25 July 2011

Bekas menteri akui perlu reformasi sistem p'raya



Pertikaian PAS, Pakatan Rakyat, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan pelbagai pihak lain tentang ketelusan sistem pilihanraya di negara ini diakui berasas dan tidak sewajarnya dipandang ringan oleh kerajaan BN.

Sekiranya pilihanraya di negara ini benar-benar dilaksanakan dengan bersih dan adil, tidak mungkin pertikaiaan mengenainya berlaku sehingga menyebabkan pelbagai protes dilakukan secara berterusan oleh pelbagai pihak termasuk parti-parti politik, NGO-NGO di tanah air dan pelbagai pihak lain.

Bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir (gambar) yang turut mengakui perkara itu antara lain meminta pihak kerajaan BN merujuk kepada penganjuran protes besar-besaran yang dilakukan oleh Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

"Sekiranya pilihanraya di negara ini memang bersih, masakan Bersih sanggup bersusah payah mengadakan perhimpunan itu. Ini menggambarkan keadaan di negara kita yang sudah teruk," katanya.

Berucap pada majlis pelancaran sebuah NGO baru, Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, di sini, baru-baru ini, beliau menyarankan kerajaan memperbaiki keadaan itu demi kepentingan negara.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan agar mengambil pendekatan yang baik dengan turut menerima cadangan-cadangan yang baik dari rakyat termasuk dari Bersih 2.0.

"Untuk memperbaiki perkara itu, Datuk Ambiga turut mencadangkan agar SPR turut dianggotai wakil-wakil NGO. Saya kira cadangan itu adalah sesuatu yang baik yang patut diterima oleh kerajaan," tegasnya.

Keadaan yang teruk di negara ini, menurut beliau, selain pilihanraya tidak bersih, juga boleh dilihat dari pelbagai sudut lain termasuk amalan rasuah, kronisme, salahguna kuasa, penyelewengan, kerosakan moral dan sistem sosial, kehancuran perpaduan kaum dan hilangnya rasa hormat menghormati antara satu sama lain.

"Semua itu boleh menjejaskan kestabilan politik dan boleh merosakkan negara. Ia berlaku akibat sikap pihak-pihak tertentu yang ingin menjaga kepentingan kumpulan minoriti mereka tanpa mengambil kira kepentingan rakyat," katanya.

Beliau turut kesal apabila jika terdapat individu tertentu yang prihatin dan tidak senang dengan perkembangan negatif itu menegur dan berusaha untuk memperbaiki keadaan demi kepentingan rakyat dan negara, individu itu pula yang akan tersdingkir dari kerajaan dan ditolak dari barisan kepimpinan kompenan BN.

"Padahal, negara ini bukan milik mereka. Negara kita ini bukan milik kumpulan minoriti. Negara kita ini bukan milik Umno dan bukan milik PAS, tetapi negara ini adalah milik seluruh rakyat negara ini.

"Jadi pihak pemerintah mestilah faham dengan realiti itu dengan sentiasa menjaga perpaduan kaum dan kepentingan semua rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, bukan hanya menjaga kepentingan kumpulan minoriti mereka sendiri sahaja sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa," ujarnya.

Demi kepentingan negara, beliau mengajak pihak pemerintah khususnya dan kesemua pihak di negara ini amnya bersama-sama menghayati pesanan Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra khususnya berhubung soal amanah dan perpaduan kaum.

Apabila Bapa Kemerdekaan kita, katanya, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang tercinta menubuhkan Malaysia, dia bercakap tentang pelbagai kaum hidup sebagai anggota dalam satu keluarga yang besar. Dia berkata, kira-kira demikian bunyinya:

"Jikalau kita mahu bersatu sebagai satu keluarga dan mahu hidup di bawah satu bumbung yang kita sebut Malaysia, kita kenalah bersikap jujur terhadap satu sama lain, Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, kaum Siam dan lain-lain lagi, orang Islam, orang Buddhist, orang Hindu, orang Kristian dan sebagainya.

"Jikalau kita jujur dan ikhlas, kita tidak akan berkata apa-apa yang boleh menyakiti orang lain. Kita juga tidak akan melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menyakiti hati dan perasaan satu sama lain.

"Sebagai anggota keluarga yang ikhlas dan jujur, kita mestilah sentiasa hadir, bersedia untuk menolong satu sama lain. Yang kaya hendaklah menolong yang miskin dan yang sudah berjaya hendaklah menolong yang kurang bernasib baik.

"Dengan cara begitulah baru kita boleh menjadi satu bangsa dan menjadikan negeri ini bersatu-padu dan kuat. Setiap orang akan berasa gembira. Barulah Malaysia akan dihormati oleh dunia."

Menurut beliau, alangkah hebatnya kata-kata yang mudah tetapi penuh hikmah itu. Allahyarham Tunku Abdul Rahman mahukan seluruh rakyat negara ini hidup dengan cara demikian sebagai anggota dalam keluarga yang bahagia.

"Selepas 54 tahun, di manakah kita berada sekarang? Adakah kita sudah dapat hidup sebagai satu keluarga? Jika belum tentu ada sesuatu yang salah. Kita tidak boleh menunggu terlalu lama lagi untuk mengembalikan negeri kita ke jalan yang benar.

"Kita mesti berbuat sesuatu dan melakukannya sekarang juga! Setiap warga Malaysia yang berfikiran benar hendaklah bersama-sama untuk menyatakan hasrat dan suara kita dan menyatakannya dengan lantang dan jelas.

"Tunku Abdul Rahman bukanlah bercakap kosong atau bercakap tak serupa bikin. Sebaliknya. Tunku Abdul Rahman sendiri mengamalkan apa yang dia serukan kepada orang lain," tegas beliau.

NGO baru Amanah yang dilancarkan semalam diketuai oleh Ahli Parlimen Gua Musang selaku presidennya, manakala beliau pula selaku salah seorang timbalan presidennya.

Penubuhan pertubuhan yang dipimpin oleh barisan kepimpinan dari pelbagai bidang itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh pelbagai lapisan rakyat negara ini, bagi menyampaikan suara rasminya dalam menegur kerajaan BN yang kini semakin merosakkan negara ekoran pelbagai tindakan para pemimpinnya yang amat tidak disenangi rakyat.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese