14 January 2011

Lagi himpunan bantah perlantikan Khusrin



NGO : Pelantikan Khusrin Langgar Hak Rakyat Selangor

Pelantikan Datuk Khusrin Munawi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan dianggap tidak mengikut norma konvensional dan melanggar hak rakyat Selangor yang memilih Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menerajui pemerintahan negeri itu menurut gabungan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Justeru NGO Hormati Suara Rakyat Selangor (HSRS) hari ini tampil menyuarakan sokongan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terhadap isu ini dan mahukan Sidek menarik semula pelantikan Khusrin.

Wakil HSRS Datuk Ambiga Ambiga Sreenevasan meyatakan hak rakyat yang membuat pilihan perlu diutamakan bagi menjamin pentadbiran yang baik, telus dan licin seperti yang dimahukan rakyat.

"Hak pengundi perlu dihormati dan setiap kali wakil yang dipilih oleh anda ditindas, kita kena bersuara dan inilah sebab tercetusnya insiatif ini," tegas Ambiga dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.

HSRS turut merancang mengadakan satu perhimpunan besar-besaran pada 23 Januari ini di Stadium Kelana Jaya mengumpulkan rakyat Malaysia mendesak Sidek sebagai Ketua Setiausaha Negara menarik kembali pelantikan Khusrin dan mendengar kembali Persetujuan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diketepikan dalam soal ini.

Perhimpunan ini turut bakal memberi fokus isu tempatan yang tidak dapat diselesaikan kerana tiada kerjasama dari Kerajaan Persekutuan melalui agensi mereka seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), SYABAS serta agensi lain.

Wakil HSRS, Haris Ibrahim menganggap isu ini merupakan satu penafian hak terhadap rakyat Selangor mendapat khidmat terbaik dalam pentadbiran negeri oleh Kerajaan Persekutuan UMNO BN.

"Rakyat Selangor pada 8 Mac 2008 telah mengundi dan membuat pilihan. Apa yang kita lihat hari ini ialah insiden, gerakan untuk memandang rendah pilihan rakyat Selangor. Insiden terbaru pelantikan SUK ini hanya membimbangkan lagi rakyat Selangor kerana walau telah memilih Pakatan Rakyat, ada usaha pihak lain mengganggu dan merendahkan Kerajaan Negeri Selangor" kata Haris.

HSRS merupakan gabungan NGO yang memperjuangkan hak rakyat dan keadilan seluruh negara. Antara NGO terlibat ialah Bersih 2.0, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) dan lain-lain lagi. - TVSNEWS

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin