23 October 2008

Pinjaman KWSP Timbul Soal Pembaziran Dana Awam - Malaysiakini

Kenyataan Media
22 Oktober 2008

Pinjaman KWSP Timbul Soal Pembaziran Dana Awam

Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan dana tambahan sebanyak RM5bilion kepada syarikat pengurusan dana milik kerajaan Valuecap Sdn Bhd dua hari yang lalu kononnya untuk mengelak kegawatan ekonomi.

Valuecap Sdn Bhd adalah milikan bersama oleh Kumpulan Wang Amanah Pekerja, Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd. Semalam Menteri Kewangan mengesahkan dana tambahan tersebut akan diperoleh melalui pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kami melihat tindakan kerajaan ini sebenarnya langkah pelaburan yang tidak memberi kesan besar dalam pertumbuhan ekonomi negara tetapi timbul pula persoalan pembaziran dana awam dan ketidaktelusan dalam proses pelaburan yang hanya membantu segelintir sahaja yang telahpun berkemampuan.

Apakah wajar kerajaan menangani krisis ekonomi dengan menyalurkan RM5bilion kepada Valuecap Sdn Bhd melalui pinjaman KWSP, sehingga rakyat terpaksa menanggung risiko kerugian, sedangkan modal KNB dan PNB adalah jauh lebih kukuh malah bukan merupakan jaringan keselamatan sosial?

Bagaimanakah pula pinjaman RM5bilion tersebut dapat membawa pulangan sepertimana yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri memandangkan dana tersebut semata-matanya untuk melindungi pelaburan oleh syarikat milik kerajaan (GLC)? Siapakah yang harus bertanggungjawab ke atas pinjaman ini jika mengalami kerugian kelak?

Hakikatnya kerajaan tidak seharusnya menggunakan lagi dana awam tersebut sewenang-wenangnya kerana menurut kajian syarikat insuran Prudential pada Ogos 2008, 40 peratus rakyat merasakan wang saraan tidak dapat lagi menanggung kos kehidupan mereka selepas bersara disebabkan oleh kadar inflasi yang melambung tinggi saban hari.

Selain itu, dana tambahan RM5bilion sebenarnya adalah jumlah yang amat sedikit jika dibandingkan dengan jumlah pasaran di Bursa Malaysia iaitu RM689.5bilion, maka suntikan dana tambahan ini tidak akan mempunyai kesan terhadap Bursa Malaysia sepertimana yang diwar-warkan oleh Menteri Kewangan.

Sebaliknya kerajaan harus memberi keutamaan ke atas program yang dapat memberi "multiplyer effect" dengan mengadakan pelan penstabilan ekonomi untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, sepertimana disarankan oleh Institute of Strategic and International Studies (ISIS).(tamat)

SIVARASA RASIAH
Ahli Parlimen Subang
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese