10 October 2008

Anwar : Pakatan pilih cara aman tukar kerajaan - Malaysiakini

KOTA BHARU, 10 Okt (Hrkh) - Rakyat tidak seharusnya gusar biar pun tarikh pertukaran kerajaan yang diuar-uarkan 16 September lalu belum menjadi kenyataan, kata Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, lagi pun rakyat sebelum ini sanggup menunggu puluhan tahun bagi membolehkan Pakatan Rakyat bangkit pada pilihan raya umum lalu.

"Puluhan tahun kita sanggup tunggu, tak kan hendak tunggu sekejap lagi pun tidak boleh," katanya pada ceramah perdana Aidilfitri di Padang Perdana, malam tadi.

Padang tempat berlangsung ceramah penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Ceramah itu turut mendapat liputan sebuah stesen televisyen dari Australia yang memfokuskan segmen kebangkitan semula Anwar.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali, Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail dan wakil-wakil rakyat Kelantan.

Anwar yang juga anggota parlimen Permatang Pauh berkata, Pakatan Rakyat tidak mahu pertukaran kerajaan berlaku seperti di Bangkok dan Filipina secara tidak aman.

"Kita pilih secara aman biar pun usaha Pakatan Rakyat sebelum ini mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri tidak diendahkan. Begitu juga permohonan untuk mengadakan sidang parlimen khas juga tidak dihiraukan.

"Malah Pakatan Rakyat sudah menghantar surat kepada Yang di Pertuan Agong bagi memaklumkan perkembangan terkini dalam Pakatan Rakyat yang sudah ada simple majority bagi membentuk kerajaan," katanya.

Pada ceramah itu sekali lagi beliau menegaskan Islam menjadi tunggak utama kerajaan baru sebagaimana yang termaktud dalam perlembagaan.

Katanya menjadi keutamaan Pakatan Rakyat untuk terus memartabatkan Islam dan PAS tetap menjadi penaju utama kepada kerajaan baru.

Menurutnya, setiap dasar kerajaan akan diputuskan bersama dengan parti-parti Pakatan Rakyat dan bukan menjadi dominan kepada pihak tertentu sahaja.

Anwar juga memberitahu beliau tidak setuju dengan cara pemimpin Umno menghina begitu rupa presiden mereka sehingga terpaksa membuat keputusan berundur Mac depan.

"Oleh itu baki lima bulan yang ada sekarang Perdana Menteri hendaklah menggunakan ruang tersebut bagi memulihkan kembali reputasinya. Pertama membebaskan mereka yang ditahan tanpa bicara di Kem Tahanan Kemunting.

"Dato' Seri Abdulllah tidak perlu lagi takut kepada pemimpin lain dalam Umno kerana mereka sudah meneranjangnya sekarang," tambahnya.

Beliau berkata, sekiranya Abdullah tidak menggunakan peluang tersebut, Pakatan Rakyat akan melakukannya dengan membebaskan semua tahanan ISA apabila dapat membentuk kerajaan kelak.

Hujah itu turut disokong Husam yang mahu Perdana Menteri menggunakan baki kuasa yang ada sekarang kerana penggunaan ISA muktahir ini begitu meragukan sekali.

"Tidak pernah berlaku orang yang dikatakan kena ugut ditahan dan orang yang mengugut pula bebas di luar," katanya.

Beliau juga berkata, petanda-petanda kejatuhan kerajaan BN semakin jelas sekarang apabila perpecahan dalam parti semakin ketara.

Sebab itulah sekarang menurutnya, rakyat tidak sabar lagi menunggu kerajaan baru dibentuk dan bukan lagi sekadar pertukaran Abdullah kepada Najib.

Saifuddin menjelaskan biar pun Najib menggantikan Abdullah pada Mac depan ia tidak menjanji apa-apa perubahan kepada rakyat kerana dasar parti tetap sama.

"Institusi polis, peguam negara, badan rasuah masih lagi terkial-kial sekarang. Kerajaan yang diketuai Najib juga tidak menjanjikan masa depan yang baik.

"Oleh itu anggota-anggota parlimen BN dipelawa menyertai Pakatan Rakyat bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar telus dan adil dapat dibentuk melalui simple majority," ujarnya.

Aidiladha sasaran baru Pakatan bentuk kerajaan?

KOTA BHARU:Tempoh dua bulan akan datang menjelang hari Raya Aidiladha kini menjadi sasaran Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru Persekutuan?

Sasaran hari raya Korban pula dibayangkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.

"Sasaran 16 September, ia masih landasan. Tak minggu ini, minggu depan. Jangan bimbang satu dua tahun berlaku."

"Mungkin sebelum Hari Raya Haji," kata beliau yang juga ketua pembangkang pada ceramah di Padang Perdana di sini.

Ini kali pertama Anwar mengadakan ceramah sejak dipilih sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu.

Anwar diminta hadiri, kira-kira 12,000 sebab sasaran 16 September gagal dikotakan.

Apabila hadirin bersorak "jawab, jawab", Anwar memberitahu, sasaran 16 September memang menjadi, tetapi Perdana Menteri, Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi enggan menemui Pakatan Rakyat dan menolak permintaan sidang khas Parlimen pada 23 September lalu.

Anwar sekali lagi mendakwa mempunyai jumlah wakil rakyat yang mencukupi di samping mahu mengikut lunas Parlimen untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese