26 September 2008

Ayuh ke Istana Negara sekarang...

HARI ini 23 September. Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah nekad tidak akan mengadakan sidang Parlimen tergempar seperti yang diinginkan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Penolakan Abdullah itu sebenarnya suatu yang serius dan beliau tidak sepatutnya menolak sidang Parlimen tergempar itu. Ini kerana kalau dakwaan Anwar itu betul maka Abdullah wajib meletak jawatan seperti yang dikehendakki Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Selepas menemubual pakar Perlembagaan, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, saya sempat berbincang panjang dengan beliau, tentang jalan menuju Putrajaya oleh Pakatan Rakyat.

Adakah masih ada jalan lagi? Atau perlu diasak bertubi-tubi Perdana Menteri yang sudah tidak popular itu untuk mengadakan sidang Parlimen tergempar?
Dan sehingga komentar ini ditulis, Pakatan Rakyat belum lagi menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan dari hal tersebut.

Nampaknya, usaha menyerahkan senarai nama ahli parlimen BN yang menyokong Pakatan Rakyat sebelum membentuk kerajaan baharu, belum diutus lagi. Ia disahkan oleh orang kuat Anwar, Johari Abdul.

Isu ini sangat penting. Soal sama ada kerajaan BN yang memerintah ini masih punyai sokongan untuk terus kekal mentadbir negara perlu diselesaikan segera. Biarlah '16 Sept pergi'.Ia tidak boleh dibuat main-main atau ditangguh-tangguhkan.

Peri pentingnya isu ini melibatkan banyak keputusan yang kesahannya bergantung kepada kerajaan (BN) yang ada itu sah atau sebaliknya. Dan dakwaan ini dibuat oleh Ketua Pembangkang Parlimen, bukannya pekikan kaki lima.

Jalan yang ada, Ketua Pembangkang boleh terus mempersembahkan nama-nama itu kepadaAgong. Ini kerana Perkara 43(4) tidak pun mewajibkan proses mempastikan kebenaran dakwaan Anwar (yang menyatakan bilangan ahli parlimen yang menyeberang) semestinya melalui undi tidak percaya di parlimen.

Anwar ada sebab yang cukup kuat untuk mempersembahkan nama-nama itu terus kepada Agong sekarang. Agong mempunyai peranan untuk mempastikan bahawa Perlembagaan berjalan tanpa diganggu.

Abdullah sebenarnya telah melakukan sesuatu yang menghalang proses biasa Perlembagaan bila menolak sidang tergempar Parlimen. Dalam situasi begini, Agong perlu bertindak; sama ada memanggil parlimen melalui kuasa simpanannya (lihat Perkara 55) atau mungkin menyingkirkan Perdana Menteri yang menganggu proses Perlembagaan itu.

Dan apabila timbul persoalan mengenai kredibiliti dan legitimasi sesebuah kerajaan, Agong tidak boleh bersikap tunggu dan lihat sahaja. Baginda wajar bertindak proaktif dan mengawal keadaan. Tidak ada institusi lain yang boleh memainkan peranan ini kecuali Agong.

Soalnya, wajarkah Agong menjemput Ketua Pembangkang untuk menghadap dan mempersembahkan senarai ahli parlimen yang beliau dakwa? Atau Anwar yang wajib menghadap Agong?

Agong bukan sahaja wajar malah itu menjadi tanggungjawab baginda. Sebagai Raja Berperlembagaan, baginda perlu bertindak mengikut nasihat kerajaan dan baginda perlu mempastikan bahawa kerajaan yang memberi nasihat itu sah kedudukannya di sisi Perlembagaan.

Jika dakwaan Anwar benar, Agong boleh menitahkan Abdullah letak jawatan dan menggantikannya dengan Anwar. Dalam kedudukan Abdullah yang dhaif, kemungkinan beliau berkeras, adalah tidak mungkin.

Ini bermakna, peranan Agong cukup penting dalam mempastikan demokrasi berjalan dan peralihan kerajaan baharu terbentuk. Bertemulah segera Anwar, menghadap Agong! Ayuh Anwar ke Istana Negara sekarang...

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese