30 October 2011

Aziz Bari:Tidak mematahkan semangat saya



Pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari hadir di ibu pejabat Polis Daerah Gombak di Kuala Lumpur bagi memberi keterangan berhubung sebutir peluru dan nota ugutan yang diterimanya pagi semalam.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi semalam peluru dengan nota ugutan yang tertulis "Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti" itu, dihantar melalui pos ketika beliau mahu pulang ke rumah mertuanya di Taiping Perak.

"Saya telah membuat laporan semalam di Balai Polis Taiping dan hari ini saya datang untuk memberi keterangan lanjut...pihak polis telah mengambil peluru tersebut untuk siasatan," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan itu hari ini.

Abdul Aziz berkata ugutan yang diterima tidak akan mematahkan semangatnya untuk meneruskan tugas seperti biasa dan beliau yakin mungkin ada segelintir pihak yang kurang berpuas hati dengan komen beliau terhadap titah Sultan Selangor baru-baru ini.

Tindakan Abdul Aziz mempertikai titah Sultan Selangor dibantah beberapa pihak, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan keengganan pensyarah itu meminta maaf sebagai 'kurang ajar'.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan polis Abdul Aziz pada pukul 7 petang semalam dan kes disiasat mengikut seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah.

Beliau berkata motif ugutan masih lagi disiasat dan mengesahkan jenis peluru yang digunakan ialah jenis caliber 9mm.

-- Bernama

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin