadapi oleh negara ini apabila, untuk pertama kalinya, seseorang yang tidak dilihat bersih akan menjadi Perdana Menteri.

"Kesemua Perdana Menteri dari Almarhum Tunku Abdul Rahman hingga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak memulakan tempoh mereka sebagai Perdana Menteri dengan imej yang tidak dilihat bersih. Najiblah orang yang pertama memulakan tempoh sebagai Perdana Menteri dengan imej yang berbahaya kepada negara itu," kata beliau.

Sebab itulah, katanya, sokongan majoriti Ahli Parlimen sahaja sebagai syarat untuk menjadi Perdana Menteri tidak memadai untuk kepentingan negara.

"Oleh kerana rasuah dan penyelewengan semakin canggih perlaksanaannya sekarang, seseorang yang dilihat bersih sekalipun perlu melalui penapisan atau vetting sebelum menjadi Perdana Menteri.

"Lulus dalam penapisan itu juga sepatutnya menjadi satu lagi syarat untuk diterima sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Beliau menyeru Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menuntut penubuhan serta mengawal selia penubuhan dan perjalanan satu jawatankuasa khas untuk melaksanakan perkara itu.

"Perkara ini perlu diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu oleh kerana Yang di-Pertuan Agonglah yang akan memberi persetujuan dan menyampaikan watikah perlantikan untuk membolehkan seseorang menjadi Perdana Menteri," katanya.

Jika Najib lulus penapisan itu, katanya lagi, maka beliau bukan sahaja bersih malah perlu dilihat bersih.

"Pengunduran (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) juga menimbulkan pelbagai spekulasi apabila blogger yang baru-baru ini ditangkap di bawah Akta Hasutan, Sheih, mempersoalkan adakah Abdullah pernah menerima RM200 juta dari isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, sebahagian dari komisyen urus niaga kapal selam berjumlah RM500 juta yang didakwa diterima oleh Abdul Razak Baginda.

"Banyak perkara yang berbangkit. Jika benar Rosmah memberikan RM200 juta kepada Abdullah, apa sebab dan tujuannya? Adakah untuk menutup mulut? Kalau benar untuk menutup mulut kes apa?

"Lebih dari itu, bagaimana isteri Timbalan Perdana Menteri boleh memiliki dan membahagi-bahagikan yang begitu banyak dengan mudah sewenang-wenangnya?

"Jika apa yang dipersoalkan oleh Sheih itu betul, ia amat membahayakan negara," Mahfuz mengingatkan._

Petisyen UMNO/BN Gagal Buktikan Hj Hadi Awang Langgar Akta - Malaysiakini

Setiu – Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang terus mewakili Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang apabila mahkamah mengekalkan kemenangan PAS di kedua-dua kawasan tersebut

Hakim Mahkamah Pilihanraya Datuk Kang Hwee Gee menerima bantahan awal (preliminary objection) yang dibuat oleh responden (calon PAS) diatas ketidaksempurnaan petisyen yang dibuat oleh calon UMNO/BN, Dato’ Ahmad Ramzi Zubir, sekaligus menolak petisyen tersebut dengan kos.

”Hari ini keputusan diatas bantahan kita (PAS) keatas ketidaksempurnaan petisyen yang dibuat oleh UMNO didalam dua kes Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, “oleh kerana Rhu Rendang dalam Parlimen Marang maka kes itu disekalikan pendengarannya,”kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Wan Mutalib Embong ketika ditemui selepas menghadiri program Retreat anjuran Badan Perhubungan PAS di Merang, dekat sini semalam.

”Intipati petisyennya adalah atas dua isu, yang pertama tuduhan terhadap responden samada oleh dirinya sendiri atau wakilnya atau orang-orang yang direstui oleh beliau, melakukan perbuatan-perbuatan yang melampaui peruntukan-peruntukan yang dibenarkan oleh akta kesalahan pilihanraya dibawah syeksen 32(a),
”yang kedua dibawah 32(c) perbuatan rasuah pilihanraya, termasuk menghalang atau melakukakn perbuatan yang bercanggah dengan kesusilaan perjalanan pilihanraya,”ujar Wan Mutalib (Gambar kiri).

Menurut beliau petisyen bagi DUN Rhu Rendang, calon UMNO/BN telah menuduh responden melalui petugas, agen-agen dan orang-orang dengan direstuinya termasuk anak responden sendiri iaitu Mohd Khalil Abdul Hadi telah menahan bas dan merampas kad pengenalan pengundi-pengundi dari luar yang datang untuk mengundi menyebabkan berlakunya rusuhan di Rhusila.

Menurutnya lagi, dalam tuduhan kedua dan ketiga, pempetisyen menuduh penyokong-penyokong PAS yang dikenali melalui lambang baju, jaket yang ada bulan, tetapi tidak kenal individu itu, telah menghalang pengundi-pengundi daripada membuang undi di hadapan hadapan markaz PAS Seberang Marang dan di hadapan Sekolah Menengah Marang.
.
Manakala petisyen yang dibuat ke atas Parlimen Marang, Wan Mutalib mengatakan, calon UMNO/BN turut menuduh responden menghalang pengundi dari membuang undi dan membelasah pengundi di Sekolah Menengah Bukit Sawa.
.
”Dua anak beranak dan tiga individu yang datang untuk mengundi di Sekolah Menengah Bukit Sawa dikatakan dihalang dan dibelasah oleh petugas-petugas PAS dan petugas yang dianggap agen kepada calon Parlimen,
’kesesemuanya itu adalah tuduhan yang dibuat oleh calon UMNO/BN berkait dengan perbuatan salah laku yang dikatakan dilakukan oleh agen kepada calon PAS, iaitu Presiden,”terang beliau.

Namun begitu, dalam penghujahan yang dikemukakan, menurut beliau, untuk menjadikan seseorang itu adalah agen kepada calon tertakluk dibawah peruntukan undang-undang khas syeksen 12 akta kesalahan pilihanraya.
.
”Untuk membolehkan sesuatu petisyen itu sabit, hujah kita (PAS) mestilah orang yang dituduh dan ditohmah sebagai agen itu dapat dibuktikan melalui pelantikan,
“(namun) orang yang dituduh (oleh calon UMNO/BN) bertindak menghalang dan dituduh (melakukan perbuatan melanggar undang-undang) tidak dapat dibuktikan bertindak untuk calon PAS,”jelas beliau.

Dalam keputusannya di mahkamah petang semalam, Hakim Datuk Kang Hwee Gee ketika membacakan keputusan berkata pempetisyen gagal menyediakan bukti berhubung salah laku penyokong Pas di Parlimen tersebut pada pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

Beliau berkata bahawa pempetisyen juga gagal menyatakan bukti berhubung ancaman terhadap pengundi pada hari tersebut memandangkan sejumlah 86.2 peratus pengundi yang keluar mengundi.

Katanya, hujah berhubung Mohd Khalil anak lelaki kepada responden pertama dan penyokongnya yang memakai jaket Pas ketika kejadian tersebut tidak memadai bahawa perbuatan tersebut dilakukan dalam pengetahuan atau agennya.

Pempetisyen juga gagal menyediakan fakta bahawa individu tersebut adalah agen kepada responden pertama sedangkan sebelum dia dikatakan sebagai agen calon.

Selain itu, mahkamah mendapati PAS mengemukakan bukti mencukupi untuk menolak petisyen yang difailkan calon BN itu. Buletin Online

Keluar dari BN, MCA Sabah tunjuk taring - Malaysiakini

KOTA KINABALU, 9 Okt ( Hrkh ) - Suasana politik Sabah kini kian meruncing apabila krisis kepimpinan di kalangan parti kemponen Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno bergolak bagaikan tsunami melanda apabila masing-masing menunjukkan ketidakpuasan hati secara terbuka.

Terbaru, MCA Sabah dengan berterus terang menyatakan pendirian bahawa partinya tidak teragak-agak untuk keluar daripada BN sekiranya keadaan yang berlaku sekarang ini tidak dapat diselesaikan oleh BN Sabah dengan segera.

Naib Presiden MCA, Dato' Donald Lim Siang Chai dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini, dengan terang lagi bersuluh meluahkan rasa tidak senangnya terhadap cara BN Sabah menangani beberapa isu yamg membabitkan kepentingan rakyat, hak dan kedudukan MCA Sabah serta kepimpinan negeri.

"Jika tidak, maka tiada gunanya kami berada di sini (BN)lagi. Kita sama ada menarik diri dari Sabah atau kita mempertimbangkan MCA Sabah membuat keputusan sendiri untuk menyertai sesiapa yang meraka mahu. Jika setiap hari kita menjadi 'Yes Men', itu bukan cara berpolitik yang rakyat kehendaki,"demikian dalam satu kenyataan tegas beliau.

Apa yang Lim lihat sebagai pemimpin tertinggi parti MCA Sabah, seolah-olah BN tidak memberi hak sewajarnya kepada parti itu dalam memainkan peranan kepada rakyat Sabah.

Lim mendakwa, Ia bermula dari pembahagian kerusi yang tidak adil kepada MCA Sabah pada pilihan raya umum ke-12 mac lalu sehinggalah kepada menentukan kepimpinan kerajaan negeri pada hari ini.

Menyentuh soal kedudukan Dato' Raymond Tan Shu Kia yang masih kekal sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah walaupun Partinya, Parti Maju Sabah (SAPP) telah keluar dari BN, Lim menyifatkan ia suatu yang agak keterlaluan dan dia (Raymond) wajar meletakkan jawatan dengan segera.

Lim mencadangkan agar jawatan penting itu sewajarnya diserahkan kepada anggota MCA Sabah, Dato' Edward Koo bagi menggantikan Raymond yang sudah tidak berkelayakan.

"MCA Sabah harus diberi jawatan ini. Saya harap Dato' Seri Ong Ka Ting akan bercakap kepada Perdana Menteri,Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai isu ini.

"Tiada gunanya MCA datang ke Sabah selama 17 tahun, dari 1991, apabila sehingga ke hari ini kami masih memegang hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),"katanya.

Bagi menegaskan cadangannya,beliau berkata, kedudukan Raymond dalam kerajaan sekarang ini bercanggah dengan semangat BN yang mana orang yang tidak mempunyai jawatan dalam parti tidak boleh terus memegang jawatan dalam kabinet.

Di atas kecelaruan itu, Lim meramalkan Sabah akan jatuh di tangan pembangkang, kerana mengetahui penduduk Sabah mampu membuat perubahan itu berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini.

Sebelum ini, SAPP telah memulakan kejutan apabila parti itu bertindak berani kerana benar di atas prinsipnya untuk keluar daripada BN dan disusuli dengan kata dua Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun (UPKO) terhadap BN.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese