23 July 2011

Perhimpunan di Bukit Aman tuntut bebas aktivis PSM



Kira-kira 200 penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pakatan Rakyat dan NGO mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk ibu pejabat polis Bukit Aman petang ini, menuntut pembebasan enam aktivis PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Mereka juga berkumpul untuk menyerahkan memorandum menuntut pembebasan mereka yang ditahan akhir bulan lalu apabila mereka didapati memiliki bahan-bahan yang didakwa polis mempromosi komunisme dan sebagai bukti rancangan mereka untuk melancarkan 'perang terhadap Yang di-Pertuan Agong'.

Mereka pada mulanya dituduh melanggar Seksyen 122 Kanun Keseksaan, tetapi ini digugurkan. Keenam-enam mereka kemudian ditahan semula di bawah Ordinan Darurat pada 2 Julai atas dakwaan bahawa mereka menjadi ancaman kepada ketenteraman awam
Mereka yang ditahan ialah Ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael D Jeyakumar dan lima lagi aktivis PSM iaitu M. Sukumaran, AP Letchumanan, Choo Chon Kai, M Sarasvathy dan R Sarat Babu. Diketuai oleh setiausaha agung PSM S Arutchelvan, pintu depan Bukit Aman ini bergema apabila mereka melaungkan "Bebas Tahanan", "Hidup Rakyat" dan "Mansuhkan EO" beberapa kali.

Turut hadir adalah beberapa ahli parlimen Pakatan antaranya Tian Chua, Gobind Singh Deo, Anthony Loke, Lim Lip Eng, Tan Kok Wai dan Dr Dzulkefly Ahmad.

Antara pemimpin NGO yang hadir ialah penyelars Suara Rakyat Malaysia (Suaram) E Nalini, Nashita Mohd Noor (ahli jawatankuasa Gerakan Mansuhkan ISA) dan Ivy Josiah selaku pengarah eksekutif Women's Aid Organisation.

Kebangkitan rakyat

Sewaktu berhimpun mereka menyampaikan ucapan ringkas antaranya menuntut pembebasan semua tahanan itu segera dan berharap rakyat terus memperjuangkan perkara ini sehingga mereka dibebaskan.

"Pencabulan (kepada mereka) tidak seharusnya berlaku... Mereka 'dikambinghitamkan', mungkin. Ketidakadilan ini kita pertikaikan.

"Kami menganggap mereka ditahan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Saya berharap rakan-rakan dapat memperjuangkan (pembebasan mereka)," kata pengerusi PSM Dr Nasir Hashim.

Manakala Tian yang juga naib presiden PKR mengingatkan jika pemimpin negara terus menggunakan undang-undang yang didakwanya tidak relevan, maka mereka dianggap "tidur dan akan menjadi tidak relevan di mata rakyat".
"Kepada ketua polis negara dan timbalan polis negara kena sedar bahawa kini adalah zaman kebangkitan rakyat yang akan membuat penilaian," katanya.

Menurutnya lagi, rakyat tidak akan berhenti untuk menuntut pembebasan tahanan itu, dan akan meneruskan perhimpunan yang lebih besar untuk menuntut keadilan ke atas mereka. Manakala Gobind mempersoalkan apakah negara ini dalam keadaan darurat dan terdapat ancaman komunis. Katanya-katanya disambut teriakan "tidak" oleh peserta perhimpunan itu.
"(Untuk) kerajaan dan polis, rakyat tidak takut dan perjuangan ini tetap diteruskan. Ini amaran kepada kerajaan, jangan main-main dengan kuasa rakyat. Rakyat yang akan menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan," katanya.

Undang-undang drakonian

Sementara Dr Dzulkefli pula yang memulakan ucapan dengan laungan "Hidup Rakyat" dan "Mansuhkan EO, mendesak pembebasan segera semua enam pemimpin PSM itu dan menyifatkan Ordinan Darurat sebagai undang-undang drakonian yang perlu dihapuskan.

Perhimpunan itu berlangsung selama hampir sejam bermula jam 2.30 petang, di mana mereka berarak 100 meter dari pintu masuk ibu pejabat polis itu. Kira-kira 40 anggota polis berkawal di hadapan pintu masuk ibu pejabat berkenaan.

Sementara itu, dalam memorandum tuntutan - yang disokong 90 badan yang terdiri daripada parti politik, NGO dan kumpulan mahasiswa - mereka menuntut tiga perkara penting kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Selain menuntut pembebasan segera keenam-enam pemimpin PSM itu, mereka juga menuntut supaya menghentikan penyiksaan dan pencabulan hak asasi ke atas tahanan itu serta memansuhkan semua akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Dalam memorandum itu, mereka mendakwa penahanan enam orang aktivis ini adalah satu pencabulan hak asasi manusia dan mala fide (berniat jahat).

"Alasan awal penahanan enam aktivis ini adalah cukup jelas dan nyata iaitu untuk menjadikan kambing hitam bagi menakut-nakutkan rakyat Malaysia daripada menyokong dan menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.

"Kemudian notis pemberitahuan ini ditarik balik dan pertuduhan itu ditukar dan mereka dikaitkan dengan tuduhan akan membawa kemudaratan kepada ketenteraman awam.

Kelirukan rakyat

"Kini BERSIH 2.0 yang ditakuti pihak polis dan pihak kerajaan, sudah pun berlalu. Walaupun, kami tidak bersetuju dengan alasan menahan mereka kerana BERSIH, tetapi kini polis tidak mempunyai alasan lagi untuk menahan aktivis ini memandangkan semua orang lain sudah pun dibebaskan atau akan didakwa di mahkamah," memorandum itu dipetik.

Selain itu, mereka juga mendakwa polis membuat tangkapan ISA dengan menggunakan nama Ordinan Darurat untuk mengelirukan rakyat. Dakwa mereka, cara dan prosedur tahananan mereka digunakan bagi tahanan ISA antaranya mereka ditahan berseorangan dan bukan di lokap polis.

Memorandum itu juga turut menjelaskan tahanan itu merupakan aktivis sosial dan ahli PSM yang berjuang kepentingan rakyat secara terbuka.

"Mereka bukannya sekumpulan pengganas atau penjenayah yang merancang untuk menggulingkan kerajaan," katanya mereka.

Sehubungan itu, mereka menggesa Ismail agar membebaskan semua tahanan itu dan menekankan "selagi mereka berada dalam tahanan polis, keselamatan mereka adalah tanggungjawab pihak polis". ~MK~

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese