17 April 2011

Terima kasih di atas dokongan dan sokongan dalam Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak 2011 - Presiden PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin merakamkan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera pilihanraya PAS dari perlbagai peringkat serta orang perseorangan yang bertungkus-lumus dan menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan negeri Sarawak yang baru sahaja berakhir. Tahniah juga kepada semua calon PAS yang mampu berhadapan dengan segala bentuk cabaran dan rintangan tanpa penat dan lelah sepanjang tempoh berkempen itu. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Izan Yaakob, yang juga merupakan petugas PAS dari Kelantan yang telah kembali ke rahmatullah di bilik gerakan DUN Beting Maro pada hari pengundian dijalankan. Semoga Allah merahmati roh beliau dan ditempatkan di kalangan para solihin.

Kepada semua calon PAS, teruskanlah urusan anda bersama dengan masyarakat di sekeliling anda dengan membawa mesej yang jelas tanpa mengira waktu dan ketika. Sesungguhnya Allah jualah yang mampu membalas segala kerja buat kita dalam membawa suara Islam yang menjadi asas perjuangan PAS sejak sekalian lama itu.

Sesungguhnya keputusan pilihanraya itu adalah merupakan satu muhasabah terhadap langkah dan strategi dalam kita memugar gerombolan lawan kita dalam pilihan raya itu. Tentunya masih banyak yang perlu ditambah baik oleh kita semua supaya pendekatan kita akan menjadi lebih efektif, dan mampu untuk merobohkan tembok besar yang masih berlegar dalam ruang pemikiran pengundi yang ada di depan kita. Apapun, sekali-kali setiap anggota jentera parti tidak seharusnya merasa lemah dan kecewa dengan keputusan pilihan raya yang sama-sama kita ketahui itu.

PAS juga ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi yang memilih PAS dalam pilihan raya ini. Kami semua tidak akan mengecewakan tuan-puan sekalian, insyaAllah kami akan terus berkhidmat kepada semua menerusi calon dan jawatankuasa PAS di peringkat masing-masing.

Saya juga telah mengarahkan Pesuruhjaya PAS Sarawak untuk berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat bagi menentukan masa, kaedah dan tempat yang sesuai untuk meraikan calon dan seluruh petugas pilihanraya PAS di Sarawak menerusi satu majlis khusus yang akan diadakan nanti.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS

13 Jamadil Awal / 17 April 2011

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese