15 December 2010

WikiLeaks: Anwar cabar Najib sangkal info kaitkan kes Altantuya



Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam dakwaan pemimpin Singapura bahawa mereka ada maklumat tentang keterlibatan beliau dalam kes liwat dan pada masa yang sama, menggesa perdana menteri menyangkal pendedahan WikiLeaks yang mengaitkannya dengan wanita Mongolia yang mati dibunuh empat tahun lalu.

Ketua Pembangkang ini mencabar Datuk Seri Najib Razak melawan dakwaan itu sebagaimana dilakukan oleh beliau tanpa hanya mengetepikan pendedahan tersebut atas alasan ia perkara kecil.

Kelmarin, Najib meminta rakyat Malaysia tidak ambil kisah pendedahan WikiLeaks tetapi semalam Malaysia menghantar nota protes kepada Singapura berhubung pendedahan maklumat laman web itu, yang sebahagiannya memetik pegawai-pegawai republik tersebut yang didakwa memperlekehkan kepimpinan negara ini termasuk Najib sendiri.

“Saya akan mempertahankan diri saya dan integriti saya. Saya mahu tanya Najib, adakah anda boleh mencabar Singapura agar membuktikan dakwaan itu. Itu sebabnya media Umno tidak berani melaporkan perkara itu.

“Apabila saya dituduh, saya akan melawan, tetapi apabila Najib dituduh apa beliau kata? Ini hanya perkara kecil,” kata Anwar di hadapan 500 hadirin di kawasan pinggi bandar Selangor dekat sini malam tadi.

Dalam ceramahnya Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, beliau beberapa kali mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang turut didedahkan oleh kabel-kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat, yang dibawa oleh WikiLeaks.

Najib telah berkali-kali menafikan dakwaan yang mengaitkan wanita itu dengan beliau.

Ceramah di Taman Melati malam tadi merupakan yang pertama selepas pendedahan WikiLeaks yang menyebut Anwar telah diperangkap tetapi beliau telah memasuki perangkap yang dipasang musuh-musuh politiknya.

Anwar dijadual mengadakan ceramah di Melaka, Negeri Sembilan selepas ini sebelum mengakhiri hujung minggu ini di Pulau Pinang sempena konvensyen Pakatan Rakyat.

Penasihat PKR ini dijangka akan menggunakan siri ceramah sepenuhnya untuk mendapatkan semula sokongan dan keyakinan rakyat selepas pendedahan WikiLeaks dan juga ekoran kesan ketika pemilihan parti yang berakhir bulan lalu.

“Apa itu WikiLeaks? Anda ada bukti? OK, saya akan menjawab dan saya telah meminta peguam saya menjawab. Adakah anda ada bukti? Adakah anda ada bukti teknikal?

“Jika Lee Kuan Yew mahu pergi ke mahkamah, sila teruskan dan bawa dia ke mahkamah. Biar beliau jadi saksi, saya tiada masalah. Bukan masalah saya sama ada anda percaya atau tidak,” kata Anwar lagi yang merujuk kepada laporan akhbar Australia.

Ahad lalu, Anwar menerusi Twitter telah pun mengetepikan pendedahan WikiLeaks bahawa perisikan Australia percaya beliau terlibat dalam kes liwat keduanya, dengan mengatakan sumbernya sudah pasti Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia.

Menurut laporan The Sun-Herald Sabtu lalu, pendedahan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat menunujukkan pegawai-pegawai risikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa Anwar terlibat dalam perbuatan yang dikenakan tuduhan itu - tindakan yang beliau menafikan sama sekali.

“Jabatan Risikan Kebangsaan Australia juga mengatakan bahawa kelakuakn itu adalah akibat perangkap oleh musuh-musuh Dr Anwar,” lapor akhbar itu, yang merupakan sebahagian daripada produk kumpulan Sydney Morning Herald.

Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.

Wikileaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Kes itu sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan disambung bulan depan.

Tuduhan kali pertama dikenakan sedekad yang lalu, selepas beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Menurut akhbar itu, kabel melibatkan kedudukan Anwar merupakan salah satu daripada beberapa kandungan yang mendedahkan pandangan mengejutkan pegawai-pegawai kanan Singapura termasuk dakwaan bahawa “Malaysia berada dalam keadaan terkeliru dan bahasa ekoran ahli-ahli politik yang tidak kompeten.”

Kabel mengenai kes liwat Anwar ini bertarikh November 2008 iaitu lima bulan selepas kes liwatnya terdedah dan disiasat polis.

Ia menyebut, “Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan (pemimpin kanan Singapura) Lee Kuan Yew memberitahu ONA dalam pertukaran pandangan bahawa pemimpin pembangkang Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu, yang beliau didakwa sekarang.”

Dokumen itu juga mengatakan bahawa Singapura memberitahu ONA yang mereka membuat penilaian itu berasaskan risikan teknikal, yang mana kemungkinan dikaitkan dengan komunikasi yang dipintas, kata akhbar itu.

“ONA membuat penilaian, dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Singapura bersetuju, ia adalah (satu) kerja (dia) diperangkap dan kemungkinan dia tahu mengenainya, tetapi bagaimanapun dia terlibat,” kata kabel itu.

Kelmarin, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Lee turut tahu tentang kegiatan Anwar.

“Ya memang... saya pun fikir dia (Lee) tahu tapi parti politik saja buat tidak tahu,” katanya. TMI

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese