Semua parti-parti politik di Malaysia menurut beliau seharunya bangkit dengan serba keinsafan dan rendah diri, melampaui sempadan politik kepartian, bagi duduk berbincang dengan jujur dan hati terbuka bagi menyelamatkan negara dan rakyat kita dari pelbagai krisis khasnya krisis politik dan ekonomi yang melanda negara.
Pastilah Ku Li merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu yang seharusnya menjadi indikator bagi menyedarkan semua pihak betapa perlunya kita bermuhasabah dan mengambil kira realiti politik semasa untuk sama-sama membentuk satu perubahan mengikut citarasa dan "climate" politik masakini yang sama-sama kita rasai.
Malaysia pasca PRU ke-12 menuntut satu lanskap politik baru. Dan lanskap ini hanya akan berjaya diterjemahkan kiranya semua pihak bangkit dengan berani meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik mahupun cita-cita peribadi.
Hanya negarawan yang ulung, berjiwa besar dan bermaruah sahaja mampu menobatkan tuntutan baru ini sehingga mampu melahirkan Malaysia baru yang kuat, selamat dan sejahtera buat semua warganegaranya.
Sesungguhnya apa yang dilontarkan oleh Ku Li ini bukannya sesuatu yang baru. Pada tanggal 31 Mac yang lalu, beberapa minggu setelah selesai PRU ke-12, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam majlis Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana anjuran PAS Selangor bertempat di Stadium Malawati Shah Alam telahpun mempelopori idea ini.
Di hadapan puluhan ribu rakyat yang berada di stadium tertutup itu, Tuan Guru Presiden PAS telah mencadangkan agar Umno bergabung bersama-sama dengan PAS, KeADILan dan DAP bukan lagi atas nama Barisan Nasional tetapi suatu Pakatan baru untuk sama-sama bersatu dan bekerja secara ikhlas demi menyelamatkan negara Malaysia yang dicintai.
Kata Tuan Guru, beliau yakin rakan-rakan dari KeADILan dan DAP akan dapat menerima gagasan baru ini (ketika itu antara pimpinan KeADILan dan DAP yang hadir adalah Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ronnie Liu) dengan syarat Umno dan sekutunya perlulah membuang sifat ego mereka dalam berpolitik selama ini disamping sama-sama menghapuskan undang-undang zalim yang dibenci oleh rakyat termasuklah ISA, OSA, AUKU dan lain-lain.
Penyatuan dan perpaduan politik seperti ini sudah pasti bersifat "win-win" tanpa mana-mana pihak berasa terpinggir atau iri hati sehingga boleh pula mencacat atau mebantutkan proses pembangunan masyarakat dan negara.
Biarlah semua pihak berasa dihargai, biarlah kita ketepikan apa sahaja sengketa demi agama, nagsa dan negara yang tercinta. Yakinlah bahawa PRU ke-12 merupakan iktibar terbesar buat kita semua untuk sama-sama memikirkan hala tuju baru masa depan negara dalam dunia yang serba mencabar ini
Mungkin masanya sudah tiba untuk kita sama-sama meneroka secara serius gagasan baru ini. Yang penting kita dapat menyatupadukan kembali semua lapisan rakyat Malaysia, mengikis sifat dan perangai buruk yang dibenci semua dan atas kesepakatan bersama itu, kita bina satu negara Malaysia yang baru yang rakyatnya saling hormat-menghormati berlandaskan Perlembagaan Negara dan kontrak sosial yang telah sama-sama disepakati.
Ia bukan suatu tugas yang mudah tetapi sebagaimana dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS dan Ku Li itu, ianya sesuatu yang perlu difikirkan secara serius oleh semua pihak kiranya kita mahu melihat negara ini stabil dalam semua aspek dan berjaya melalui segala cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara dan dunia.
- Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir, Setiausaha Akhbar Presiden PAS
No comments:
Post a Comment