28 October 2008

Aktivis bantah perobohan rumah Burhanuddin al-Helmi - Malaysiakini

Amin Iskandar ketika ditemubual oleh wartawan Roket, Medaline Chang semasa Solidariti kepada RPK pada Ahad lalu

GOPENG - Aktivis dan kolumis MalaysiaKini dan Suara Keadilan, Amin Iskandar melahirkan rasa kecewa dan membantah sekeras-kerasnya perobohan rumah tokoh bersejarah Dr Burhanuddin al-Helmi yang sepatutnya menjadi warisan negara.

Sebelum ini, di Pulau Pinang rumah bekas Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman turut tergadai akibat kegagalan kerajaan BN menjaga hak milik warisan negara.

Amin yang merupakan penyanyi dan penulis lagu ‘Burhanuddin al-Helmi’ yang dimuat dalam album pertama beliau, ‘Hentikan Perang Sekarang’, berkata beliau dan kawan-kawannya akan mengkaji daripada segi undang-undang terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan untuk menyaman atau membuat laporan polis.

Dalam Berita Harian hari ini melaporkan penduduk Kampung Changkat Tualang, dekat sini, kira-kira 40 kilometer dari Ipoh terkilan kerana kerajaan Perak tidak berusaha mengekal dan memulihara rumah kelahiran pejuang kemerdekaan, Dr Burhanuddin hingga dirobohkan keluarganya, Ramadan lalu.

Penduduk kampung berkenaan, Ibrahim MS Ahmad, 50, berkata rumah berkenaan pernah didiami adik Dr Burhanuddin, Sayuti Mohd Noor sebelum beliau meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu.

“Anak dan cucu Dr Burhanuddin tinggal di Lembah Klang dan rumah kelahiran Allahyarham ini rosak kerana sudah tiada penghuni hampir 10 tahun lalu.

“Saya berharap tapak rumah ini dijadikan warisan sejarah dan kalau boleh, binaan asalnya didirikan semula sebagai tarikan pelancong.

“Saya menggesa pihak berkuasa terutama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mempertimbang cadangan ini kerana Dr Burhanuddin adalah tokoh penting dalam sejarah politik negara,” katanya yang dipetik daripada Laman Sesawan Berita Harian.

Ibrahim berkata, kerajaan negeri juga patut mengambil inisiatif menamakan jalan di Ipoh atau Gopeng dengan nama Dr Burhanuddin.

Katanya, jika kawasan perumahan di ibu negara, iaitu Taman Tun Dr Ismail mempunyai Jalan Burhanuddin Helmi, tiada sebab Perak yang melahirkan tokoh berkenaan juga patut mempunyai nama jalan yang serupa.

Sekitar 1946, Dr Burhanuddin memimpin PKMM manakala sayap wanita PKMM, Angkatan Wanita Sedar (Awas) dipimpin oleh Allahyarhamah Shamsiah Fakeh.

Selain Shamsiah, antara tokoh politik lain yang seangkatan dengan Dr Burhanuddin ialah Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dan Onn Jaafar (pengasas Umno).

Suara Keadilan Online akan berusaha mendapatkan maklum balas daripada anak Dr Burhanuddin mengenai perkara ini. - SK

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese