05 July 2011

PAS Sokong Apa Saja Keputusan Penganjur BERSIH 2.0 - Mohamad Sabu



Penganjur himpunan BERSIH 2.0 diberikan mandat untuk menilai tawaran Perdana Menteri Najib Razak agar himpunan rakyat itu diadakan didalam stadium, Sabtu ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata apa sahaja keputusan penganjur Gabungan Pilihan raya Bersih & Adil (BERSIH) bersabit tawaran itu akan dituruti, malah PAS tetap akan memberi sokongan di mana sahaja perhimpunan itu diadakan.

"Itu terserah kepada jawatankuasa Bersih untuk menentukan saranan Perdana Menteri itu."

Najib semalam dilaporkan membuat tawaran tersebut tatkala Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengeluarkan titah agar himpunan aman itu harus dipertimbangkan semula agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Baginda juga bertitah agar kabinet Najib melaksanakan tugas yang diamanahkan rakyat dengan baik dan adil disamping mengelakkan kerajaan daripada terus dimusuhi rakyat negara ini.

Titah baginda disambut baik Mohamad Sabu. Beliau berkata kematangan berhujah baginda yang menegur kedua- dua belah pihak meredakan kemarahan rakyat terhadap jentera kerajaan pemerintah.

Mohamad Sabu juga berkata, melalui pemahamannya, titah Baginda Sultan lebih menjurus kepada golongan yang mahu menimbulkan kekacauan semasa perhimpunan itu berlangsung, seperti Perkasa dan Pemuda UMNO yang diwakili oleh Patriot.

Beliau turut mengulas mengenai keputusan PAS yang berhasrat mahu menghadap YDPA bagi memanjangkan aduan mengenai kezaliman polis terhadap beberapa tangkapan yang dilakukan berikutan menyokong perhimpunan ini.

"PAS akan menghadap Yang Dipertuan Agong, terutamanya untuk membuat aduan tentang kekejaman polis yang bekerja tidak mengikut undang-undang," katanya.

Untuk rekod, sejak majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu, lebih daripada 150 orang yang dikaitkan dengan Himpunan BERSIH 2.0 telah ditahan antaranya Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jayakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969.
-tvsnews-

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese