04 May 2011

Osama Tidak Bersenjata Ketika Serbuan



Tempat persembunyian Osama di Abbottabad, Pakistan

Osama bin Laden dilaporkan tidak bersenjata apabila komando Amerika Syarikat menyerbu masuk ke biliknya dan menembak beliau mati di tempat persembunyiannya di Pakistan, menurut White House.

Tindakan itu sekali gus menukar pernyataan rasmi mengenai insiden berkenaan dan menimbulkan persoalan apakah Amerika memang tidak merancang menangkap Osama hidup-hidup.

Namun menurut beberapa laporan yang belum disahkan, Osama sempat melawan sebelum ditembak mati.

Pentadbiran presiden Amerika, Barrack Obama juga masih berdebat sama ada mahu menyiarkan gambar ngeri mayat Osama kerana bimbang ia akan meningkatkan lagi sentimen anti-Amerika ketika dunia perlu diyakinkan bahawa pemimpin al-Qaeda itu sudah mati.

Namun, Pengarah CIA, Leon Panetta, berkata satu gambar pastinya akan ditunjukkan.

"Saya tidak sangsi satu gambar akhirnya akan ditunjukkan kepada umum," katanya dalam temubual bersama NBC Nightly News.

Sebelum ini, Obama memberitahu rakyat Amerika bahawa pemimpin al-Qaeda sudah dibunuh dalam satu operasi tentera dan jenazah beliau disemadikan di laut.

Menurut jurucakap White House, Jay Carney, pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih lanjut bagaimana keadaan Osama ketika dia diserang.

Di Islamabad, Reuters melaporkan pakar perisikan Pakistan menyatakan seorang daripada anak perempuan Osama menjadi saksi pembunuhan bapanya yang ditembak mati oleh pasukan tentera Amerika.

Menurut pakar perisikan yang enggan dikenali itu, anak perempuan Osama yang berusia 12 atau 13 tahun itu turut mengesahkan dalang serangan 11 September 2001 itu mati dibunuh pada awal pagi kelmarin.

Sementara itu, 10 saudara-mara Osama termasuk seorang isteri serta lapan anaknya ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan untuk disoal siasat. - Agensi

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin