06 September 2011

Tubuh Panel Khas Kaji Semula Sejarah Merdeka-PAS



Di sebalik kontroversi berhubung dakwaan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa Mat Indera atau nama penuhnya Muhammad Indera adalah salah seorang pejuang kemerdekaan, parti itu hari ini mendesak Putrajaya membentuk sebuah jawatankuasa Kabinet untuk meneliti semua fakta sejarah.

Hal ini kerana menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Umno selama ini telah membohongi umum dengan menggambarkan Mat Indera sebagai seorang komunis.

Menurut Mustafa, sejarah negara perlukan penelitian semula memandangkan versi rasmi hanya mengiktiraf Umno sebagai pejuang kemerdekaan.

“Perjuangan mendapatkan kemerdekaan tidak bermula dengan Umno... yang menentang British ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),” katanya.

Mustafa berkata PKMM ditubuhkan pada 1945 sedangkan Umno dibentuk setahun kemudian.

Beliau bagaimanapun mengakui peranan pemimpin-pemimpin Umno dalam perjuangan kemerdekaan sambil berkata pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah mengambil pendekatan kerjasama dengan menjadi pegawai pentadbiran British.

“Bagaimanapun sejarah telah dilarikan apabila dikatakan bahawa pejuang kemerdekaan hanyalah Umno. Ia tidak betul. Jangan menafikan pejuangan lain yang dimulakan oleh PKMM,” kata Mustafa lagi.

Dalam pada itu, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pula berkata, jawatankuasa itu dipertanggungjawabkan untuk menulis semula sejarah kemerdekaan yang sebenar.

“Jika beliau ikhlas, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) boleh mengadakan sebuah jawatankuasa Kabinet untuk menulis semula sejarah kemerdekaan,” katanya.

Sidang media sama turut dihadiri ahli jawatankuasa kerja Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin