Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini meminta akhbar berkenaan menarik balik berita yang menggambarkan Sultan Kelantan murka seperti disiarkan di halaman depan akhbar terbabit semalam (21 Oktober).
Beliau memberi peluang sehingga hari ini kepada akhbar terbabit untuk menarik balik berita berkenaan yang disifatnya tidak mencerminkan keadaan sebenar.
Beliau membuat keputusan itu selepas mendapat desakan demi desakan daripada penyokong kerajaan yang menganggap laporan tersebut mencemarkan istana dan kerajaan negeri.
“Saya memberi peluang sehingga esok (hari ini) untuk membolehkan akhbar berkenaan menarik balik berita yang disiarkan kerana tidak tepat dengan apa sebenar berlaku,” katanya.
Beliau membuat keputusan itu berdasarkan kepada Perkara 14, Peraturan-Peraturan Tetap Dewan.
Perkara itu menyebut ‘Dengan tertakluk kepada syarat di dalam Perkara 13, maka bolehlah Speaker memberi kebenaran kepada mana-mana wakil akhbar hadir pada persidangan Dun dengan syarat jika akhbar itu menyiarkan berita perjalanan dewan yang pada padangan Speaker tiada patut, bolehlah kebenaran ia ditarik balik.’
Atas desakan ADUN-ADUN, Speaker DUN menarik balik kebenaran kepada wakil akhbar Berita Harian membuat liputan sepanjang persidangan Dun yang berlangsung sekarang.
Ketika persidangan bermula jam 9 pagi tadi, Ustaz Nusuruddin Daud berkata, selepas meneliti tiada permohonan maaf atau menarik balik berita yang disiarkan semalam, maka wakil akhbar itu tidak lagi dibenarkan membuat liputan sepanjang persidangan berlangsung sehingga 29 Oktober ini.
“Oleh itu saya meminta wakil akhbar berkenaan yang hadir pada pagi ini mengundurkan diri,” katanya.
Cadangan menggunakan peraturan tersebut dibuat Wan Ismail Wan Jusoh (PAS - Melor).
Sebelum itu, Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS - Limbongan) ketika membahas ucapan menjunjung kasih mendesak tindakan dikenakan terhadap akhbar berkenaan yang dianggap menyimpang dari etika kewartawanan.
Berita Harian dalam laporan di bahagian muka depan menyebut ‘Sultan murka kerajaan PAS gagal tadbir Kelantan’.
Abdul Fatah Harun (PAS-Bukit Tuku) sebelum itu ingin mendapat penjelasan berdasarkan kepada wajah Tuanku ketika berucap kelmarin, adakah dapat digambarkan dengan nada murka atau biasa.
Sedangkan katanya, tiada pun pada ucapan itu digambarkan nada-nada marah seperti dilaporkan Berita Harian. - jiwokelate
No comments:
Post a Comment