KOTA KINABALU, 15 Sept (Hrkh) - Persoalan mengenai status Parti Maju Sabah (SAPP) sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), bakal terjawab selepas diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada 17 September ini di Ibu Pejabat SAPP di Kota Kinabalu.
Presidennya, Dato' Yong Teck Lee menjelaskan, keraguan mengenai kedudukan SAPP dalam BN akan diselesaikan selepas mesyuarat itu nanti.
"Berdasarkan suasana politik sekarang yang tidak menentu, Majlis Tertinggi SAPP bakal membuat keputusan pada 17 September itu nanti.
"Kita akan mencari keputusan dan melihat status SAPP dalam BN, sama ada BN yang akan membuat keputusan mengenainya atau dengan menyingkirkan keraguan dengan membuat keputusan sendiri,"katanya pada sidang media selepas menghadiri seminar anjuran Persatuan Peguam Sabah di salah sebuah hotel terkemuka di sini kelmarin.
Turut hadir pada sidang media itu, Ahli Parlimen Sepanggar Dato' Eric Majimbun dan Ahli Parlimen Tawau, Dato' Dr Chua Soon Bui; Setiausaha Agung parti Dato' Richard Yong; Ahli Dewan Undangan Negeri Likas, Dato' Liew Teck Chan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang, Melanie Chia.
No comments:
Post a Comment