30 October 2008

Projek e-tanah belum siap … bayaran cecah RM70 juta telah dilunas kerajaan? - Malaysiakini

PKR Machang: Projek e-tanah belum siap … bayaran cecah RM70 juta telah dilunas kerajaan?

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang] minta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan mengapakah terdapat masalah dalam pelaksanaan program e-Tanah dalam Syarikat Precision Portal.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar [Datuk Douglas Uggah Embas]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat Syarikat Precision Portal tidak terlibat dalam pelaksanaan projek perintis e-Tanah di Pulau Pinang.

Untuk makluman Yang Berhormat, projek perintis e-Tanah di Pulau Pinang telah dilaksanakan oleh Syarikat Island Sdn. Bhd. Perolehan projek ini telah dibuat secara tender terbuka dan Syarikat iLaunch Sdn. Bhd telah dilantik sebagai kontraktor dari sejumlah 41 petender yang mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Sistem e-Tanah adalah merupakan satu sistem yang dibangunkan berasaskan teknologi web yang bersepadu dan seragam untuk mempercepatkan dan mempertingkatkan sistem pencapaian perkhidmatan awam dalam pengurusan pentadbiran tanah di Semenanjung Malaysia.

Sistem ini melibatkan sembilan modul utama iaitu pendaftaran, hasil, strata, lelong, consent, pembangunan, pelupusan, pengambilan dan penguatkuasaan. Sistem ini juga disokong oleh 10 modul sokongan. Ini menjadikan sistem ini agak besar dan kompleks iaitu melibatkan 845 sub-modul urusan tanah. Oleh itu sistem ini memerlukan sedikit masa untuk stabil.

Pada masa kini sistem ini menghadapi sedikit masalah yang berpunca daripada data yang tidak bersih di mana sejumlah 58,906 data daripada 297,322 hak milik di Pulau Pinang tidak dapat dipadankan. Ini adalah merupakan kesan daripada sistem lama yang diguna pakai iaitu Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer dan Sistem Pungutan Hasil Berkomputer yang tidak berintegrasi antara satu sama lain. Perkara ini sedang diatasi oleh pihak vendor.

Walau bagaimanapun beberapa modul utama seperti pendaftaran dan hasil telah diguna pakai di pejabat-pejabat tanah di Pulau Pinang. Sementara itu modul-modul lain, saya percaya sekarang ini sudah distabilkan dan dapat digunakan pada awal tahun 2009. Terima kasih.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih di atas jawapan Yang Berhormat Menteri. Masalah tanah ini kita timbulkan kerana inilah masalah yang paling sering dihadapi oleh rakyat. Yang Berhormat Menteri, saya cuma perlu mengingatkan balik bahawa sewaktu projek e-Tanah ini dilancarkan saya membaca kenyataan kementerian yang menjanjikan kalau urusan pecah hak milik tanah akan mengambil masa daripada dua tahun kepada dua bulan.

Manakala bagi permohonan geran tanah kementerian berjanji boleh disiapkan dalam masa satu hari. Ini dalam archive berita yang dilaporkan oleh kementerian.

Hari ini saya mendengar jawapan Yang Berhormat Menteri bahawa pelaksanaan projek perintis itu mempunyai masalah. Sementara itu Yang Berhormat Menteri menyebut bahawa ia melibatkan sembilan modul tetapi skop kerjanya lebih 1,000. Isu yang saya hendak bangkitkan ialah mengapakah setelah kegagalan projek ini yang di tangguh dua, tiga kali, apakah bayaran projek ini yang dianggarkan mencecah hampir RM70 juta ini telah dilunaskan oleh kerajaan?

Adakah ia telah dibayar atau belum? Kedua, kalau telah dibayar, memahami kegagalan projek perintis ini, apakah roll outnya ataupun peluasan projek ini di seluruh negara akan terus dilaksanakan juga kerana ia melibatkan dana yang cukup besar?

Yang Berhormat Menteri, serentak dengan ini, soalan saya yang terakhir ialah apakah fungsi unit komputer di pejabat-pejabat tanah dan galian di kementerian? Kerana saya fikir kalau mengenai urusan tanah ini kepakarannya ada di situ, kepakaran bukan pada di mana-mana syarikat swasta.

Jadi, itu dua, tiga perkara dasar yang saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri. Terima kasih.

Datuk Douglas Uggah Embas: Terima kasih, Yang Berhormat. Pertama, Yang Berhormat telah pun membuat kesimpulan bahawa projek ini telah gagal. Ingin saya memperjelaskan di sini bahawa projek ini tidak gagal. cuma mungkin ada kelewatan sedikit tetapi saya ingin menegaskan bahawa ia tidak gagal kerana sekarang ini kita telah menggunakan dua modul iaitu modul pendaftaran dan modul kutipan hasil.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini bagi tahun 2008 sebanyak 21,259 urusan telah pun berjaya dijalankan dalam urusan modul pendaftaran. Bagi kutipan hasil, kita telah berjaya mengutip sebanyak 153 juta kutipan hasil melalui sistem ini.

Saya juga telah melawat ke PTG Seberang Perai Utara dan telah menyaksikan program ini telah dijalankan dan sewaktu kita melalui satu modul iaitu pendaftaran urus niaga. Saya cukup kagum kerana sewaktu urusan ini dijalankan ia dapat disiapkan dalam masa 15 minit sedangkan kalau kita menggunakan sistem cara biasa ia memerlukan tidak kurang daripada dua jam.

Ini adalah beberapa bukti yang menunjukkan bahawa program ini tidak gagal dan saya yakin pada awal tahun depan ia dapat dijalankan dengan sepenuhnya.

Kedua, mengenai keluasan kepada seluruh negara, perkara ini sedang ditimbang oleh Jabatan Perdana Menteri kerana mereka akan membuat satu penilaian sama ada projek ini akan diperluaskan ataupun tidak. Mengenai bayaran saya tidak ada angka terperinci di sini tetapi dalam perjanjian kita memang ada cara bagaimana hendak melunaskan bayaran-bayaran tertentu.

Namun saya ingin memberi jaminan kepada Yang Berhormat bahawa kementerian memang sentiasa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan kerajaan dan kepentingan rakyat, maka kita tidak akan membayar sewenang-wenangnya tidak mengikut perjanjian.

Seterusnya mengenai peranan komputer, unit komputer ibu pejabat akan menjadi satu tempat di mana ia mempunyai segala data dan pusat komputer ini adalah penting. Ia tidak diketepikan walaupun sistem e-Tanah ini dijalankan. Terima kasih. - mppas

RUJUKAN: 29 Oktober 2008

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese