10 March 2011

MP PKR dibeli RM1.4 juta




Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail mempersoal tindakan Ahli Parlimen KEADILAN yang keluar parti, baru-baru ini , disebabkan menerima wang dari pihak tertentu untuk membuat bayaran hutangnya.

“Cek pertama adalah cek tunai berjumlah RM700,000 dengan tarikh 12 Januari beralamat di sebuah bank di Ipoh manakala cek kedua adalah cek yang mempunyai tarikh sah laku sehingga 15 Mac dengan jumlah RM700,000.

“Cek itu beralamat syarikat milik Ahli Parlimen yang juga alamat kediamannya sendiri. Ia dibayar kepada tuan punya tanah dengan jumlah RM1.4 juta. Persoalannya, dari mana datangnya duit ini?” soalnya sambil menunjukkan bukti salinan bayaran cek berkenaan.

Terdahulu, Saifuddin berkata, Ahli Parlimen yang keluar KEADILAN itu membeli tanah pada 2010 dengan harga RM1.5 juta tetapi gagal membuat bayaran dalam masa 60 hari mengikut perjanjian.

“Saya mendapat salinan perjanjian antara Ahli Parlimen ini dengan pihak yang memiliki tanah. Perjanjian itu dibuat pada Mei 2010. Bayaran mesti dibuat, namun beliau tiada wang,” katanya kepada KeadilanDaily di lobi Parlimen, hari ini.

Menyatakan maklumat itu diperoleh daripada pihak tertentu yang bersimpati dengan KEADILAN, Saifuddin berkata: “Kita ada dokumen dan mereka datang menemui saya menyerahkan bukti.

“Selepas membuat kajian, ia memang sah. Data itu adalah dokumen asal dan saya buat salinan.

“Tindakan ini dilakukan oleh mereka yang tidak tahan melihat lakonan Ahli Parlimen kononnya keluar parti mendakwa kononnya KEADILAN tidak membela rakyat,” katanya yang sudah menjangka tindakan individu itu untuk keluar parti.

“Namun, mereka khianat sebab bertanding dan menang atas tiket KEADILAN. Kita sentiasa mempertahankan bahawa mereka yang mengkhianati parti adalah kerana mereka dibeli,” kata Saifuddin.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese