
Mohammad Nizar berkata kenyataan Ahmad Zahid mengenai hal itu adalah tidak benar kerana sebahagian daripada bakal haji berkenaan adalah pesara kerajaan dan tidak menganggotai mana-mana parti politik.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Perak itu turut menafikan bahawa beliau dan isterinya Datin Seri Fatimah Taat termasuk dalam rombongan haji yang diluluskan itu.
"Saya dan isteri tidak pergi haji tahun ini, jadi saya perlu membetulkan kenyataan Ahmad Zahid dan menjelaskan bahawa daripada 22 bakal haji yang diperuntukkan bagi Menteri Besar antaranya adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi ramai yang tidak menjadi ahli parti politik. Ada cikgu pencen," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Pengurusan Sisa Pepejal Asia-Kesatuan Eropah (EU) di sini.
Beliau mengulas permohonan khas rombongan 22 anggota ke Mekah yang telah yang diluluskan Ahmad Zahid walaupun ada 348,000 dalam senarai menunggu tahun ini.

Mohammad Nizar berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Ahmad Zahid yang kini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Perak iaitu badan eksekutif yang memantau semua projek jabatan kerajaan Persekutuan di negeri ini.
Beliau berkata dana RM1 bilion daripada kerajaan Pusat untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan di Perak menerusi jabatan dan agensi kerajaan akan membantu penduduk di negeri ini.
Katanya kerajaan negeri turut mengalu-alukan peruntukan khas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) untuk membaik-pulih surau atau masjid di negeri ini dan sekaligus mengurangkan beban kewangan JAIP. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment