18 March 2011

Indeks rasuah tercalar kerana Taib



Badan pemantau anti-rasuah antarabangsa cawangannya di Malaysia iaitu Transparency International-Malaysia (TI-M) mengeluarkan kenyataan bagi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya segera bertindak menyiasat dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Presidennya, Datuk Paul Low berkata “dakwaan serius rasuah luar biasa dan penyalahgunaan kuasa” itu terhadap keluarga ketua menteri itu boleh menyebabkan indeks rasuah negara terus merosot.

Menurutnya lagi, Transparency-International berasa risau mengenai kewibawaan negara dan juga imej kita akan terjejas sebagai negara demokrasi di mata dunia sekiranya siasatan tidak dijalankan.

Beliau mengulas dakwaan laman web anti-Taib, Sarawak Report yang membuat pendedahan beberapa dokumen yang mendakwa wujudnya empayar perniagaan membabitkan ketua menteri Sarawak itu di peringkat global dan dakwaan rasuah. Selain itu, beberapa siri tunjuk perasaan diadakan di seluruh dunia bagi menekan Taib supaya meletakkan jawatan atau berundur dari politik.

Gesaan ini dibuat ketika negeri itu bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya negeri.

“Dakwaan berkaitan dengan kekayaan yang begitu banyak (jumlahnya), yang diperoleh oleh mereka yang rapat dengan beliau (Taib), keluarga beliau, saudara mara, (dan juga) rakan-rakannya,” kata beliau sambil menambah, siasatan yang sewajarnya perlu dijalankan untuk membersihkan tanggapan bagaimana kekayaan itu dikumpulkan.

Taib akan menyambut 30 tahun mentadbir Sarawak pada 26 Mac ini.

Badan pemantau antirasuah itu menggesa SPRM agar mengambil tindakan segera memandangkan tuduhan terhadap Taib, ketua menteri paling lama memegang jawatan, sudah muncul di media asing sekarang.

Taib yang dilihat cuba mengekalkan kuasa di sebalik banyak dakwaan ke atasnya. Beliau tidak pernah berusaha bagi menjawab kesemuanya jika benar-benar tidak bersalah.

Malah, Taib telah menggunakan banyak cara seperti menghalang sesetengah mereka daripada memasuki negeri Sarawak dengan menggunakan peruntukan undang-undang imigresen Sarawak yang ramai menyifatkan sebagai undang-undang ‘usang’ yang melemahkan penyatuan Malaysia di bawah konsep 1Malaysia yang dipromosikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Taib diberikan jolokan sebagai Hosni Mubarak dan Muammar Gaddafi Malaysia oleh sesetengah ahli politik kanan pembangkang dan sosial di dalam dan luar negara kerana pentadbiran 30 tahunnya itu diibaratkan sebagai ‘regim’. KL-Today.com

1 comment:

Anonymous said...

Bila di desak beliau akan kata in bukan rasuah. Saya ni pinjam duit kerajaan sahaja. Semuanya akan dipulang dalam satu masa kelak.Kalau Cabinet Malaysia bersetuju semuanya OK.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin