Entah apa pertimbangan dan percaturan pimpinan Umno-BN tatkala saban tahun mereka melakukan penindasan ke atas masyarakat India. Tahun lepas kita menyaksikan perobohan Kuil Rimba Jaya menjadi 'hadiah' Deepavali Umno-BN buat masyarakat India, tahun ini, dalam keadaan beberapa hari saja lagi masyarakat India akan menyambut Deepavali, 11 individu ditahan - termasuk seorang anak kecil berusia 6 tahun - di saat mereka mahu menyerahkan memorandum secara aman di Pejabat Perdana Menteri semalam.
Hari ini Mahkamah Majistret Kajang menetapkan supaya 10 daripada mereka direman selama 3 hari sebermula hari ini. Sekali gus keputusan mahkamah ini menafikan hak mereka untuk merayakan Deepavali sebagaimana masyarakat India lainnya.
Saya berasa kesal dengan tindakan dangkal yang diambil oleh penguasa untuk menahan kumpulan 11 individu semalam. Hujahnya masih samar dan tidak jelas. Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberikan justifikasi dari konteks perundangan dan hak asasi, bukan mengambil tindakan cacamarba yang hanya memburukkan keadaan.
Kenyataan terdahulu Menteri Dalam Negeri bahawa Hindraf diharamkan atas alasan penganjuran demonstrasi yang menganjurkan keganasan adalah tidak munasabah.
Waima ada pelanggaran undang-undang sekalipun, wajar bagi beliau membuktikan setiap butir katanya dengan fakta dan pembuktian jelas, bukan mengadu domba tanpa hala!
Saya menyeru agar Kementerian Dalam Negeri khususnya Menteri yang berkenaan tidak bersikap selektif terhadap berpuluh lagi gabungan dan pertubuhan yang acapkali berselindung di sebalik sentimen perkauman sempit, sekiranya mereka mahu membuktikan mereka adil di mata rakyat.
Kita tidak boleh terus berkompromi dengan slogan anti-keganasan dan anti-sentimen perkauman untuk terus menghalalkan kezaliman! _ Anwar Ibrahim
No comments:
Post a Comment