23 October 2008

Piala Monsun Tetap Membazir! - Malaysiakini

(apakah ertinya Monsoon Cup kepada mereka, anak-anak Duyong ?)

Kuala Terengganu - Rakyat Terengganu dari pelbagai lapisan masih menganggap penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun yang akan diadakan pada 3 hingga 7 Disember depan di Pulau Duyong, dekat sini, tetap membazir dan tidak membawa banyak manfaat kepada rakyat, walaupun perbelanjaan yang digunakan adalah dari peruntukan kerajaan persekutuan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata beliau tidak faham mengapa kerajaan meneruskan penganjuran Piala Monsun sedangkan sebelum ini ia telah dibuktikan tidak membawa manfaat yang banyak, berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan. (Gambar - kanak-kanak bermain basikal di tanah lapang depan Heritage Bay Club (kini Riyaz) yang digunakan sebagai pendaratan helikopter Patrick Lim sewaktu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu)

”Saya pun tak faham kenapa Monsoon Cup ini diteruskan, sedangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti menyatakan ia adalah membazir dan tidak memberi pulangan yang diharapkan,”kata beliau dalam sidang akhbar sempena majlis Rumah Terbuka Idulfitri PAS Terengganu yang diadakan di perkarangan pejabat Pas Negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak berkata kejohanan tersebut masih tidak membawa banyak manfaat kepada rakyat Terengganu terutamanya kepada golongan nelayan sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Beliau bekata dalam keadaan kehidupan rakyat terus tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan harian, penambahan acara dalam acara kejohanan tersebut akan meningkatkan kos penganjurannya.

"Zaman bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh telah disahkan Monsoon Cup tidak berfaedah dan membazir,

“bukannya nak berhenti, tapi ditambah pula dengan event lain yang akan meningkatkan kos, membazirkan duit rakyat dalam masa rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan harian,”ujar Dr. Alias ketika dihubungi.

Penduduk setempat Pulau Duyong turut membantah tindakan kerajaan meneruskan penganjuran Piala Monsun.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Pulau Duyong (Pekeduy) Muzafeq Affyulzaifuzan Muhammad berkata kerajaan terus menganjurkan Kejohanan Piala Monsun dengan membelanjakan puluhan juta ringgit untuk acara selama empat hari, sedang ratusan rakyat di Pulau Duyong masih hidup dalam kemiskinan.

Beliau berkata rata-rata penduduk Pulau Duyong bekerja sebagai nelayan, tidak mempunyai pendapat tetap, tidak memiliki rumah sendiri dan menumpang atas tanah kerajaan.

”Adalah lebih baik peruntukan jutaan ringgit itu digunakan untuk membantu golongan daif dan nelayan di Pulau Duyong khususnya, atau membantu seluruh rakyat yang susah, masih ramai rakyat yang miskin kerana Terengganu adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia,”katanya. (Gambar- kemewahan untuk siapa? beberapa meter sahaja dari Resort tersebut rakyat tinggal dalam rumah setinggan yang tidak ada saliran dan perparitan, ambar bawah)

Menurutnya keputusan pilihanraya umum ke 12 pada bulan Mac tahun ini membuktikan bahawa penduduk Pulau Duyong tidak bersetuju dengan penganjuran Piala Monsun dan menolak calon parti UMNO/BN.

Sementara itu, seorang pekerja sektor swasta, Sa’ado Mohd Nor, 29, berkata keputusan kerajaan meneruskan Monsoon Cup membuktikan kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Malaysia tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau yang juga seorang penduduk Pulau Duyong berkata bertahun-tahun penduduk memohon tanah untuk tempat tinggal di pulau tersebut, namun tidak diambil peduli oleh kerajaan.

”Bila buat Monsoon Cup, tanah yang rakyat pohon diambil dan diserahkan kepada pemaju, rakyat dihambat keluar,
”sekarang, tahun ini, sambung lagi Monsoon Cup, sedangkan tidak ada orang dikampung ini (pualau Duyong) yang senang dan dapat manfaat dari penganjuran tersebut,”ujarnya

Pada Julai tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Integriti, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, aduan diterima menyatakan keuntungan penganjuran sukan Monsoon Cup itu hanya diraih oleh individu tertentu sedangkan pada keseluruhannya ia dikatakan tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan.

Kenyataan Wan Hashim tersebut adalah hasil pendengaran awam oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat yang diadakan di Kuala Terengganu, yang antara lain turut membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap penganjuran sukan itu yang dikatakan membazir dan tidak menguntungkan. - buletinonline

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese