17 January 2011

Isu azan: Pemuda PAS mahu penjelasan lanjut JAWI



Dewan pemuda PAS Wilayah Persekutuan menuntut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat penjelasan berhubung satu arahan supaya sebuah masjid di Pantai Dalam di ibu negara memperlahankan laungan azan.

Tuntutan itu dibuat melalui satu memorandum yang dihantar kepada pengarah JAWI hari ini.

Naib ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Suhaimi Abdul Aziz (berkopiah) bertegas, JAWI perlu memberi penjelasan lanjut walaupun jabatan itu telah menafikan mengeluarkan arahan.

Mohamad Suhaimi berkata demikian ketika bercakap kepada wartawan selepas menyerahkan memorandum berkenaan di pejabat JAWI hari ini.

Dalam memorandum berkenaan, beliau turut mendakwa bahawa masjid tersebut menerima arahan supaya memperlahankan laungan azannya ekoran satu aduan kepada perdana menteri.

"Isu ini menimbulkan kontroversi ekoran daripada aduan seorang ahli MCA yang menulis surat kepada perdana menteri meminta suara azan di Masjid Al Ikhlasiah Pantai Dalam diperlahankan.

Ambil iktibar Singapura
"Ekoran aduan tersebut, masjid Al Ikhlasiah telah memperlahankan suara azan dan telah menimbulkan kemarahan beberapa pihak.

"Beberapa pihak telah mengadakan demonstrasi di hadapan masjid tersebut minggu lepas," kata Suhaimi yang membaca memorandum tersebut.

Katanya, JAWI perlu mengemukakan penjelasan itu memandangkan pihak pentadbiran masjid itu sendiri telah menyatakan bahawa arahan supaya memperlahankan laungan azan itu telah dikeluarkan oleh jabatan berkenaan.

Tambahnya, JAWI perlu tegas dan tidak perlu tunduk kepada tekanan mana-mana pihak berhubung amalan agama Islam.

"Islam adalah agama rasmi di negara ini. Semua pihak perlu menerima bahawa Islam adalah agama persekutuan.

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan umat Islam berkongsi kebimbangan sekiranya JAWI melayan aduan seperti ini, ia boleh mengundang kepada pelbagai kontroversi di masa akan datang.

"Ambillah iktibar dari keadaan yang berlaku di Singapura di mana pembesar suara tidak boleh dihalakan ke luar masjid dan hanya dalam kawasan masjid sahaja boleh mendengar suara azan yang dilaungkan," katanya lagi.

Gesa keluar garis panduan
Sehubungan itu juga, beliau menggesa supaya JAWI mengeluarkan satu ketetapan dan garis panduan berhubung penyiaran azan, tarhim serta kuliah di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

"Ini meliputi kawasan majoriti Islam dan majoriti bukan Islam dengan merujuk perlembagaan negara dan juga usul fekah dalam manhaj (jalan) dakwah kepada umat Islam dan bukan Islam.

Tambahnya, Masjid Al Ikhlasiah perlu mengembalikan tahap suara azan seperti sedia kala "bagi mengelakkan lebih banyak kemarahan umat Islam."

"Ini kerana majoriti penduduk di sekitar kawasan masjid adalah dari kalangan umat Islam.

"Tidak timbul soal suara azan mengganggu penduduk kerana lebih ramai umat Islam menetap di kawasan terbabit," katanya.

Memorandum berkenaan diterima oleh seorang penolong pegawai tadbir JAWI, Nasaruddin Mohd Zainal yang mewakili pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin