“Cukuplah kematian itu sebagai penasihat.” ( Riwayat Ath-Thabrani dan Baihaqy )
Video Sajak Kematian menjadi begitu sensasi bila ada beberapa ibu bapa yang kurang senang dengan pendedahan tentang hakikat kematian kepada anak-anak mereka dibangku sekolah. Ini menjadikan pihak Kementerian Pelajaran jadi kecoh kejap dan media juga sibuk membuat liputan.
Anehnya para ibu bapa yang begitu risau dengan kewujudan Video tersebut disekolah-sekolah menganggap bahawa video berkenaan tidak sesuai untuk ditonton oleh anak-anak mereka, walhal kematian itu tidak kenal usia.
Secara peribadi, ana setuju jika video itu digunakan dalam memberikan didikan serta ingatan kepada anak-anak tatkala mereka masih muda belia. Hatta yang dewasa, sudah berkerja dan berumahtangga pun perlu melihatnya.
Bukan kita nak lihat filem sahaja. Kita perlu ambil pengajaran dari intipati video itu tentang hakikat hidup yang akhirnya kita ini akan mati jua. Apakah persiapan dan persediaan kita. Video berkenaan bukannya mengharap kita akan takut mati, tapi lebih kepada mengingatkan kita agar bersedia menghadapinya.
Kini bila sentuh soal kematian, ramai yang takut. Malah ada yang anggap kematian itu sebagai satu perkara buruk, sial dan tidak boleh diperkatakan.
Banyak buku, sajak dan cerita tentang kematian. Tetapi ramai yang enggan menghayatinya kerana belum bersedia atau takut. Itu bukanlah alasan kerana kematian itu akan hadir bila-bila masa tanpa kira umur, jantina atau pun bangsa.
Saat kematian tiba, ia tidak tanya kita sedia atau tidak. Jadi apa salahnya kalau kita didik anak-anak untuk kenal erti kematian itu lebih awal.
Video kematian lebih baik dihayati anak-anak berbanding PS2 serta slot permainan lain untuk anak-anak. Ia lebih bermanfaat ditonton dari melihat kisah seram atau cerita hantu versi Jepun, Korea, Hollywood, Bollywood, Indonesia, Thailand atau Malaysia.
Sekarang ini kisah seram dan hantu memenuhi kaca tv kita. Dari kisah Seekers hinggalah Drama Puaka Niyang Rapik sekarang ini. Kenapa tiada ibu bapa yang bantah penyiarannya?
Selain itu ada juga ibu bapa yang lebih rela membenarkan anak-anak mereka melayani adegan babak ciuman berahi dan adegan romantis (18SX) dalam filem-filem yang ditayangkan dipanggung wayang, kaca TV dan slot CD dan DVD yang mereka beli.
Apakah itu lebih baik dari Sajak Kematian. Kenapa sajak kematian dibantah sedangkan kisah-kisah yang lebih negatif dibiarkan sebagai sajian utama.
Ibu bapa masakini lebih suka membawa anak-anak mereka menyaksikan konsert Jom Heboh atau menyertai pertandingan nyanyian dan tarian berbanding mengajar mereka untuk mengingati mati. Walhal mengingati mati itu lebih baik dari kita mengajar mereka memenuhi lantunan nafsu dunia yang tidak ke mana.
Oleh itu tidak hairanlah jika pada hari ini kita lihat anak-anak yang lahir begitu berani untuk berkurang ajar pada guru dan ibu bapa mereka. Mereka tiada kenal erti takut atau menginsafi akan kelemahan mereka. Mereka hanya kenal dunia tapi tidak kenal akan alam barzakh dan akhirat. Dunia mereka itu berpusing diatas cakera muzik dan goyangan tarian hidup semata.
Maka terpulanglah pada ibubapa kini untuk mengajarkan anak-anak mereka. Jika mereka mahu dihormati maka ibubapa haruslah menghormati tuntutan agama. Jika tidak…nantikan sahaja kebiadapan anak-anak mereka. Jika hari ini mereka berani lawan guru dan ibu bapanya, maka tidak mustahil jika esok mereka sudah tidak kenal akan Allah……maka rugilah mereka dan ibu bapa yang melahirkan mereka………. - Herman Samsudeen
No comments:
Post a Comment