13 October 2008

Tolak bentang semula bajet rugikan negara - Malaysiakini

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menyifatkan tindakan menolak cadangan supaya Bajet 2009 dibentangkan sekali lagi sebagai keputusan yang merugikan negara, menambahkan bebanan rakyat rakyat dan perkara itu pasti tidak berlaku jika Pakatan Rakyat dapat mengambilalih kerajaan.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu tidak berpuas hati dengan alasan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menolak permintaan pembangkang supaya bajet tersebut dibentangkan semula.

Menurut beliau, pembentangan bajet kali kedua dalam tahun yang sama bukanlah sesuatu yang luar biasa.

"Pembentangan semula itu bukan luar biasa kerana pada tahun 1997, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah membentang bajet dua kali ekoran krisis ekonomi.

"Bajet yang pertama dibentangkan pada bulan Oktober 1997 manakala yang kedua dibentang pada bulan Disember tahun yang sama," kata Mahfuz.

Menurut beliau, pelbagai perkara berlaku sejak pembentangan bajet kira-kira sebulan lalu termasuk krisis ekonomi dunia yang semakin meruncing, peristiwa "black Friday", pasaran saham Kuala Lumpur jatuh merudum lebih 30 peratus lebih dan pelbagai peristiwa lain.

"Belanjawan yang dibentang Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan kira-kira sebulan lalu sudah tidak relevan lagi kerana belanjawan itu dibuat dan dibentangkan atas perkiraan harga minyak berada pada kadar AS$125 satu tong sedangkan kini harganya tidak sampai AS$90 satu tong.

"Keadaan itu bermakna pendapapatan negara berkurangan sedangkan perbelanjaan bertambah tinggi," kata beliau.

Malaysia, katanya, memerlukan bajet yang benar berjimat.

"Projek-projek mewah mesti dibatal atau ditangguhkan manakala sebarang projek baru mesti dibuat melalui proses tender terbuka," katanya.

Bagi Mahfuz, langkah paling penting untuk menjimatkan wang negara ialah dengan mengadakan operasi besar-besaran menghapuskan rasuah dan mengadakan siasatan menyeluruh ke atas semua perbelanjaan yang meragukan termasuk pembelian peralatan pertahanan negara.

"Selama ini sering dinyatakan oleh pelbagai pihak bahawa lebih banyak wang negara yang dihabiskan oleh rasuah, penyelewengan dan pelbagai bentuk ketirisan lain berbanding subsidi atau perbelanjaan lain untuk kepentingan rakyat," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan memastikan semua lawatan keluar negara yang tidak penting dibatalkan dan jika terpaksa diteruskan hendaklah dikurangkan anggota rombongan lawatan tersebut.

"Projek-projek tidak penting seperti projek angkasawan yang disifatkan oleh rakyat sebagai projek mengarut hendaklah dihentikan tanpa dolak-dalik," tegas beliau.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese