11 December 2008

Syabas Pak Lah! - Malaysiakini



Semalam, di Parlimen, Pak Lah membentangkan dua rang undang-undang yang saya kira cukup penting untuk masa depan Malaysia, iaitu Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Hakim.

Saya belum pasti apa respons pemimpin PAS dalam soal ini, tapi saya secara peribadi dan spontan memberikan ucapan tahniah untuk Pak Lah atas usaha beliau ini.

Saya percaya tindakan ini konsisten dengan desakan dan saranan pelbagai pihak sebelum ini termasuk PAS sendiri.

Malaysia sangat memerlukan pemulihan integriti dalam pentadbiran negara. Sistem kehakiman negara tidak lagi diyakini. Begitu juga rasuah dalam pentadbiran negara sudah menjadi rahsia umum.

Merombak semula sistem perlantikan hakim diharap dapat memulihkan integriti sistem kehakiman negara. Kita harap dengan adanya sistem perlantikan yang lebih adil dan bebas, tidak lagi berlaku proses lobi-melobi jawatan hakim seperti yang terlakun dalam video klip Linggam itu. Hakim yang terhutang budi dan terikat masa depannya pada kuasa eksekutif dikhuatiri hilang kemampuan untuk membuat keputusan yang bebas dan berintegriti, apabila tidak selari dengan kehendak kuasa eksekutif.

Memulihkan integriti pencegahan rasuah bererti membenarkan agensi pencegahan rasuah membanteras rasuah dengan penuh kebebasan tanpa campurtangan pihak eksekutif. Ini bermakna memberikan kuasa pencegahan rasuah menyiasat dan mendakwa mana-mana pelaku rasuah termasuk kalangan pemimpin tertinggi negara, menteri-menteri hatta Perdana Menteri sekalipun.

Sebelum ini kita selalu didedahkan tentang adanya kes-kes rasuah berprofail tinggi yang melibatkan pemimpin-pemimpin negara tetapi tidak didakwa. Mungkin BPR ada menjalankan siasatan, tetapi kuasa pendakwaan dan struktur badan pendakwaan dalam BPR masih tertakluk kepada kuasa Peguam Negara. Dan rakyat secara umumnya percaya wujud campurtangan kerajaan dalam proses tersebut.

Saya ingat perkara di atas telah beberapa kali diutarakan Dewan Pemuda PAS dalam beberapa pertemuan dengan BPR sebelum ini. (Saya ingat dua pertemuan pada tahun 2006 dengan pengurusan tertinggi BPR diketuai oleh Ketua Pengarah Datuk Seri Zulkipli Bin Mat Noor (yang juga terbabit dalam tuduhan rasuah) dan pertemuan terbaru diketuai Timbalan Ketua Pengarah II Dato’ Haji Zakaria Jaffar pada 16 September baru-baru ini.)

Moga, kedua-dua rang undang-undang yang dibentangkan semalam dibahaskan dengan teliti dan mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen untuk dikuatkuasakan dalam kadar segera. Dan saya harap kewujudan undang-undang dan dua suruhanjaya yang baru ini dapat memulihkan integriti badan kehakiman dan badan pencegahan rasuah dalam negara dan menjadikan mereka elemen semak dan imbang (check and balance) yang berkesan dalam pentadbiran negara. Seterusnya kita harap ia dapat menamatkan kebobrokan amalan penyalahgunaan kuasa pihak eksekutif yang sudah lama merosakkan negara.

Syabas untuk semua pejuang keadilan dalan negara!

Ahmad Sabki Yusof
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat

Gambar berkaitan : Timbalan II Ketua Pengarah BPR, Dato' Zakaria Jaafar yang menerima kunjungan rombongan Dewan Pemuda PAS Pusat.

1 comment:

Anonymous said...

PAS tak suruh pun Pak Lah akan buat. tak ada kaitan dengan PAS. jangan nak dapat nama pulak atas apa yang Pak Lah buat. PAS ni bukan ada guna pun. Hancur PAS! hanya bertopengkan Islam aje. lepas nie jangan tuduh SPRM tak telus pulak macam tuduh SPR guna pengundi hantu. kalau kalah PAS kata undi hantu kalau menang suara rakyat atau makkal sakti pulak, ini bukan Islam tapi yahudi nie. macam nik aziz bila perlantikan menantu dia dipertikai dia kata kroni tu amalan atau sunnah nabi, kalau tak, cakap kroni tu salah guna kuasa pulak. kalau kroni sunnah nabi maksudnya ambik kroni kerja dapat pahala lah. PAS sepatutnya dibubarkan dan ahli-ahlinya masuk aje dalam DAP sebab perjuangan PAS dan DAP dah sama sekarang iaitu hapuskan ketuanan melayu dan wujudkan ketuanan rakyat. Hancur PAS!

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese