10 August 2011

Pelajar Malaysia cedera dalam rusuhan di London



Seorang pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) jurusan Perakaunan sebuah kolej di London tercedera ringan dalam rusuhan di kota itu semalam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata bagaimanapun, pelajar itu, Asyraf Hazlan, 20-an, tidak kritikal dan hanya cedera di bahagian rahang dan kini dirawat di Royal London Hospital.

“Pelajar ini tidak terlibat dalam rusuhan, tetapi beliau diserang oleh sekumpulan perusuh ketika keluar dari tren bawah tanah ketika dalam perjalanan menziarah rakannya untuk berbuka puasa di utara London.

“Beliau kemudian dipukul dan dirompak, tetapi telahpun dibawa ke hospital untuk rawatan, di mana beliau perlu menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga kementerian berkenaan dan agensi di bawahnya, di Institut Kemajuan Desa (Infra).

Dipetik Bernama Online, Mohd Shafie berkata keluarga mangsa, yang berasal dari Selangor, telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata Mara turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan pelajar di kawasan berisiko tinggi di kota itu ke sebuah penempatan di Leicester Square bagi menjamin keselamatan mereka. - TMI

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin